Pengambilan ' Epidural' Salah Satu Kaedah Untuk Mengurangkan Sakit Bersalin
4/16/2020 11:36:00 PTG
Assalamualaikum..
Kesakitan semasa bersalin jika tidak terkawal akan membawa
beberapa masalah kepada ibu dan juga bayi. Kesakitan semasa dalam proses
bersalin yang tidak dikawal boleh meningkatkan tekanan pada ibu dan mereka
menjadi lebih stres dan terganggu.
Menurut Dr. Sharifah Halimah, ini akan meningkatkan paras hormon
stres di dalam darah ibu dan menggangu pengecutan rahim secara efisien.
google
Akibatnya, ibu boleh mengalami prolonged labour iaitu
kegagalan untuk pintu rahim terbuka mengikut jangka masa yang ditetapkan.
Kemudian, ibu menjadi keletihan dan pasrah sehingga tidak mempunyai tenaga
untuk meneran keluar bayi apabila pintu rahim sepenuhnya terbuka. Lebih lama
bayi berada di dalam tulang pelvis, lebih tinggi risiko bayi untuk menjadi
lemas atau tekanan.
Kelebihan epidural
Dr. Sharifah Halimah memberitahu, epidural memberi ibu
pengalaman bersalin yang lebih baik dan tidak menakutkan ibu untuk hamil semula
pada masa akan datang.
“Ibu lebih tenang semasa proses melahirkan dan semasa
meneran bayi. Oleh kerana ibu tidak stres dan panik, ibu boleh mendengar segala
arahan dan galakkan yang diberikan. Otot rahim akan mengecut dengan lebih baik
lagi dan kurang risiko pintu rahim tidak membuka dengan baik seperti yang
dijangkakan,” katanya.
Keburukan epidural
Epidural ialah satu prosedur yang selamat tetapi
kadang-kadang boleh memberi kesan sampingan antaranya:
i) Epidural boleh menyebabkan tekanan darah ibu menjadi
terlalu rendah dan jika tidak dikesan ia akan mengakibatkan bayi lemas dan ibu
harus dibedah segera.
ii) Ibu yang mengambil epidural, tidak dapat bergerak bebas
dan terikat di katil sepanjang proses bersalin dan memerlukan jagaan rapi untuk
memastikan tekanan darah ibu tidak turun mendadak dan memerlukan pantauan bayi
yang berterusan.
iii) Hilang kawalan pundi kencing dan ibu tidak berasa
hendak kencing. Kemudian, meraka dibantu dengan tiub catheter untuk
mengeluarkan air kencing. Pundi kencing yang terlalu penuh akan menganggu
proses bersalin dan boleh tercedera semasa melahirkan bayi.
iv) Jika pintu rahim telah terbuka sepenuhnya, akibat kebas
di bahagian pinggul dan ke bawah, ibu jarang dapat meneran keluar bayi secara
efisien. Ini meningkatkan risiko panjang jangka masa bersalin peringkat akhir
dan memerlukan penggunaan forcep atau vakum untuk membantu menarik keluar bayi.
v) Risiko lain yang jarang berlaku ialah kekoyakan lapisan
dura (dura tear) akibat tusukan jarum epidural dan mengakibatkan cecair spinal
keluar dari ruang epidural dan menyebabkan jangkitan kuman yang boleh
membahayakan otak dan urat saraf. Bocor lapisan dura boleh mengakibatkan ibu
mengalami sakit kepala yang teruk selepas bersalin. Mengikut kajian, anggaran
risiko bocor lapisan dura berlaku lebih kurang satu dalam 100 kes. Biasanya
lapisan dura yang bocor boleh sembuh secara semula jadi dan jarang memerlukan
intervensi yang serius.
vi) Epidural haematoma – Ini ialah satu keadaan yang berlaku
akibat tusukkan jarum epidural pada salur darah secara tidak segaja.
Pengumpulan darah di titik tusukan jarum epidural yang serius boleh menekan
urat saraf dan ia boleh mengakibatkan lumpuh jika tidak dirawat. Ia sangat
jarang berlaku.
vii) Amat jarang berlaku ialah rosak saraf akibat tusukan
jarum secara tak segaja semasa prosedur dijalankan sehingga menyebabkan lumpuh.
Dr. Sharifah Halmiah memberitahu, epidural diberikan di
kawasan tulang belakang yang lebih rendah di paras pinggul. Kebanyakan epidural
diberi semasa pesakit dalam keadaan duduk supaya membuka ruang antara
tulang-tulang belakang dan memudahkan jarum untuk masuk ke ruang epidural.
