‘Athlete’s Foot’ Dalam bahasa Mudah Yang Bermaksud ' Kaki Makan Air'
By Zahirah Dzahir - 12/17/2018 11:02:00 PTG
Assalamualaikum..
Dengar saja nama penyakit ‘athlete’s foot’ dalam bahasa
mudah yang bermaksud kaki makan air atau jangkitan kutu air boleh mengundang
tawa dalam kalangan individu yang pernah menghadapi jangkitan kulat pada kaki
khususnya di celah jari.
Jangkitan ini menyebabkan kulit kaki biasanya di celah jari
menjadi berkeruping, bersisik dan gatal. Jika tidak ditangani, kulit tadi akan
melepuh dan pecah menyebabkan tisu dalam terdedah sehingga berlaku bengkak dan
radang yang lebih teruk. Apa yang membimbangkan, keadaan ini boleh merebak ke
bahagian lain seperti paha.
Masalah ini disebabkan jangkitan kulat Tinea perdis pada
kaki yang selalu dalam keadaan lembap atau terendam. Antara lokasi kegemaran
bakteria ini ialah anggota yang sering terlindung dan sentiasa dalam keadaan
lembap. Malah sikap sesetengah individu yang jarang memberi perhatian kepada
kebersihan kaki dan mengeringkannya juga boleh meningkatkan risiko mengalami
jangkitan kulat.
Walaupun ia menjadi masalah yang biasa dialami ramai orang, namun
masih ada yang salah anggap mengenai penyakit ini. Antara mitos yang perlu
dibetulkan ialah:
Mitos:
Hanya atlet saja yang menghidapi penyakit kaki makan air.
Hakikat:
Ia dipanggil ‘athlete’s foot’ kerana jangkitan ini biasanya berlaku pada kaki
atlet yang boleh merebak ke kuku kaki dan tangan. Namun sesiapa saja boleh
mengalami jangkitan ini terutama individu yang sering berkaki ayam di bilik
mandi awam, bilik persalinan pakaian dan kolam renang.
Selain itu orang yang berkongsi stoking, kasut dan tuala
dengan orang yang dijangkiti juga boleh mendapat jangkitan. Individu yang suka
memakai kasut ketat dan tertutup, kaki selalu dalam keadaan lembap dan kaki
kerap berpeluh juga berisiko mengalaminya.
*BILIK persalinan antara lokasi kegemaran kulat tinea ini.
Mitos: Kerap mandi mencegah penyakit kaki makan air.
Hakikat: Anggapan ini sama sekali tidak benar. Walaupun
kulat sukakan kawasan yang lembap, tetapi menjaga kebersihan diri adalah
penting dalam mencegah kebanyakan jangkitan penyakit. Bagaimanapun mandi saja
tidak akan membersihkan fungus atau kulat pada kaki tidak kira berapa cermat
pun anda menjirus kaki. Apa yang penting, lap celah jari kaki hingga kering
setiap kali selepas mandi atau mencuci kaki.
Mitos: Individu yang mempunyai tahap kebersihan yang rendah
cenderung untuk mempunyai masalah ini.
Hakikat: Sebenarnya penyakit ini tiada kaitan dengan
kebersihan. Walaupun anda mencuci kaki dengan sabun beberapa kali sehari, anda
masih boleh mendapat jangkitan - apatah lagi jika kaki dan celah jari tidak
dikeringkan sebaiknya.
Mitos: Anda hanya akan menghidapi penyakit ini jika berjalan
di kawasan yang ada kulat.
Hakikat: Berjalan berkaki ayam bukan satu-satunya cara anda
mendapat jangkitan kulat ini. Orang yang berkongsi tuala, stoking dan kasut dengan
individu yang dijangkiti juga berisiko mengalami masalah sama.
Mitos: Penyakit ini hanya menjangkiti bahagian kaki.
Hakikat: Penyakit kaki makan air tidak hanya berlaku pada
anggota kaki sebaliknya boleh merebak ke bahagian badan lain termasuklah celah
paha dan bawah lengan. Ia juga boleh merebak ke badan lain melalui sentuhan
dengan pakaian yang dicemari kulat.
Mitos: Jika tiada rekahan atau keruping di celah jari, ia
bukan penyakit kaki makan air.
Hakikat: Gejala yang dialami setiap orang adalah berbeza.
Sesetengah orang mengalami masalah kulit merekah dan berkeruping pada jari.
Orang lain pula alami gejala kemerahan atau kekeringan yang teruk. Jika anda
tidak pasti, pergilah berjumpa doktor.
*PASTIKAN kaki kering termasuk penggunaan ubat antikulat
untuk elak jangkitan kulat berulang.
Mitos: Anda tidak akan dapat jangkitan jika kaki ditutupi
stoking dan kasut sepanjang hari.
Hakikat: Kulat yang menyebabkan penyakit ini sukakan keadaan
yang gelap dan lembap. Stoking dan kasut lembap adalah habitat yang tepat untuk
pembiakan kulat. Kaki anda akan terlindung jika ia kering. Sesekali beri kaki
anda bernafas dengan memakai sandal apabila berada di pejabat.
Mitos: Jangkitan ini akan sembuh sendiri.
Hakikat: Tanpa rawatan, masalah kaki makan air akan
berlanjutan dan semakin teruk seterusnya merebak ke kawasan lain. Kaki akan
terasa lebih gatal dan ia boleh membuatkan anda semakin tidak selesa. Jadi,
jangan biarkan keadaan ini berterusan. Sapu krim antikulat mengikut yang
disarankan doktor.
Mitos: Anda tidak akan dijangkiti lagi selepas jangkitan
pertama.
Hakikat: Semua orang mengharapkan perkara ini benar.
Bagaimanapun, jika tidak menjaga kebersihan dan mengeringkan kaki dengan baik,
ia boleh berulang pada bila-bila masa!
Harian Metro
0 orang berborak di sini!