( Ice Bucket ) Alami Sendiri Rasa Sejuk, Kaku Seluruh Badan

By Zahirah Dzahir - 9/10/2014 12:43:00 PTG

Di negara kita, pe-nyakit Amyotrophic Lateral Sclerosis (ALS) yang juga dikenali sebagai penyakit Lou Gehrig masih asing berbanding pe-nyakit berbahaya lain.
Meskipun legenda bola sepak tanah air, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari turut menderita penyakit itu sebelum meninggal dunia, namun ramai yang masih kabur mengenainya.

Namun, apabila cabaran mandi ais atu lebih dikenali sebagai Ice Bucket Challenge menjadi ikutan di pelbagai medium media sosial di seluruh dunia sejak Jun lalu, pemahaman masyarakat me-ngenai penyakit itu semakin meningkat.

Cabaran berkenaan memerlukan individu (sendiri atau dengan bantuan orang lain) mencurah sebaldi ais (atau sebaldi air bercampur ais) ke kepala mereka.


Tujuan utama kempen kesedaran itu dilakukan adalah bagi membolehkan individu itu merasai sendiri apa yang dirasai pesakit ALS iaitu sejuk dan kaku seluruh badan.


Individu yang melakukan cabaran itu boleh mencalonkan tiga nama lain sama ada yang dikenali atau tidak untuk melakukan perkara sama.

Jika yang dicalonkan tidak dapat melakukannya dalam tempoh yang ditetapkan iaitu 24 jam, mereka harus menyumbangkan ASD100 (kira-kira RM330) ke Yayasan ALS.

Jadi, selain memberi kesedaran kepada masyarakat, ia juga bertujuan mengutip derma bagi membiayai pusat penyelidikan dan mencari penawar pe-nyakit terbabit.

Bagaimanapun, individu yang ingin menyahut cabaran diberikan perlu merakamkan aksi berkenaan sebagai bukti. Sebelum itu, mereka perlu menyahut cabaran dilakukan dengan menerimanya secara terbuka menerusi rakaman video. Kemudian barulah sebaldi ais dicurahkan ke atas kepala mereka.

Di Amerika Syarikat (AS), cabaran itu menjadi popular secara tiba-tiba selepas pengacara televisyen, Matt Lauer melakukannya secara langsung di saluran NBC menerusi program The Today Show at Greg Norman’s Chal-lenge.

Bekas Presiden AS, George W Bush turut menyempurnakan cabaran itu dengan bantuan isterinya, Laura dan kemudian menamakan rakannya yang juga bekas Presiden AS Bill Clinton untuk melakukan cabaran serupa.

Presiden AS Barrack Obama yang dicalonkan oleh Ethel Kennedy bagaimanapun menolak cabaran itu dan memilih untuk menderma kepada kempen berkenaan.

Menurut laporan The New York Times, lebih 1.2 juta video cabaran mandi ais itu dikongsi di laman Facebook antara 1 June hingga 13 Ogos lalu. Di laman Twitter pula, lebih 2.2 juta video turut dikongsi kepada umum antara 29 Julai hingga 17 Ogos lalu.

Cabaran yang semakin meluas itu dikatakan menjadi satu fenomena pada musim panas tahun ini.

Selain itu, artikel mengenal ALS juga turut dibaca kira-kira 430,000 pembaca sehari berbanding anggaran kasar sebelum ini iaitu hanya 8,000 pembaca saja.

Dalam satu temu bual bersama media AS, Presiden merang-kap Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan ALS, Barbara Newhouse berkata, dalam tempoh seminggu cabaran mandi ais itu tersebar di laman sosial, derma yang diterima pihaknya meningkat dengan mendadak.

Perkara itu turut diakui The New York Times yang melaporkan bahawa pertubuhan berkenaan menerima AS$41.8 juta (kira-kira RM137 juta) antara tempoh 29 Julai hingga 21 Ogos.

Ternyata, sokongan daripada masyarakat di seluruh dunia sedikit sebanyak turut membantu pertubuhan berkenaan.

Kemuncaknya, pada 29 Julai lalu, pertubuhan itu mengumumkan jumlah terkumpul sumbangan yang mereka peroleh sepanjang cabaran itu melebihi AS$100 juta (RM330 juta).