“Suntikan ubat pelali setempat boleh diberikan untuk
membantu mengurangkan sebarang ketidakselesaan semasa jarum berongga dan tiub
plastik nipis dimasukkan ke dalam ruang epidural. Ubat anestetik kemudian boleh
diberikan melalui tiub terus ke dalam ruang epidural.
“Pesakit mungkin merasai sedikit keperitan semasa ubat
pelali setempat diletak di dalam kulit. Pesakit juga mungkin berasa sedikit
tidak selesa semasa jarum epidural dan tiub berongga dimasukkan. Jika pesakit
berasa sangat sakit atau berasa seperti kejutan elekrik, doktor bius harus
diberitahu supaya ia boleh membetulkan posisi jarum atau tiub berongga
epidural,” katanya.
Jelas beliau, ubat anaestetik yang disuntik masuk secara
infusi oleh pump infusi melalui tiub epidural akan diresap oleh urat saraf di
bahagian bawah paras tiub epidural, menyebabkan halangan deria sakit kebahagian
pinggang dan bawah badan.
Dos ubat epidural ini boleh dikawal supaya lebih tertumpu ke
kawasan pinggul dan pinggang sahaja dan ibu masih boleh menggerakkan kaki
walaupun kadang-kadang terasa berat. Dos ubat epidural juga boleh dikawal
supaya diberi semasa jangka masa bersalin sehingga selesai proses bersalin
sahaja. Selepas tiub epidural dibuang sebaik sahaja selepas bersalin, kesan
kebas dan berat kaki akan hilang dalam beberapa jam kemudian.
Komplikasi
Walaupun ada segelintir pesakit yang mengadu sakit pinggang
selepas mengambil epidural, kajian menunjukkan prosedur epidural tidak
meningkatkan risiko sakit pinggang yang kronik dan sakit belakang tidak berkait
secara langsung dengan epidural. Namun begitu, akibat baring terlalu lama dalam
posisi semasa menggunakan ubat epidural, boleh menyebabkan sakit pinggang yang
sedia ada menjadi lebih serius. Kesan tusukan jarum epidural yang menyebabkan
rasa sakit belakang selepas prosedur epidural hanyalah kesan sementara untuk
beberapa hari dan boleh pulih balik seperti biasa.
Dalam pada itu, Dr. Sharifah Halimah menjelaskan, komplikasi
paraplegia atau lumpuh boleh terjadi akibat kecederaan urat saraf tunjang oleh
jarum epidural atau kesan dari tekanan akibat hematoma atau pengumpulan darah
kebahagian urat saraf yang terbabit tetapi komplikasi ini amat jarang sekali
berlaku dalam sejarah prosedur epidural.
“Ini juga mungkin berkait rapat dengan kemahiran doktor bius
yang membuat prosedur berkenaan dan juga kelainan kepada alignmen tulang
belakang yang menyebabkan kesukaran untuk masuk ke ruang epidural sehingga
menyebabkan kecederaan tak sengaja.
“Kejadian epidural haematoma boleh juga disebabkan oleh
pengambilan ubat-ubat yang mencairkan darah oleh pesakit seperti warfarin,
aspirin, atau herba-herba traditional yang tidak diketahui kandungan bahan
aktifnya. Jika diketahui pesakit ada mengambil ubat berkenaan, doktor bius akan
mencadangkan kaedah anesthesia yang lain,” katanya.
Untuk mengurangkan sakit bersalin, terdapat banyak lagi cara
lain yang boleh diambil oleh para ibu. Namun, ini tidak dapat menghilangkan
sakit bersalin secara keseluruhan tetapi boleh membantu ibu untuk menguasai
keadaan dan emosi selain dapat mengurangkan kesakitan yang terlampau.
Selain epidural, ada ubat ubatan analgesia yang boleh diberi
untuk membantu mengurangkan kesakitan proses bersalin seperti penggunaan ubat
opiod, suntikan pethidine berkala dan penggunaan gas inhalasi nitrous oxide.
Ibu yang tenang semasa proses bersalin selalunya mempunyai
jangka masa bersalin yang lebih pendek dan lebih mudah bersalin berbanding
dengan ibu yang stres.
oleh PROFESOR DR. NIKHAZLINA NIK HUSSAIN
(utusan malaysia )
PROFESOR DR. NIK HAZLINA NIK HUSSAIN