Struggle Seorang Isteri/Ibu Dalam Menjalani Kehidupan Sehariannya | Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan

By Zahirah Dzahir - 10/27/2021 09:54:00 PG

 Assalamualaikum..

Perkongsian menarik dari Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan tentang struggle seorang isteri/ibu untuk lalui kehidupan sehariannya. Tak semua yang hadapi masalah yang sama. Moga dipermudahkan semuanya.

Jom baca..

google

“Doktor, saya selalu sakit kepala. Lenguh badan. Paling teruk kalau pagi, masa nak bangun tidur. Kenapa eh, doktor?”
Sambil mengadu tu, anak-anak wanita ini bermain dalam bilik konsultasi sampai fokus saya terganggu. Saya risau kalau budak-budak tu terjatuh, atau terlanggar peralatan dalam bilik konsultasi ni.
Tak tenteram dibuatnya.
“Kau orang boleh tak duduk elok-elok? Jangan panjat-panjat!" tegas wanita itu. Anak-anaknya macam endah tak endah sahaja dengan apa yang dikatakan olehnya.
Wanita itu menggeleng kepala sambil memejamkan mata. "Pening kepala saya!" omelnya sambil mencekak dahinya dengan tangan kiri.
Kemudian, dia kata orang tak akan faham masalahnya. Suami dia tak faham. Mertua dia tak faham. Ibubapa dia tak faham. Tak ada orang yang nak cuba dengar pun masalahnya.
"Tak apa, puan cuba beritahu saya dulu apa masalahnya," balas saya.

Maka dia pun mula bercerita.
Dia dulu sebelum kahwin, bekerja. Selepas kahwin dan dapat anak pertama, dia ambil keputusan untuk berhenti kerja memandangkan tidak yakin nak hantar kepada pengasuh.
Setahun selepas tu, dia berhasrat nak bekerja semula memandangkan anak dah putus susu badan, dan dah lebih yakin nak di tinggalkan bersama pengasuh.
Tahu-tahu dia mengandung pula anak kedua, jadi tangguh dahulu niat untuk bekerja. Setelah anak kedua lahir, gaji si suami hanya cukup-cukup makan untuk menanggung mereka berempat.
Kadang-kadang beli susu formula untuk si sulung tak cukup. Ada masa lampin habis terus. Wanita ni pula semakin risau, lalu menyebabkan susu badannya pula berkurang.
Bertambahlah dia stress. Duit memang dah tak cukup untuk beli susu formula si sulung, apatah lagi duit nak beli untuk si bongsu pula. Malam-malam anak nangis lapar susu.

Jadi, wanita ni dah tekad untuk kembali bekerja untuk bantu suami. Apabila disuarakan idea itu, suami pula tak setuju. Suami kata, duit upah pengasuh tu bukan sedikit.
Suami pum cadang untuk kerja lebih masa, dan buat kerja kedua untuk menampung segala apa yang tak cukup. Dia janji akan kerja keras untuk keselesaan keluarga.

Awalnya ia macam sesuatu yang bagus, tapi ketiadaan suami di rumah pada waktu siang dan malam, menambah kepada kerunsingan si isteri. Semuanya harus dilakukan seorang diri.
Suaminya balik lewat malam, badan dah letih, terus tidur. Nak luahkan rasa runsing pada suami pun dia rasa bersalah. Suami dah penat cari rezeki, tak sampai hati nak mengeluh padanya.
Nak dijadikan cerita, mengandung pula anak ketiga. Jika sebelum ini, risau telah menjadi runsing, maka kali ini runsing dan jadi rusuh. Rusuhan jiwa dan akal.
Anak-anak semakin lasak. Entah berapa kali nak kemas rumah. Itu rosak, ini rosak. Sana menjerit, sini menangis. Itu nak suap, ini nak cebok. Semuanya dia yang kena buat.

"Saya penat. Saya letih. Saya dah tak larat. Suami saya tak akan faham. Dia pergi kerja, anak-anak tak bangun lagi. Dia balik, anak-anak dah tidur. Dia tak akan faham…"
Wanita tadi kesat air mata.
"Dia tak akan faham… masa dia ada di rumah semua nampak tenang. Padahal masa dia tak ada, saya berperang nak uruskan semuanya. Saya dah tak tahan."
Nampaknya dah ada bayangan apa punca dia mengadu sakit kepala dan sakit badan tadi. Mungkin keletihan, atau ia bibit-bibit awal kemurungan. Cuma perlukan saringan untuk kepastian.
"Saya nak kerja. Sekurang-kurangnya saya boleh tampung belanja dapur, boleh keluar, jumpa orang, nampak dunia. Tak lah terperuk dalam rumah, bergelut dengan anak-anak saja."
"Saya bukan tak sayang anak. Saya sayang. Cuma ada masa, hilang sabar. Nak ke tandas pun tak tenang. Kadang-kadang menangis seorang diri dalam bilik air. Penat!"
"Nak mengadu, tapi tak tahu pada siapa. Kawan dah tak ada. Nak mengadu pada suami, macam tak kena. Nak mengadu pada mak pak, tak berani. Takkan nak mengadu pada mertua pula? "

Panjang dia bercerita. Saya tak banyak mencelah. Orang yang ada masalah, lazimnya mahu kita dengar masalah mereka. Dia mahu kita cuba faham keadaan dia. Jadi kita dengar.
Kita dengar dengan hati yang terbuka.

Ada wanita jiwanya kental untuk buat semuanya sendirian, namun ada yang tak mampu hadapi dugaan yang begitu. Dia perlukan suaminya di sisi, beri sokongan, beri kasih sayang.
Bukanlah wanita begini ni wanita lemah. Mungkin kekuatan dia di tempat lain.
Ada wanita lebih produktif bekerja cari rezeki berbanding berada di rumah menguruskan keluarga.
Ada juga wanita lebih selesa sama-sama cari wang, sama-sama jaga anak, sama-sama uruskan rumah, pendek kata semuanya dibuat bersama-sama.

Suami isteri perlu ambil tahu perasaan dan kemahuan pasangan. Apabila buat keputusan, biarlah atas persetujuan bersama. Perlu juga saling bertoleransi dan melengkapi.
Saya dah beri beberapa saranan pada wanita tadi. Beritahu dia di mana nak minta bantuan, dan di mana dia boleh meluahkan isi hati dengan tenang dan tanpa dihakimi.

Saya doakan kesejahteraan dia dan keluarganya. Saya juga doakan sesiapa sahaja yang sedang mengharungi pahit getir hidup berkeluarga, agar dipermudahkan urusan.

Jangan putus harapan. Jika rasa tak tertanggung ujian tu, maka dapatkan bantuan.

Kesihatan dan Perubatan

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!