Tips ' Masalah Untuk Menidurkan Anak' dari Dr Rusyainie Ramli

By Zahirah Dzahir - 3/21/2016 04:46:00 PTG

Assalamualaikum..


Jom kita baca tips tips macam mana nak bagi anak tidoq yang Saya share dari fb Rusyainie Ramli



MASALAH UNTUK MENIDURKAN ANAK-ANAK??? 
EPISOD 1

Pertama sekali, kita mesti belajar perkataan KONSISTEN. Kita mesti faham konsisten tu maksudnya tidak kiralah apa yang jadi sekalipun, kita mesti memastikan aturan yang kita hendak lakukan itu terlaksana.

Yang kedua, mesti punya KEAZAMAN yang TINGGI. Untuk memperkenalkan undang2 baru dalam rumah bukan mudah. Terutama kalau selama ni kita jenis yang mudah bertolak ansur dan mengalah dengan rengekan dan rayuan anak-anak. 

Mama dan papa mesti berada dalam mukasurat yang sama. Kedua-duanya mesti bersetuju untuk melakukan peraturan baru di dalam rumah. Anak-anak kita ni memang banyak helah dan tipu daya mereka. Mama dan papa mesti bersatu padu untuk menangkis segala cubaan mereka. 

Dalam Islam sekali pun, memang anak-anak diwajibkan tidur berasingan dari kita. Yang penting kita lakukan ialah setiap seorang anak kita mesti mempunyai TEMPAT TIDUR MASING-MASING. Bukan tidur bergelimpangan merata-rata. Mereka mesti tahu itu tempat tidur mereka sendiri. Tempat tidur hanya untuk tidur. Bukan untuk makan, tengok TV atau untuk bermain. Kalau adik beradik yang tidur sekatil yang besar, mesti di bahagikan kawasan atas katil itu, bahagian ini untuk siapa, dan bahagian lain untuk siapa. 

TETAPKAN WAKTU TIDUR. Bayi perlu tidur untuk tempoh yang panjang, selalunya 7 malam mesti tidur. Kalau anak-anak kecil, tidur pukul 8 – 8.30 malam. Anak-anak yang bersekolah, walaupun sudah di menengah mesti tidur pukul 9 malam. Paling lambat 9.30 malam untuk yang berada di tingkatan. Anak-anak mesti tahu yang itu waktu tidur. Tak boleh mengelat walau 5 minit sekali pun. 

Perkenalkan RUTIN atau RITUAL TIDUR. Rutin tidur selalu mengambil masa dalam 30 minit. Dan mesti dilakukan sebelum watu tidur yang telah dipersetujui.

1. Suasana rumah mesti dikekalkan dalam keadaan tenteram. Tidak ada pertengkaran. Tiada yang menangis atau merengek. Elakkan mereka bermain gajet sebelum tidur. Pantang saya anak-anak dengan gajet ni sebenarnya. Keadaan yang stres tidak membantu.

2. Makan malam mesti sebelum Marghrib untuk memastikan pencernaan yang baik sebelum mereka masuk tidur. Pukul 7 malam adalah waktu makan yang baik untuk anak-anak yang bersekolah. Yang bayi mesti makan lebih awal.

3. Katakanlah anak-anak kita tidur jam 9 malam, lagi 5 MINIT jam 9, kita mesti dengan lembut tapi TEGAS mengingatkan anak-anak dengan ayat ‘Masa untuk tidur lagi 5 minit.’ Pastikan mereka mendengar kata-kata kita. Tiada bebelan. Mesti ayat yang ringkas dan mereka mesti tahu yang kita maksudkan apa yang kita kata.

4. Pastikan kita sudah menyemak semua kerja-rumah anak-anak kita. Pastikan semua kelengkapan untuk keesokan harinya sudah siap. Bukan terhegeh-hegeh pagi besoknya baru lah nak masukkan buku, gosok baju dan sebagainya. Kita kena luangkan masa untuk menyemak. Harapkan anak-anak kadang-kadang mereka pun terlupa.

