Bila Ibu Bapa ‘Didik’ Anak Berbohong Tanpa Sedar

By Zahirah Dzahir - 12/24/2018 01:32:00 PTG

Assalamualaikum..

RAMAI ibu bapa mengeluh apabila anak mereka sering berbohong. Anak yang memiliki kecenderungan berbohong cukup merisaukan mereka dan kalangan pendidik.Ibu bapa tidak mengetahui apa yang menjadi penyebab wujudnya gejala berkenaan. Justeru, peranan ibu bapa sangat penting untuk membimbing si kecil mengenal mana yang perlu mereka dekati dan mana pula yang perlu dijauhi.

Anak Jujur 

Keluarga adalah tempat pertama si kecil melakukan interaksi. Perilaku ibu bapa sehari-hari akan membentuk keperibadian anak sebagai seorang yang jujur, dapat dipercayai atau sebagai seorang yang suka berbohong.Misalnya, seorang anak mendengar ayahnya berpesan kepada ibu, kalau ada panggilan telefon jawablah dengan memberitahu ayah tidak ada di rumah, sedangkan ia ada di rumah dan hanya ingin berehat serta tidak mahu diganggu. Tanpa disedari si ayah sudah mengajar anaknya berbohong.

Anak yang berbohong ternyata banyak ragamnya. Ahli psikologi membahagikannya kepada tujuh golongan iaitu:

Bohong imajinatif.
Biasanya anak senang berfantasi kerana rnengimpikan sesuatu. Apa yang dibayangkan dalam fikirannya sering diungkapkan dalam bentuk gambar. Dia tidak dapat menerima perbezaan antara imajinasi dan realiti. Apa pun yang dikatakannya dianggapnya realiti, padahal orang dewasa menganggapnya sebagai pembohongan.

Mendengar cerita dapat memberi pengaruh yang besar kepada anak. Pada suatu ketika, dia menganggap dirinya sebagai pahlawan dan berikutnya, dia menganggap sebagai doktor ahli bedah. Imajinasi seperti itu adalah petanda yang si anak memiliki akal yang sihat. Ibu bapa tidak perlu khuatir. Tetapi bila perlu, ibu bapa mesti menjelaskan kepada anak siapa dirinya yang sebenar.

Bohong ambiguiti.
Seorang anak mungkin berkata bohong kerana dia tidak secara tepat mengetahui sesuatu kejadian atau kerana membesar-besarkannya. Kadang-kadang dia tidak mampu menjelaskan sesuatu kejadian secara terperinci dan tidak dapat mengungkapkannya secara efektif. Dalam keadaan seperti ini, ibu bapa harus bersabar menghadapinya sambil mencari kebenaran daripada kejadian yang diceritakannya.

Bohong minta perhatian.
Ramai ibu bapa kurang memperhatikan anak mereka, misalnya apa keinginan dan pandangan anak. Bahkan ibu bapa sering melarang anak melakukan sesuatu di depan orang ramai hingga menimbulkan sakit hati pada diri anak. Keadaan ini akan dapat menimbulkan gangguan kejiwaan seperti perasaan tertekan kepada anak. Anak juga belajar berbohong untuk menarik perhatian orang lain terhadap dirinya.

Dalam keadaan ini, seorang anak mungkin misalnya, berpura-pura berlari sambil berteriak: “Rumah pakcik terbakar!” Ketika seluruh anggota keluarga terkejut dan berlari menuju rumah yang disebutkan, si anak berasa senang kerana dengan berbuat demikian dia membalas sakit hatinya. Salah siapa apabila anak berbohong seperti itu?

Bohong kerana dendam.
Kadang-kadang anak bertengkar dan bahkan berkelahi sesama sendiri atau antara adik beradik. Biasanya seorang daripada mereka akan menaruh dendam dan cuba mencari sokongan ibu bapa dengan menuduh yang lainnya berbohong serta dialah yang benar. Ibu bapa atau pendidik harus berhati-hati untuk tidak cepat memihak, apatah lagi pertengkaran atau perkelahian antara anak biasanya tidak mempunyai alasan munasabah. Sebaik-baiknya, ibu bapa berusaha mendamaikan dan berbicara dengan baik pada anak yang berbohong sambil membimbingnya mengatakan apa sebenarnya terjadi.

Bohong membela diri.
Bohong jenis ini biasanya dilihat dalam keluarga iaitu ibu bapa bersikap kuku besi. Anak, kerana takut mendapat hukuman fizikal atas kesalahan yang dilakukan, lalu bercakap bohong. Jika keluarga itu diliputi suasana yang intim, anak tidak perlu berbohong. Bahkan mungkin dia terlebih dulu menyatakan persoalannya dan mencari bantuan ibu bapa untuk memecahkannya, atau dia dengan terus terang menjelaskan alasan tindakannya.

Bohong jenis ini sering terjadi berkaitan kegiatan sekolah. Banyaknya kerja rumah yang tidak dapat diselesaikan di rumah menyebabkan anak berbohong untuk menghindarkan hukuman. Dalam hal ini, ibu bapa atau pendidik perlu memperhatikan kemampuan anak agar dia tidak dimalukan di depan teman kelasnya, atau kalau tidak, dia akan terpaksa berbohong.

Bohong egois.
Bohong jenis ini digunakan untuk memperdaya orang lain. Dengan berbohong, seorang anak berasa lebih mudah memanfaatkan orang lain untuk memenuhi keinginannya. Bohong jenis ini bukan sahaja terbatas pada anak, malah ia juga terjadi di kalangan orang dewasa.

Bohong untuk menunjukkan kesetiaan.
Anak-anak berbohong terutama di sekolah kerana kecenderungan dan mereka terikat pada teman kelas. Dalam hal ini, pendidik harus selalu berkata benar walaupun keadaan mungkin menimbulkan kerugian sesaat.

Dalam kebanyakan keluarga, berbohong sudah menjadi epidemik dan ramai ibu bapa melakukannya.Mereka menganggap enteng perilaku tidak terpuji itu dan tidak bimbang perbuatan itu boleh menular kepada anak mereka.

Ibu bapa yang bercakap bohong di rumah akan meracuni jiwa anak dan seterusnya meracuni masyarakat untuk menyimpang dari jalan lurus yang diajar agama.Anak tidak hanya membohongi dirinya atau membohongi orang lain malah akhirnya akan membohongi Tuhan.

Anak adalah amanah Allah. Memberi mereka contoh pembohongan adalah bentuk ketidaksetiaan kepada masyarakat dan kepada-Nya.

Kadang-kadang kita dalam kategori bohong yang mana. Moga bermanfaat untuk semua

share dari whatsapp

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!