Persediaan Sambutan Aidilfitri Dalam Suasana Norma Baharu

By Zahirah Dzahir - 5/23/2020 01:38:00 PTG

Assalamualaikum..

Tahun ini kita beraya dalam suasana yang agak berbeza. Ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk mengekang penularan virus COVID-19, beberapa amalan Aidilfitri tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya. Namun, roh Aidilfitri boleh disambut dengan norma baharu sepertimana kita menghidupkan malam-malam terakhir di bulan Ramadan.

AIDILFITRI merupakan anugerah Allah S.W.T kepada umat Islam sebagai ganjaran atas kesabaran menjalani ibadah puasa dan bersyukur menunaikan zakat fitrah. Aidilfitri juga merupakan salah satu daripada dua perayaan yang disambut oleh umat Islam. Semestinya perayaan ini disambut dengan penuh kegembiraan dan ikatan ukhuwwah sesama umat Islam mengikut batas dan amalan yang ditetapkan oleh Islam. 



Apakah norma baharu raya ini?

Perayaan musim COVID-19 ini juga, ada beberapa perkara tambahan bagi menghidupkan suasana raya selaras dengan cara Islam.

(1) Takbir dipasang melalui speaker masjid.

Untuk menghidupkan suasana Hari Raya, disyorkan bagi masjid-masjid untuk bertakbir raya menggunakan pembesar suara, dalam keadaan mematuhi SOP yang telah ditetapkan dalam pelaksanaan ibadah di masjid atau surau.

(2) Takbir bersama keluarga dari rumah.

Tidak diisyaratkan takbir hanya di masjid sahaja. Bahkan lebih baik diadakan di rumah masing-masing agar kalam kebesaran tuhan bergema di seluruh ufuk.

(3) Solat raya di rumah.

Berbeza dengan solat Jumaat, solat raya boleh didirikan di mana sahaja oleh sesiapa sahaja. Maka para ketua keluarga ambillah peluang untuk belajar berkhutbah. Baca teks yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Perak sepertimana yang dinyatakan tadi.

(4) Bergilir mengunjungi jiran tetangga.

Oleh kerana Kerajaan Malaysia menetapkan tidak melebihi 20 orang berada di sesebuah premis pada satu-satu masa, maka berpakatlah dengan tuan rumah dahulu untuk mengatur masa yang sesuai supaya tidak melebihi had ditetapkan.

(5) Berkomunikasi di alam maya.

PKPB tidak menghalang kita untuk terus bersama. Manfaatkan media baharu atas niat mengeratkan silaturahim. 

(6) Tiada rumah terbuka.

Kita lihat perkara ini dari sisi yang positif. Setidaknya kita boleh meluangkan masa yang lebih dengan sanak saudara dan jiran tetangga. Kembalikan adat lama, berkunjung tanpa menunggu dijemput dahulu!

(7) Beraya hari pertama sahaja.

PKPB ini mendidik kita beraya seadanya. Sememangnya Aidilfitri hanyalah pada hari raya pertama.

(8) Berjimat cermat.

Kita akan melalui fasa-fasa ekonomi yang mencabar untuk beberapa bulan mendatang. Justeru seeloknya kita bersederhana sahaja dalam menyambut raya tahun ini.

(9) Jaga penampilan walau di alam maya.

Di dalam menyambut Hari Raya Norma Baru ini, mungkin akan wujudnya kebanjiran alam maya dengan gambar-gambar keluarga. Sebagai seorang Islam, kehormatan diri perlu dijaga. Jangan mendedahkan aurat atau bersolek berlebihan.
Kita perlu sedar bahawa gambar itu akan dilihat secara terbuka, risiko disebarkan secara meluas, dan dosa yang ditanggung juga semakin berat. Kelak, apabila kita sudah mati, gambar itu mungkin masih berlegar-legar di alam maya, dan ditonton oleh generasi ke generasi. Janganlah jadikan Hari Raya kita kali ini sebagai medan untuk memanjangkan dosa.

Jadi kita perlu mengambil tanggungjawab dan jangan ambil mudah dan perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengamalkan normal kehidupan yang baharu supaya dapat memutuskan rantaian penularan Covid-19 ini.

SELAMAT HARI RAYA SEMUA...

~~~~~~~~
Mommy Ira

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!