5. Rutin yang boleh kita buat contohnya:
a. Mulakan dengan mereka telah mengemas beg sekolah.
b. Gosok gigi dan ambil wudhu.
c. Solat Isya’ dan mengaji Al-Quran. Untuk anak-anak saya, ada ustaz datang mengajar mengaji. Habis mengaji mereka memang terus siap-siap untuk tidur. Mengaji itu sebahagian dari rutin.

6. MENGINGATKAN mereka dengan apa yang patut mereka buat dalam langkah-langkah rutin tadi. Contoh ‘dah kemas beg, mesti gosok gigi dan ambil wudhu’. Tak perlu dihambat-hambat mereka nanti jadi stres. Kita nak keadaan yang tenang.

7. Pastikan pada WAKTU YANG TEPAT, mereka sudah berada di atas katil untuk tidur. Sekiranya kita nak tambah rutin seperti membaca buku cerita sebelum tidur atau mereka mahu bercerita tentang hari yang mereka lalui itu, mesti dimasukkan ke dalam rutin tadi. Baca doa tidur juga boleh dijadikan rutin.

8. Tutup lampu yang utama dalam bilik. Sekiranya mereka takut gelap, nyalakan lampu tidur. PELUK DAN CIUMlah anak-anak kita sebelum melangkah keluar dari bilik mereka. Beritahu yang mama dan papa sayangkan mereka.

9. Menidurkan anak-anak bukan kerja mama sahaja. Papa juga mesti bergilir-bergilir melakukannya.

10. Rutin ini wajib diikuti dengan konsisten kerana ia ada signal pada anak-anak yang waktu tidur sudah datang dan tiada kompromi. 

Wallahualam…
------------------------------------

MASALAH UNTUK MENIDURKAN ANAK-ANAK???
EPISOD 2

Bismillahirrahmanirrahim......

Di atas adalah untuk EPISOD 1 buat rakan2 yang mungkin ketinggalan untuk membacanya.
Saya akan menulis teknik-teknik untuk menidurkan anak-anak yang berusia 2 tahun sehingga yang sudah bersekolah rendah. Bukan sahaja untuk menidurkan mereka, tetapi memastikan mereka tidur sempurna sepanjang malam tanpa kerap bangun juga penting untuk dipelajari.

Sekali lagi mesti KONSISTEN. Saya dapati ramai mama dan papa yang mudah rasa kecewa sekiranya mereka gagal untuk beberapa kali. Yang paling susah dilakukan bila mama dan papa merasakan terlalu banyak tenaga dan usaha diperlukan untuk memastikan anak-anak mengikut kata mereka. 

Maka, jalan yang paling mudah, biarkan saja. Ada juga mama dan papa yang tidak mahu melalui proses melayan karenah anak-anak yang meragam kerana ia membingitkan telinga, mengganggu masa mereka untuk menonton TV dan sebagainya. Terlalu sedikit mama dan papa yang bersungguh-sungguh melakukannya, walaupun mereka tahu, proses ini hanya sementara. selepas anak-anak mempelajari dan mengetahui rutin tidur yang ditetapkan, tiada masalah pun yang mereka hadapi. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Tiada siapa mengatakan menjadi mama dan papa itu mudah. Kalau lah mudah, masakan Allah mengatakan yang anak-anak itu amanahNya.

Pada waktu siang, berikan penjelasan pada anak-anak, yang pada malam nanti akan ada undang-undang baru di rumah berkenaan dengan waktu tidur. Untuk anak-anak yang bilangan ramai, kita boleh buatkan satu carta untuk menunjukkan pukul berapa setiap mereka mesti tidur. Walaupun secara luarannya mereka seakan-akan faham, percayalah, mereka meragui kemampuan kita sebenarnya. 

Selama ini kita bertolak ansur, tidak ambil kisah sangat bab tidur, secara tiba-tiba kita hendak melakukan perubahan, mereka pasti punya was-was. Tidak mengapa, KUATKAN AZAM dan seperti yang selalu saya pesan pada pesakit saya, HATI MESTI MAHU KERING.

1. Pastikan sebelum anak-anak ke katil atau tempat tidur mereka, mereka TIDAK LAGI PUNYA SEBAB untuk bangun. Pastikan mereka sudah minum air, pergi ke tandas, dan sebagainya. Mama dan papa mesti tahu yang helah2 begini memang sudah menjadi lazim anak-anak untuk mendapat apa yang mereka mahu iaitu MEREKA TIDAK MAHU TIDUR LAGI.

