Larangan, Bahaya Akibat Dari Hasad Dengki Dan Kenapa Kita Perlu Hindari Dari Perasaan Yang Tak baik Ini
By Zahirah Dzahir - 6/19/2019 12:44:00 PTG
Imam Al-Nawawi
rahimahullah dalam kitab Riyadhus Salihin di dalam bab Haramnya Hasad
menjelaskan pengertian hasad iaitu mengharapkan hilangnya nikmat dari seseorang
sama ada nikmat agama atau dunia. Seseorang itu dikatakan hasad apabila dia
melihat suatu kelebihan yang ada pada orang lain lalu dia merasa iri hati,
dengki atau tidak senang dengan kelebihan yang ada pada orang itu.

Kadangkala hasad ada
dalam diri tanpa kita sedar. Apabila kita tidak suka melihat nikmat pada
seseorang, hakikatnya maksud di sebalik perasaan itu adalah kita mengharap agar
nikmat itu hilang dari orang tersebut, dan inilah yang diertikan dengan hasad.
Buktinya kalau orang
itu memiliki kelebihan harta, orang yang hasad merasa benci dengan kelebihannya
itu. Apabila ditakdirkan orang kaya itu jatuh miskin, orang yang hasad menjadi
gembira. Di sini kita dapat fahami bahawa dia berharap hilangnya nikmat dari
orang tersebut.
Larangan hasad
adalah umum. Baik hasad dalam urusan dunia mahupun agama, kedua-duanya dilarang
dan kedua-duanya haram. Contoh hasad dari segi kelebihan agama misalnya dari
segi ilmu agamanya, kelebihannya mampu mengajar, ramai murid, banyak menulis
kitab, banyak beribadah, banyak bersedekah, rajin berpuasa, dikurniakan rezeki
dari Allah untuk setiap tahun pergi umrah, haji, dan seumpamanya. Ini adalah
kelebihan agama di mana orang yang hasad tidak suka melihat orang yang
dikurniakan kelebihan ini.
Adapun kelebihan
dunia, misalnya orang itu mempunyai banyak harta, rumah besar, kereta besar,
kedudukan tinggi, bangsawan, VVIP, banyak kita lihat berlaku di mana sebahagian
orang merasa tidak senang sehingga timbul persepsi negatif seperti mengatakan
orang itu rasuah, kroni, melakukan penyelewengan dan sebagainya, seakan-akan
tidak ada cara untuk menjadi kaya kecuali dengan cara tidak baik.
Hasad adalah suatu
yang dilarang bahkan termasuk dalam dosa besar sehingga orang yang hasad wajib
bertaubat daripadanya. Bahkan hasad termasuk sifat-sifat orang Yahudi. Seperti
mana firman Allah,
“Adakah mereka hasad (dengki) kepada manusia (yang
dimaksudkan adalah Nabi Muhammad) lantaran kurniaan yang telah Allah berikan
kepadanya.” (Al-Nisa: 54)

HASAD ADALAH SIFAT
KAUM YAHUDI
Orang yahudi merasa
hasad dengan risalah kerasulan yang diberikan kepada Muhammad SAW. Allah
melantik Muhammad SAW sebagai utusan Allah dan ini adalah kelebihan agama yang
Allah berikan kepada Nabi Muhammad saw. Orang Yahudi merasa benci dan tidak
redha dengannya.
Jika kita lihat
sejarah, ketika Nabi sallallahu’alaihiwasallam berhijrah ke Madinah, ternyata
terdapat orang yahudi yang menetap di sekitar Bandar Madinah ketika itu, iaitu
tiga kabilah Yahudi; Bani Qainuqa’, bani Nadhir, Quraidzah. Ini adalah tiga
kabilah yahudi yang berhijrah ke Madinah sedangkan asal mereka dari utara di
Syam.
Sejarah menunjukkan
mereka berhijrah ke Madinah lantaran apa yang mereka dapati dalam kitab Taurat
mereka di mana disebutkan tanda-tanda akan datangnya Rasul akhir zaman dan
Baginda akan datang di jazirah arab dan disebutkan ciri-ciri tempat Baginda
akan datang. Jadi orang Yahudi sudah maklum akan datangnya rasul akhir zaman.
