Assalamualaikum..
KHURAFAT DI KALANGAN JEMAAH HAJI ASIA TENGGARA
Pengaruh khurafat ternyata masih kuat. Di dalam masyarakat Islam Asia Tenggara masih kehadapan amalan-amalan khurafat di dalam berbagai-bagai lapangan kehidupan. Di dalam perniagaan masih percaya kepada feng shui. Dalam pertanian masih percaya kepada semangat padi. Dalam mencari rezeki di lautan masih ada yang percaya kepada gamala ikan dan berbagai-bagai lagi. Bukan sahaja di dalam mencari rezeki ada berbagai-bagai khurafat, ketika hendak melakukan ibadat kepada Allah pun masih diresapi berbagai-bagai khurafat. Antara yang ketara ialah khurafat-khurafat di dalam ibadat haji. Bagi Jemaah Haji Malaysia yang telah mengikuti Kursus Haji bersiri yang dianjurkan oleh TH, insyaAllah mempunyai ilmu pengetahuan yang lengkap dan terhindar daripada amalan-amalan khurafat.
KHURAFAT DI TANAH AIR SENDIRI SEBELUM TIBA DI TANAH SUCI
1.Tidak boleh memijak bendul rumah. Kalau dipijak alamat tidak akan balik semula.
2.Sesudah bertolak dari rumah, tidak boleh memandang ke belakang melihat rumah. Kalau dipandang, pekerjaan hajinya tidak sempurna kerana hatinya teringat-ingat ke rumah
3.Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.
4.Setelah balik nanti mesti berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut idah haji. Barulah haji itu berkat dan melekat di hati, kalau melanggar, sia-sialah haji.
ANTARA KHURAFAT DI TANAH SUCI
1.Mesti mencari tiang Jin di dalam Masjidil Haram. Peluk kuat-kuat boleh memanjangkan umur.
2.Boleh mendapat toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara mengadap tiang tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai khadam.
3.Jin yang dibawa balik dari Mekah adalah Jin yang baik kerana mereka adalah Islam.
4.Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa balik untuk dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan, mendapat jodoh dan memurahkan rezeki.
5.Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik bagi tujuan, jika dicampak di dalam perigi ikan, maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman, maka buah-buahan akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai, maka akan laris.
6.Mencuri tali-tali khemah di Padang Arafah dan Mina untuk dijadikan tangkal bagi tujuan pelarisan untuk jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.
7.Membawa balik Tanah Arafah untuk upacara “Memijak Tanah” buat pertama kali bayi untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan gagah berani.
8.Tidak boleh melihat cermin semasa di dalam Ihram. Jika dilihat muka akan menjadi hodoh dan orang tidak suka melihatnya.
9.Menyapu-nyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.
10.Mengetuk-ngetuk pintu dan gelang kuncinya di kawasan Saei sebagai simbolik kepada mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuatnya, rezeki akan tertutup selama-lamanya.
11.Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah dikafan dengan kain itu bagi menghindar diri dari siksa kubur.
12.Beli khusus kain putih yang hendak dijadikan kafan dan basuh dahulu dengan air zam-zam di Mekah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain kafan. Dengannya Munkar dan Nakir tidak berani memukul badan yang dibalut dengan kain tersebut.
13.Kalau berlaku hujan, maka mandilah di bawah curahan air dari pancur emas agar sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.
14.Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan. Sekiranya ada orang yang menawarkannya, maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjaminkan masuk syurga.
Dan berbagai-bagai khurafat lagi yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam Asia Tenggara.
AMALAN KHURAFAT DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM SYARAK
Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah ditegah oleh syarak kerana di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bid’ah yang buruk sepertimana tersebut dalam hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:
“…………Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka”.
Mengamalkan amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan diri daripada Allah SWT, walhal kedatangan jemaah haji ke Tanah Suci ialah untuk menghampirkan diri kepada Allah serta menyuci diri dari segala dosa dengan tujuan mendapatkan haji mabrur.
PUNCA AMALAN-AMALAN TERCELA DAN TERPAUTNYA SESEORANG KEPADA AMALAN KHURAFAT
Di antara punca-puncanya adalah seperti berikut:
◦Tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam pengetahuan agama di mana mudah menerima perkara-perkara yang dianggap menarik baginya.
◦Mempelajari dari guru-guru atau ketua-ketua yang tidak bertanggungjawab.
◦Terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain kerana menyangka amalan itu adalah amalan yang betul.
◦Sudah terbiasa melayani nafsu ammarah.
CARA-CARA MENGHINDARINYA
Bakal-bakal haji hendaklah mengikuti dan mempelajari hukum-hukum agama sebelum menunaikan haji. Penceramah-penceramah hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang benar-benar berkelayakan. Tajuk siri khurafat perlu dimasukkan ke dalam kurikulum ibadat haji dengan ditekankan keburukannya.
Jangan mudah terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain yang tidak diketahui puncanya.
Dalam kursus haji ditekankan bahawa Tanah Suci Mekah bukanlah tempat berehat atau tempat melepaskan kemarahan atau komplen sewenang-wenangnya. Perlu ditekankan bahawa di dalam pekerjaan haji mesti akan ditemui berbagai-bagai dugaan Allah yang perlu diterima dengan sabar.
Sebarang amalan yang dipetuakan kepadanya oleh orang yang diragui keilmuannya hendaklah dipastikan terlebih dahulu dari orang lain yang lebih berwibawa. Bertawakal lah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa.
Tunaikanlah haji semata-mata kerana Allah.
Pihak Tabung Haji juga telah menyediakan kursus dan bimbingan haji yang sempurna kepada Jemaah haji kita. InsyaAllah jemaah haji Malaysia adalah yang terbaik.
*Pakar rujuk dan talian hotline bimbingan haji juga disediakan oleh Tabung Haji 24jam dengan menghubungi TH Contact Center 03 6207 1919.
sumber https://www.facebook.com/DakwahJAKIM/posts/10153520177082398:0
- Mummy Ira -