“Tiada perkataan yang dapat diungkapkan untuk menyatakan perasaan kami sekarang.

“Masyarakat di seluruh dunia begitu bermurah hati untuk tampil membantu dan kami hanya mampu mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga di atas sumbangan berkenaan.

“Sumbangan itu akan menjadi pembakar semangat kepada kami untuk membantu mereka yang mempunyai penyakit ini selain digunakan dengan sebaik mungkin bagi tujuan penyelidikan,” kata Barbara.

Cabaran mandi ais itu turut melanda golongan selebriti tempatan selepas pe-ngacara popular Daphne Iking menyahut cabaran itu bersama suaminya. Selain itu, pengacara 8TV Baki Zainal turut melakukannya baru-baru ini.

Bahkan ia bukan hanya disahut oleh golongan biasa saja kerana anak Sultan Brunei sendiri iaitu Pengiran Muda Abdul Mateen turut mengambil bahagian dalam kempen berkenaan.

Di Malaysia, Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Iskandar dan anaknya, Teng-ku Muhammad Shah turut ‘sporting’ menyahut cabaran mandi ais itu demi sokongan terhadap ALS.

Usaha berkenaan turut menarik minat menteri Kabinet negara, Menteri Pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz selepas dicabar Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang terlebih dulu melakukan cabaran itu.

Dalam pada itu, selain menyahut cabaran, ramai selebriti terkenal barat turut menghulurkan sumbangan berbentuk wang ringgit.

Antara yang bermurah hati mendermakan ratusan ribu ringgit kepada pertubuhan itu ialah pelakon terkenal Leonardo DiCaprio manakala penyanyi Taylor Swift bersama rakan baiknya, Jamie King turut tampil membantu mengumpul dana selain melakukan sendiri cabaran itu baru-baru ini.

Cabaran itu turut disambut pengasas Facebook Mark Zuckerberg yang melakukannya secara solo.

Bintang sukan permotoran Formula Satu (F1) Lewis Hamilton dan bekas pemain bola keranjang NBA Yao Ming turut mencuba.

Di Korea, bintang popular mereka, Rain, Choi Siwon (Super Junior), Yoo Jae Suk (Running Man), Suzy dan ramai lagi turut mengambil bahagian untuk menyatakan sokongan.

Dalam satu kenyataan kepada media negara itu, Rain yang juga artis Cube Entertainment mengakui sudah lama mengetahui mengenai ALS.

Mana tidaknya, pengasas dan juga Presiden Cube Entertainment, Hong Seungseung sendiri sudah tiga tahun menderita penyakit itu. Rain dilaporkan bermurah hati mendermakan kira-kira RM323,000 kepada penyelidikan untuk mencari penawar ALS.

“Hong adalah orang yang bertanggung-jawab membawa saya ke dalam industri hiburan hingga berada di tempat sekarang. Dia kini bertarung melawan penyakit berkenaan.

“Saya sedih tidak dapat membantu beliau secara terus dan ini adalah cara terbaik untuk menyatakan sokongan sepenuh hati kepada perjuangannya,” katanya.

Meskipun semakin popular namun ada juga pihak yang tidak bersetuju dengan cabaran mandi ais itu kerana kononnya menganggap ia satu perbuatan sia-sia.

Mereka juga mengaitkan dengan faktor kesihatan kerana kononnya mencurah sebaldi ais ke kepala boleh mendatangkan banyak keburukan kepada badan seseorang.

Begitupun, pakar perubatan berpendapat cabaran berkenaan hanya berisiko tinggi terhadap mereka yang berusia atau mempunyai masalah kesihatan yang ekstrem seperti kencing manis.

Disebabkan itu, mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti kencing manis tidak digalakkan melakukannya kerana boleh menyebabkan kejutan pada badan.

Jadi, pada mereka yang berminat untuk menyahut cabaran itu, anda digalakkan memahami terlebih dulu kempen berkenaan sebelum melakukannya.

Paling penting, elakkan risiko yang tidak diingini dengan mencurahkan ais pada kedudukan yang agak jauh dari atas kepala.

Walaupun untuk suka-suka tetapi cabaran mandi ais ini mempunyai signifikan yang tersendiri kerana tidak semua orang sanggup melakukannya.- myMetro -








- Mummy Ira -

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!