Sudah Bersedia Ibu Hamil Untuk Hadapi Bulan Puasa | Tips Puasa Untuk Ibu Hamil
By Zahirah Dzahir - 4/20/2019 04:23:00 PTG
Assalamualaikum
Bulan puasa bakal
tiba sekali lagi. Tiba masa buat umat Islam menunaikan kewajipan untuk berpuasa
di bulan Ramadan. Kali ni Mommy nak berkongsi info tentang ibu hamil yang ingin berpuasa tapi bimbang dengan keadaan diri juga bayi setiap
kali Ramadan menjelang.
Hampir kebanyakan
daripadanya mahu berpuasa namun terdapat beberapa kebimbangan yang sentiasa
difikirkan.
Tahap kekuatan diri
dan kesihatan bayi dalam kandungan mungkin antara penyebab kebimbangan ini.
Ramai juga yang tertanya-tanya mengenai risiko berpuasa kepada bayi dalam
kandungan.
Menurut Doktor Kanan
Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr Zubaidi Ahmad, ramai wanita hamil berasa
bimbang tidak dapat berpuasa kerana memikirkan keselamatan bayi dalam
kandungan.
“Bagi saya, selagi wanita yang hamil itu masih mampu berdiri dan menjalankan rutin kerja sehariannya, selagi itu dia mampu berpuasa apatah lagi ia soal kewajipan setiap umat Islam.
“Tidak dinafikan apabila ibu hamil tidak mengambil makanan atau minuman untuk jangka masa agak lama, mereka mudah berasa letih dan mula bimbang keadaan itu akan menjejaskan kandungan,” katanya.
Menurut Dr Zubaidi,
hakikatnya, bayi dalam kandungan tidak akan mengalami kekurangan nutrisi
walaupun si ibu berpuasa.
“Bayi tetap mendapat nutrisi pemakanan kerana nutrisi itu bukan dibekalkan daripada makanan yang diambil, tetapi daripada simpanan yang banyak di dalam hati.
“Namun, sekiranya wanita yang hamil berasa tidak sihat, pening, mahu pitam, kabur penglihatan atau tanda membimbangkan, dinasihatkan segera berbuka dan bertemu dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan,” katanya.
Dr Zubaidi berkata,
corak pemakanan terutama ketika bersahur dan berbuka ini boleh dirancang dan
dinasihatkan supaya mengambil nutrien mencukupi namun tidak perlulah
berlebihan.
Dalam masa sama,
diingatkan, jika ibu hamil mengalami tanda seperti berikut, perlu segera
berbuka dan jangan memaksa diri:
1. Pening, pengsan,
lemah atau letih. Cuba berehat selama setengah jam dan jika tiada perubahan
segera hubungi doktor.
2. Loya atau muntah.
3. Sekiranya usia
kandungan melebihi 20 minggu, perhatikan jika ada perubahan ketara pada
pergerakan bayi anda (tidak bergerak atau kurang menendang).
4. Berasa sangat
dahaga atau air kencing berwarna gelap, berbau kuat dan kuantitinya sedikit.
Ini tanda dehidrasi.
5. Berat badan tidak
bertambah atau berkurangan.
6. Rasa sakit
seakan-akan sakit bersalin.
7. Sakit kepala atau
demam.
Panduan pemakanan
Tip pemakanan yang
boleh diamalkan bukan saja pada wanita hamil, tetapi pada semua wanita yang
ingin kekal bertenaga ketika berpuasa:
• Utamakan
pengambilan makanan berprotein tinggi seperti daging dan telur kerana protein
boleh disimpan di dalam tubuh pada kadar lebih lama berbanding kumpulan vitamin
yang lain.
• Banyakkan makanan
berserat tinggi seperti sayur-sayuran dan buah-buahan segar supaya mampu
menahan lapar.
• Jangan lupa
mengambil vitamin tambahan ketika sahur bagi mengekalkan kesegaran badan sepanjang
hari.
• Lewatkan bersahur.
Kalau boleh, bersahurlah hingga ke saat akhir imsak supaya anda tidak cepat
lapar di siang hari.
• Usahakan untuk
minum dua liter air masak selepas waktu berbuka hingga ke waktu imsak. Minum
sedikit tetapi kerap bagi mengelakkan dehidrasi di siang hari.
• Pelbagaikan
pilihan makanan berbuka dan sahur, sebaiknya pilih sajian sihat.
• Makan sederhana
ketika berbuka dan makan perlahan-lahan.
• Elakkan makanan
berasid atau bergoreng yang boleh membuatkan anda mengalami masalah pedih ulu
hati, terutama sebelum tidur.
kredit harian metro
Ibu hamil juga perlukan pemakanan yang sihat..nak tahu apa yang terbaik untuk ibu hamil..baca di
Moga info ni manfaat untuk semua.
2 orang berborak di sini!
Gud sharing
BalasPadamselamat brpuasa akak... x lama dh
BalasPadam