Assalamualaikum..
Mencabar dan sukar. Itu ungkapan paling
tepat untuk menggambarkan perhubungan cinta jarak jauh. Namun demikian,
adalah tidak mustahil perhubungan sebegini dapat bertahan dan kekal
lama.
Apatah lagi kini, sudah menjadi trend
kebanyakan anak muda atau pasangan suami isteri menjalinkan hubungan
cinta jarak jauh walaupun sudah tahu risiko yang bakal dihadapi. Apa
yang pasti, perhubungan sebegini mempunyai peluang yang sama untuk
berjaya seperti perhubungan cinta jarak dekat.
Pensyarah Jabatan Psikologi dan Pembangunan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Khaidzir Ismail memberitahu, hubungan jarak jauh ini sebenarnya, jika difikir dari sudut positif adalah lebih manis.
“Ia ibarat jauh di mata, dekat di hati.
Pasangan yang terlibat akan semakin rindu antara satu sama lain kerana
berjauhan rentetan timbul rasa kehilangan dan kekosongan.
“Rasa kehilangan itu ditebus dengan
berutus surat, menghantar e-mel, menelefon. Tetapi bahayanya perhubungan
ini adalah, jika terlalu lama berjauhan dikhuatiri kasih sayang mula
pudar,” katanya.
Berikut beberapa tip bagi membantu pasangan mempertahankan hubungan jarak jauh:
1) Kepercayaan dan kejujuran
Kepercayaan adalah keutamaan jika mahu
perhubungan sebegini berhasil. Tanpa kepercayaan dan kejujuran hubungan
akan berada dalam keadaan bahaya. Anda perlu percaya dan berserah pada
takdir.
2) Komitmen
Komitmen amat penting dalam perhubungan.
Jika anda dan pasangan memberikan komitmen sepenuhnya dalam
perhubungan, ia akan berjaya. Faktor jauh atau dekat sama sahaja, cuma
perhubungan jarak jauh lebih banyak cabarannya. Apa pun ia terpulang
kepada individu.
3) Selalu berhubungan
Komunikasi amat penting. Walaupun tidak
dapat berkomunikasi secara bersemuka atau secara langsung, anda dan
pasangan masih boleh berhubungan dengan mengutus surat, e-mel dan
menelefon.
Ia penting bagi mengelakkan pasangan
mengisi kekosongan yang ada dengan mencari keseronokan dengan orang
lain. Mungkin ia bermula dengan mencari teman untuk makan, bersukan atau
sebagainya, namun ia mungkin akan membibitkan rasa cinta antara si dia
dan teman baru.
4) Jangan letakkan banyak harapan
Setiap individu sememangnya mengimpikan
perhubungan yang berakhir dengan kebahagiaan, namun jangan sekali-kali
meletakkan harapan yang tinggi dalam perhubungan sebegini kerana
dikhuatiri akan menyebabkan kekecewaan yang tragis.
Bukan bererti anda tidak perlu serius
dalam menjalinkan hubungan, cuma jangan letakkan harapan 100 peratus
terhadap hubungan cinta jarak jauh sebegini kerana perhubungan sebegini
sukar dan berisiko tinggi.
5) Kesetiaan
Perhubungan sebegini memerlukan
kesetiaan antara pasangan yang bersungguh-sungguh dan ikhlas. Jika tidak
hubungan tidak akan berjaya.
Kebanyakan pasangan yang tiada sifat ini
akan putus terutama melibatkan pasangan yang baru diperingkat bercinta
kerana tiada ikatan. Dalam kes ini, kebiasaannya lelaki lebih kerap
berlaku curang.
6) Emosi
Jangan terlalu beremosi ketika berjauhan
kerana faktor jarak dan jarang bertemu muka membuatkan anda sering
menaruh prasangka buruk. Kawal emosi sebaik mungkin dan perlu berfikiran
positif bagi mengelakkan pergaduhan.
- Mummy Ira -