Assalamualaikum..
Sakit kepala, kepala berdenyut dan mata berpinar. Gejala itu
sering dialami golongan dewasa terutama ketika berada dalam tekanan namun
pastinya situasi itu lebih membimbangkan sekiranya berlaku kepada kanak-kanak.
Kesakitan itu kadangkala menyebabkan kanak-kanak yang masih
berada di bangku sekolah rendah atau tadika menjadi murung dan pendiam, mungkin
akibat menahan kesakitan yang dianggap janggal pada mereka.
Tidak boleh memberikan mereka sembarangan ubat apatah lagi
yang diambil oleh orang dewasa. Jika anak kelihatan resah, cara terbaik adalah
membawa mereka ke klinik dan berjumpa doktor supaya masalah sebenar dapat
diketahui.
Menurut Doktor Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd Dr
Zubaidi Ahmad, sakit kepala dalam kalangan kanak-kanak biasa berlaku dan
selalunya tidak serius.
Sama seperti orang dewasa, kanak-kanak boleh mengalami
pelbagai jenis sakit kepala termasuk migrain atau sakit kepala yang berkaitan
dengan tekanan di sekolah.
“Namun begitu ada kes sakit kepala dalam kalangan kanak-kanak yang agak serius disebabkan jangkitan kuman atau kecederaan pada kepala sehingga menyebabkan pembentukan darah beku di otak.“Kebanyakan sakit kepala kanak-kanak tidak serius, tetapi segera dapatkan pemeriksaan dan rawatan sekiranya ia mengganggu rutin sehariannya contohnya sakit kepala sehingga sukar tidur dan berlarutan selepas bangun tidur.“Pemeriksaan lanjut perlu dilakukan jika sakit kepalanya lebih teruk dan semakin kerap atau sehingga si kecil menjadi pendiam dan tidak aktif di sekolah,” ujarnya.
Katanya, rawatan segera perlu didapatkan bagi mengelak
risiko berlakunya penyakit berbahaya. Walaupun segera membawa anak berjumpa
doktor adalah langkah terbaik, tetapi sebagai ibu bapa dan penjaga, kita juga
perlu mengetahui serba sedikit mengenai masalah ini. Ia penting supaya kita
dapat memberi pemerhatian dan maklumat yang lebih terperinci mengenai keadaan
anak apabila berjumpa doktor.
a. Sakit kepala akut
Sakit kepala ini berlaku hanya sesekali dikenali juga sakit
kepala akut. Ini mungkin berpunca daripada:
• Jangkitan virus yang ringan seperti selesema dan demam.
Bagaimanapun, jangkitan penyakit berjangkit yang serius contohnya demam denggi,
malaria dan demam kepialu juga boleh menyebabkan sakit kepala akut.
• Sinus adalah laluan udara yang terdapat di antara tulang
muka dan tulang tengkorak. Kanak-kanak akan mengadu sakit kepala apabila laluan
udara ini dijangkiti dan dipenuhi cecair atau lendir, keadaan ini dikenali
sebagai sinusitis.
• Sakit kepala boleh juga terjadi apabila otot di sekeliling
mata menjadi penat. Ia mungkin berlaku apabila kanak-kanak mengalami masalah
rabun dekat atau lapisan kornea yang tidak rata (astigmatism) menyebabkan
mereka mengalami ketegangan semasa melihat.
• Glaukoma ialah satu keadaan apabila tekanan pada bola mata
meningkat dan keadaan ini sekali-sekala menyebabkan sakit kepala.
• Gigi bernanah atau jangkitan gusi juga boleh menyebabkan
sakit kepala.
b. Sakit kepala kronik atau berulang
Sakit kepala yang berlaku berulang kali atau berterusan
dalam jangka masa panjang dikenali sebagai sakit kepala kronik.
Kanak-kanak yang mengalami sakit kepala kronik jarang
mendapat masalah gangguan otak yang serius seperti ketumbuhan otak, pembesaran
arteri secara berlebihan atau kemerosotan fungsi otak.
Gejala yang biasa berlaku ialah muntah, hilang penglihatan,
lemah anggota badan, sawan atau kemerosotan ingatan.
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami sakit kepala kronik
atau berulang mengalami migrain atau sakit kepala disebabkan ketegangan.
c. Migrain
Migrain mengakibatkan sakit seperti mencucuk-cucuk di
sebelah kepala. Ia bermula pada dahi dan tepi kepala atau kedua-dua bahagian
kepala.
Kanak-kanak juga mungkin berasa loya dan muntah. Pada masa
sama, mereka mungkin mengadu mata berpinar dan mengganggu ketenangan dan
keselesaannya.
Kanak-kanak yang mengalami migrain lebih selesa dengan
suasana senyap dan gelap untuk berehat kerana suasana bising dan terang
menyebabkan sakit kepala menjadi semakin teruk.
d. Sakit kepala tegang
Sakit kepala ini amat lazim terjadi dalam kalangan
kanak-kanak. Ia juga dikenali sebagai sakit otot kepala yang berpunca daripada
ketegangan otot pada bahagian dahi dan tepi kepala. Sakit kepala ini selalunya
disebabkan perasaan bimbang, tekanan emosi atau situasi yang tegang di mana
jua.
kredit Siti Nadirah Hafidzin/Harian Metro