Para rasul sebelum
Muhammad SAW semuanya datang dari kaum Bani Israil. Mereka semua datang dari keturunan
Nabi Ibrahim alaihissalam. Juga disebut dalam Al-Quran bahawa Allah memilih
Bani Israel daripada semua bangsa yang lain. Allah memilih Bani Israil sebagai
kemuliaan buat mereka. Namun kita dapat melihat apa yang dilakukan oleh
orang-orang yahudi atas kelebihan nikmat yang Allah beri kepada mereka (mereka
melanggar perjanjian dengan Allah).
Maka mereka
berhijrah ke Madinah untuk menanti datangnya Rasul akhir zaman. Dalam Al-Quran
Allah berfirman,
“Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri Al
Kitab (Taurat dan Injil), mereka mengenal Muhammad seperti mereka mengenal
anak-anak mereka sendiri. Sungguh sebahagian mereka menyembunyikan kebenaran,
padahal mereka mengetahui.” (Al Baqarah: 146)
Kita semua kenal
anak-anak kita, tidak mungkin kita tersilap. Begitulah Allah umpamakan
orang-orang Yahudi; mereka tahu sifat-sifat Rasul akhir zaman. Tidak hairanlah
bagaimana mereka menjumpai Madinah dan mereka tidak tersilap pergi ke tempat
lain. Mereka tahu bahawa Nabi akhir zaman akan sampai ke sini.
Apabila Nabi
Muhammad tiba ke Madinah, perkara pertama yang orang Yahudi lihat adalah
Baginda bukan dari Bani Israel, bukan dari bangsa mereka. Ternyata kelebihan
yang telah Allah berikan kepada Bani Israil, bahawa para Rasul semua datang
dari bangsa mereka, membuat mereka takbur, ujub, dan mereka melihat diri mereka
lebih tinggi dari orang lain. Mereka melihat mereka adalah bangsa yang dipilih
oleh Allah.
Jadi apabila Nabi
Muhammad berbangsa Arab, mereka tidak menerima kerasulan Muhammad SAW kerana
perbezaan bangsa, dan mereka mahu kelebihan risalah yang ada pada Muhammad
dihilangkan daripada Baginda SAW. Maka hasilnya adalah hasad. Ini yang kita
katakan bahawa hasad adalah sifat tercela yang sinonim dengan sifat orang
Yahudi.
Allah berfirman,
“Ramai daripada Ahli Kitab sangat mengharapkan kalau sekiranya mereka dapat
mengembalikan orang-orang yang beriman kepada kekufuran kerana perasaan hasad
yang ada pada diri mereka.” (Al-Baqarah: 109)
Kesimpulannya,
permusuhan orang-orang kafir secara amnya dan orang-orang yahudi secara khasnya
terhadap orang Islam adalah akibat perbezaan agama itu. Hal ini membuatkan
mereka sedaya upaya ingin menyesatkan orang Islam.
Mereka ingin
menyesatkan umat Islam bukan semestinya kerana mereka melihat agama mereka
benar dan agama Islam itu sesat. Bahkan ada kemungkinan kerana hasad
semata-mata. Mereka tidak redha kelebihan itu ada pada orang Islam maka mereka
ingin keluarkan orang Islam dari agama ini dan mereka tidak peduli sama ada
orang Islam yang murtad itu akhirnya masuk kristian, yahudi atau agama lain.
Kerana tujuan mereka adalah ingin menghilangkan kelebihan yang ada pada orang
Islam, yang penting adalah manusia meninggalkan Agama yang dibawa oleh Nabi
Muhammad SAW.
AKIBAT HASAD
Orang yang hasad
secara tidak langsung menolak takdir Allah SWT. Apabila orang itu benci apa
yang ada pada orang lain, ini menunjukkan orang itu tidak menerima apa yang
Allah takdirkan. Kerana apa juga yang berlaku dalam dunia ini adalah ketentuan
Allah.
Sifat buruk orang
hasad dapat diibaratkan sebagai bara api dalam jiwa yang memakan diri sendiri
sedikit demi sedikit. Orang yang hasad terus merasa tidak senang dengan orang
yang dia hasad itu dan terus mengawasi serta mencari-cari kesalahannya akibat
perasaan tidak puas hati itu.
Hasil dari hasad
tidak berhenti di situ, ia terus berkembang ibarat barah yang akhirnya
menimbulkan sifat permusuhan, melampaui batas, dan menzalimi orang yang dia
hasad, yang berakibat orang yang dizalimi itu akan berhak menuntut keadilan
pada Hari Perhitungan kelak kerana dizalimi ketika di dunia.
