Assalamualaikum..
Saya ingin kongsikan kepada anda semua tentang persediaan
anak-anak untuk mereka ke sekolah nanti.
1. Berbual dan bercerita. Jika anak anda sekarang berumur 3 tahun
dan bakal memasuki tadika pada umur 4 tahun di tahun hadapan, mulalah
berbual-bual dengannya tentang alam persekolah. Dedahkannya tentang
bentuk dan suasana sekolah dan apa yang bakal dia hadapi di sekolah
kelak.
2. Pilih bersama. Anda pasti ingin membuat tinjauan tadika yang
terbaik di internet atau berjalan-jalan di sekitar perumahan. Bawa anak
bersama untuk memilih tadika yang sesuai untuk anak. Apabila anda sudah
mempunyai pilihan, nyatakan pilihan itu kepada anak dan katakan
kepadanya mengapa anda memilih tadika tersebut.
3. Bawa melawat. Ketika anda hendak mendaftar atau pun mengetahui
lebih lanjut tentang sekolah yang telah dipilih, bawalah anak bersama
ke sekolah tersebut. Mohon kebenaran pengetua untuk membawa anak
meninjau keadaan tadika tersebut dan beri kebebasan kepada anak untuk
bertanya. Tunjukkan kelas, tempat bermain, tandas, papan putih, buku dan
lain-lain kepada anak. Semoga dia mendapat gambaran yang lebih jelas
tentang tadika tersebut.
4. Ceritakan pengalaman anda dahulu. Ceritakan kepada anak
tentang pengalaman anda bersekolah dahulu. Kongsikan kenangan manis dan
bina sifat-sifat positif dalam diri anak supaya dia dapat rasakan bahawa
sekolah itu adalah tempat yang seronok dan selamat.
5. Biasakan anak berdikari. Apabila bermula alam persekolahan
maka bermulalah juga episod hidup tanpa ibu dan ayah di sisi. Sesekali
tinggalkan anak kepada orang yang dikenali dan katakan kepadanya bahawa
anda akan kembali. Inilah yang akan berlaku semasa anak anda mula
bersekolah. Kepada yang baru melangkah ke alam persekolahan,
ditinggalkan ibu adalah sesuatu yang ditakuti. Berikan kata-kata jaminan
dan semangat kepada anak. Katakan kepadanya bahawa anda sayang
kepadanya dan akan kembali mengambilnya.
6. Latihan ke tandas. Latihan ini sangat penting. Ke tandas
adalah satu keperluan dan cikgu pasti tidak menang tangan untuk menemani
anak anda ke tandas. Terangkan kepada anak tentang keselamatan ketika
ke tandas dan berada di tandas. Begitu juga bagaiman menjaga kebersihan
tandas.
7. Beli barang sekolah bersama. Bawa anak membeli barangan
sekolah seperti beg dan alat tulis bersama. Berikan dia sedikit
kebebasan untuk memilih warna yang dia suka.
8. Ibu ayah mesti positif. Bukan anak sahaja yang mesti bersedia,
ibu dan ayah juga mesti positif menerima perubahan bahawa anak anda
sudah besar dan kini tiba masa untuk mereka bersekolah. Sentiasa positif
bahawa anak anda mampu untuk ke sekolah.
9. Ibu ayah mesti faham. Bersekolah bermaksud anak akan mula
belajar bergaul dengan kawan-kawan baru, bermain bersama, makan bersama,
dan belajar juga bersama. Skil komunikasi anak ketika ini sedang
berkembang pesat. Kadang-kadang mereka akan bergaduh, menangis dan
kecewa. Fahamilah bahawa ini adalah proses bagi mereka. Bantu mereka
untuk berhadapan dengan situasi begini dengan baik.
Moga kita disayang Allah.
kredit Ashikin Hashim