Kesakitan ringan
yang dialami sekali-sekala seperti sakit kepala, sakit gigi, sakit perut dan
demam sering menjejaskan keselesaan kita, sama ada ketika bekerja atau
menjalani kehidupan seharian.
Malah, kesakitan
menjejaskan hubungan kita dengan orang lain. Ini kerana kita akan cepat marah
dan menganggap kerenah orang sekeliling menambah kesakitan.
Biasanya, kita akan
mengambil ubat tahan sakit yang dibeli di farmasi atau kedai runcit tanpa
preskripsi (OTC).
Ada pelbagai jenis
ubat tahan sakit yang berfungsi secara berlainan dan sesuai untuk jenis sakit
tertentu.
Namun, kita sering
mengambil mudah jenis ubat tahan sakit dan kegunaannya apabila menganggap satu
jenis ubat boleh merawat semua kesakitan ringan.
Akibatnya, kita mungkin mendapat kesan
sampingan kerana mengambil ubat yang tidak sesuai untuk jenis kesakitan
dialami.
Pengurus Jenama
Kanan GlaxoSmithKline Consumer Healthcare Sdn Bhd (GSK), Elain Lim berkata,
pengguna perlu menimbang dua perkara ketika memilih ubat tahan sakit OTC bagi
melegakan kesakitan dan demam ringan.
Pertama, fungsi ubat tahan sakit berikutan analgesik yang
digunakan iaitu paracetamol dan ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs) seperti
aspirin, ibuprofen, naproxen dan diclofenac berkesan menangani kesakitan
ringan hingga sederhana, termasuk mengurangkan demam.
Kedua, kesesuaian ubat tahan sakit itu kepada pengguna
kerana bukan semua orang boleh mengambil analgesik
yang sama jika mengalami gejala penyakit sama, walaupun semua ubat tahan sakit
OTC selamat digunakan.
Segelintir pengguna
memerlukan rawatan tertentu ketika memilih analgesik yang tepat untuk mereka.
“Ketika memilih ubat tahan sakit, faktor umur juga perlu diambil kira kerana dos berlainan diperlukan untuk merawat pesakit dewasa dan kanak-kanak berikutan tindak-balas kedua-duanya terhadap analgesik diambil adalah berbeza.“Warga emas juga perlu berhati-hati mengambil ubat tahan sakit berikutan semakin meningkat usia, tubuh kita kurang berfungsi dengan baik.“Oleh itu, penting untuk mengambil ubat tahan sakit yang tidak menyebabkan kesan sampingan dan boleh diambil bersama ubatan untuk merawat masalah kesihatan lain,” katanya.
Beliau ditemui pada
kempen kesedaran mengenai pengurusan kelegaan daripada kesakitan menerusi
jenama Panadol keluaran GSK bagi membantu pengguna mengatasi kesakitan ringan
mereka dan cara mengatasinya dengan memilih ubat tahan sakit OTC yang
bersesuaian.
GSK kini menawarkan
pelega kesakitan bukan saja untuk sakit kepala, malah untuk kesakitan ringan
seperti sakit sendi dan otot, demam dan selsema, sakit belakang, leher dan
bahu, sakit ketika datang haid, sakit belakang kerana keletihan bekerja dan
demam serta selesema untuk kanak-kanak.
Elaine berkata,
pengguna juga perlu menimbangkan faktor kesihatan lain ketika mengambil ubat
tahan sakit OTC kerana kandungan analgesik dikhuatiri boleh memburukkan lagi penyakit
terbabit.
“Pengguna mengalami ulser perut atau pernah mengalaminya perlu mengelak mengambil ubat mengandungi NSAIDs kerana ia boleh menyebabkan kesakitan pada perut yang lebih serius, sebaliknya mereka boleh mengambil paracetamol.“Begitu juga pengguna yang ada masalah tekanan darah tinggi dan jantung, penyakit radang usus, semput dan masalah pendarahan apabila pengambilan NSAIDs memburukkan lagi penyakit itu.“Selain itu, pengguna yang ada masalah buah pinggang dan hati tidak digalak mengambil ubat tahan sakit OTC mengandungi NSAIDS dan paracetamol kerana ia boleh menjejaskan fungsi kedua-dua organ itu,” katanya.
Berikutan itu,
Elaine berkata, penting untuk pengguna membaca
terlebih dulu label pada ubat bagi memastikan kandungan analgesiknya sesuai
dengan kesakitan dialami, di samping ubat tahan sakit itu juga boleh
mengurangkan kesakitan tanpa mengakibatkan masalah kesihatan lain.
Pengguna juga perlu
tahu masa tepat untuk mengambil ubat tahan sakit OTC supaya pengambilannya
tidak mengganggu perut.
Malah, pengguna
diingatkan supaya tidak mengambil ubat tahan sakit itu lebih daripada dos
dibenarkan.
Namun, yang penting,
pengguna perlu memastikan ubat tahan sakit OTC itu tidak menyebabkan alahan
berikutan segelintir orang sangat sensitif kepada ramuan aktif dalam ubatan.
Salah pengambilan
boleh menyebabkan alahan seperti batuk, bengkak pada bibir, lidah atau muka,
kulit gatal atau terbakar dan masalah pernafasan.
harian metro