Bermula dengan
perasaan dalam hati, akhirnya dizahirkan dengan kata-kata atau perbuatan. Boleh
jadi kata-kata itu benar dan boleh jadi dusta. Namun oleh kerana ia lahir dari
sifat hasad, kata-katanya terhadap orang yang dia hasad itu menjadi buruk
walaupun ia benar. Ini kerana ia dibina atas asas yang batil, maka kata dan
tindakannya terhadap orang yang dia hasad itu tertolak dan dianggap buruk.
Orang yang hasad
akan terus mendapat natijah yang buruk. Lebih buruk adalah sifat hasad yang ada
padanya tidak akan mengubah takdir Allah. Akhirnya ia adalah sifat buruk yang
membinasakan diri sendiri. Seperti mana diriwayatkan dalam hadis sahih di mana
Nabi pada satu hari menunggang haiwan tunggangannya dengan Ibnu Abbas
menunggang di belakangnya. Kesempatan itu diambil oleh Rasulullah SAW untuk
memberi pesanan serta nasihat kepada anak muda yang bersamanya itu. Maka
Baginda bersabda,
“Wahai anak muda,
sesungguhnya aku akan mengajarmu beberapa kalimat: Jagalah Allah nescaya Dia
akan menjagamu, jagalah Allah nescaya engkau akan dapati Dia bersamamu. Bila
kau memohon maka mohonlah pada Allah dan bila kau meminta pertolongan maka
mintalah kepada Allah.
Ketahuilah
sesungguhnya sekiranya seluruh manusia bersatu untuk memberimu manfaat, nescaya
mereka tidak akan memberi manfaat apapun kepadamu selain yang ditakdirkan Allah
untukmu. Dan sekiranya mereka bersatu untuk memudaratkanmu nescaya mereka tidak
akan memudaratkanmu kecuali yang telah ditakdirkan Allah atasmu. Pena (yang
menulis takdir) telah terangkat dan lembaran-lembaran (tempat menulis takdir)
telah kering.” (Sahih. Riwayat Al-Tirmizi)
CARA HINDARI HASAD
Maka kalau seseorang
itu dapati dirinya ada hasad kepada orang lain, hendaklah dia bertakwa kepada
Allah, kerana takwa adalah kunci segala kebaikan, sepertimana tidak ada takwa
adalah sebab segala kejahatan. Dengan taqwa kepada Allah, orang itu
mengingatkan dirinya dan melawan sifat hasad yang ada dalam hatinya itu.
Nasihat para ulama,
apabila seseorang itu dapati dirinya ada perasaan hasad, ubatnya adalah
hendaklah cepat-cepat beristighfar serta mendoakan keberkatan (kebaikan) buat
saudaranya itu. Daripada berharap agar kebaikan itu hilang daripadanya, lebih
baik mendoakan agar kebaikan itu kekal dan semoga Allah melimpahkan keberkatan
atasnya. Hal ini tidak akan memudaratkan, sebaliknya ia memberi manfaat kepada
kita di sisi Allah.
Juga, antara yang
berupaya menyembuhkan penyakit hasad adalah meminta pertolongan daripada Allah,
dan melakukan sebab-sebab untuk mendapatkan kurnia. Jika kita duduk tanpa
berusaha dan dalam masa sama hasad dengan nikmat yang Allah beri kepada orang
lain, dalam hal ini kitalah yang harus dipersalahkan kerana meninggalkan
sebab-sebab untuk mendapatkan kurnia Allah. Seharusnya kita menyalahkan diri
sendiri dari merasa hasad kepada orang yang Allah berikan kurniaNya.
Oleh itu, ulama
mengatakan hasad boleh menjerumuskan pelakunya kepada kufur seperti mana ia
menjerumuskan Iblis ke dalam dosa. Ia boleh menjerumuskan pelakunya kepada
membunuh sepertimana ia menjerumuskan Qabil (anak Nabi Adam) untuk membunuh
Habil, saudaranya. Sudah tentu Allah menurunkan kisah ini kepada kita supaya
kita mengambil pelajaran daripadanya serta berwaspada terhadap penyakit hasad.
Ustaz Idris Sulaiman
1 orang berborak di sini!
Numpang promo ya Admin^^
BalasPadamajoqq^^com
mau dapat penghasil4n dengan cara lebih mudah....
mari segera bergabung dengan kami.....
di ajoqq^^com...
segera di add Whatshapp : +855969190856