2. Katakan dengan jelas yang kita mahukan mereka tidur. Lihat mata anak-anak kita, mata kita mesti satu aras dengan mata mereka. Bila kita bercakap, suara mesti jelas dan tegas. Bebelan tidak akan membantu kerana ia hanyalah bunyi bising yang hingar bagi anak-anak.
Contoh "Sekarang sudah pukul 9 malam, abang mesti tidur sekarang".


3. Berikan ciuman dan peluk anak-anak kita. Katakan pada anak-anak, yang kita sayangkan mereka. Tutup lampu, nyalakan lampu tidur kalau perlu dan tutup pintu.
Sekiranya kita punya anak-anak yang lebih kurang sebaya, boleh dijarakkan waktu tidur mereka dalam 10 minit seorang, bermula dari yang kecil sampai ke yang paling tua. Ini untuk:
(a) Memastikan kita punya masa untuk setiap anak kita. Setiap mereka berhak mendapat masa bersama dengan kita.
(b) Mengelakkan anak-anak bergurau senda atau bermain- main sesama mereka. Di sini akan berlaku kehilangan kuasa kawalan kita ke atas anak-anak, kerana mereka lebih ramai.


4. KALI PERTAMA anak kita bangun dari dari katil dan menyelinap keluar, ingatkan dia "Sekarang waktu tidur, abang mesti tidur". Bawa dia kembali ke katilnya, peluk dan cium dia sekali lagi dan terus keluar dari bilik.

5. KALI KEDUA dia bangun dan menyusup keluar, ulang langkah pertama tetapi SUARA LEBIH TEGAS dan ringkaskan peluk dan cium tadi.

6. KALI KETIGA dan seterusnya, kita mesti DIAM TANPA KATA-KATA. Tiada perkataan langsung. Terus bawa dia ke bilik, letakkan di atas katil dan tinggalkan bilik. TIADA peluk dan cium.
Mereka akan menangis, meraung, merengek, ketawa, mempermainkan kita atau lakukan apa sekalipun helah mereka untuk tidak tidur. Percayalah, anak-anak sangat hebat untuk memanipulasi perasaan kita. Kalau perlu diulang 20 kali langkah no. 6 itu, maka ulang lah 20 kali. Kalau 100 kali sekalipun, ulanglah. Memang penat. Memang kita akan rasa menyampah, sakit hati, marah, kecewa dan sebagainya. Luahkan segala perasaan itu pada satu sama lain. Sebab itulah kita perlukan sokongan suami atau isteri untuk melakukannya.


7. Kita ulang langkah 6 sehingga anak kita sudah tidak melangkah turun dari katil. Mereka mesti tahu yang KITA MAKSUDKAN apa yang kita kata. Untuk malam pertama, memang susah. Tetapi kalau kita konsisten melakukan rutin yang sama pada setiap malam yang akan datang, In shaa Allah mereka akan patuh. Paling lama pun mereka akan buat perangai memberontak itu, dalam seminggu. Selepas itu mereka tahu, apa pun helah mereka, mereka tidak akan berjaya. Apa yang kita tidak sedar ialah sentiasa akan ada PERGELUTAN KUASA di dalam rumah di antara anak-anak dan kita. Kalau kita menurut sahaja kehendak mereka, ternyata mereka sudah menang.

8. Tetapi kalau 1 malam kita mengalah, kita terpaksa mengulang semula semua langkah2 tadi. Lantas sia-sialah usaha kita.

In shaa Allah, semoga diberikan kemudahan untuk kita semua untuk mendidik anak-anak kita. Kalau hari ini kita tidak mampu mengawal waktu tidur mereka, kita belum tentu boleh mengawal segala dugaan yang mendatang dalam membesarkan anak-anak. 

Kalau diberikan keizinanNya nanti, saya akan sambung bagaimana untuk menidurkan bayi pula. In shaa Allah...

Wallahualam...

kredit fb  Dr Rusyainie Ramli

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!