Jangan Tak Ambil Kisah Tentang Sembelit / Lawas

By Zahirah Dzahir - 6/18/2020 03:38:00 PTG

Assalamualaikum..

LAWAS

Ramai juga yang pm saya tanya tentang supplemen. Ramai rupanya yang ambil supplemen sebab sembelit. Ada juga yang ambil supplemen untuk kurus. Hurmm.

google

Kebanyakkannya adalah wanita.

Orang lelaki ni memang jarang yang kita jumpa ada masalah buang air besar ni dan jarang sungguh jumpa lelaki memerlukan supplemen untuk melawaskan najis.

Sedangkan wanita ni sanggup telan berpuluh puluh pil untuk lawas najis dan kurus. 10 biji pil, 2-3 jenis sebelum makan lepas tu kena telan lagi 5-6 pil selepas makan. Itu baru untuk lawas dan kurus, belum lagi untuk cantik dan kuat serta ketat

Istiqomah dan mendengar kata betul bila bab supplemen dan jamu. Suruh makan 10 biji sehari pun akan ikut, makan sebelum ke selepas makan pun akan ikut, tanpa bantah dan banyak soal.

Tapi kalau doktor bagi nasihat suruh minum banyak air kosong, makan banyak buah dan sayur, kurangkan makan daging merah, rajinkan diri bersenam, susah sungguh kita nak dengar dan ikut. Lagi kita mencemuh dan mencebik cakap doktor asyik bagi nasihat sama saja.

Padahal doktor tak minta awak keluarkan duit pun. Hanya minta ubah cara hidup sahaja. Pun kena kutuk.

Sembelit adalah keadaan di mana seseorang buang air besar kurang dari tiga kali seminggu. Setiap orang memiliki kebiasaan buang air besar yang berlainan. 

Ada orang yang buang air besar setiap hari, namun ada juga yang setiap dua hari. 
Walaupun ia adalah penyakit yang biasa, tapi kalau tidak sembuh juga dalam masa tiga minggu berturut-turut atau lebih, bererti ianya adalah penyakit kronik dan memerlukan pemeriksaan lanjut.

Sembelit menyebabkan pesakit berasa tidak selesa kerana najis berkumpul banyak di dalam usus dan najis tersebut akan mengeras dan menjadi lebih susah untuk dikeluarkan. 

Faktor yang menyebabkan sembelit adalah: 

* Kurang minum air kosong
* Kurang pengambilan serat
* Stress jiwa dan raga
* Terlalu banyak mengambil produk tenusu atau daging atau kaffein
* Musafir atau selalu travel ke sana sini sehingga jadual pemakanan tidak teratur setiap hari
* Kurang bersenam
* Kurang bergerak atau banyak duduk untuk aktiviti seharian atau di tempat kerja.
* Masalah kesihatan seperti kencing manis,parkinson, hyperthyroidism, multiple sclerosis, kanser usus, masalah usus lain, buasir, kanser rektum, stroke, angin pasang, anemia
* Mengandung
* Pengambilan ubat anti depressi, ubat gastrik, ubat yang mengandungi kalsium, ubat tambah darah
* Masalah  tulang belakang
* Terlebih atau terlalu kerap mengambil ubat lawas najis ( kerana ianya menyebabkan peristalsis atau pergerakan usus menjadi perlahan)
* Merokok

Biasanya sembelit mudah didiagnosis. Namun, jika sembelit disebabkan oleh penyakit lain, misalnya kanser usus besar, proses diagnosis akan menjadi lebih sulit. 

Doktor akan melakukan beberapa pemeriksaan lanjut untuk mencari penyebab sembelit seperti pemeriksaan darah dan najis, xray abdomen ,kolonoskopi ( masuk kamera ke dalam usus), ultrasound abdomen dan lain lain lagi.

Jika sembelit merupakan gejala dari penyakit lain, masalah ini sukar untuk dicegah kecuali dengan ubat ubatan dan mungkin juga pembedahan.

Namun, jika sembelit bukanlah disebabkan oleh sesuatu penyakit, insha allah ianya dapat dicegah dengan:

* Mengambil lebih banyak serat dari buah-buahan, sayur sayuran
* Bersenam 2-3 kali seminggu
* Jangan menahan buang air besar
* Minum 8 gelas air atau lebih sehari
* Kurangkan pengambilan kaffein seperti kopi, teh, produk tenusu, daging merah
* Banyakkan bergerak di tempat kerja atau di rumah
* Berpuasalah untuk merehatkan sekejap perut dan usus kita
* Berhenti merokok
* Kurangkan pengambilan ubat pelawas

Jika anda mengalami sembelit selama lebih daripada satu minggu atau kerap sembelit dalam sebulan, anda wajib berjumpa doktor. 

Berhati hati jika ada :

* Najis berdarah
* Berat badan turun mendadak tanpa sebab
* Rasa sakit ketika buang air besar
Jika ada tiga tanda tanda ini, tolonglah terus segera berjumpa dengan doktor.

Sabda Rasulullah s.a.w:
 "Jauhilah kamu makan dan minum yg berlebih-lebihan, kerana yg demikian dapat merosak kesihatan tubuh." (HR.Bukhari) 

Jadi, kenapa perlu ada supplemen dan jamu jamu sedangkan kita boleh hidup dengan sihat tanpa ubat?

Bagi yang dalam pantang selepas bersalin, banyakkanlah minum air kosong dan makan buah. Selain boleh melebatkan susu badan, ianya bagus untuk melembutkan najis dan membantu proses pencernaan. 

Betulkan dulu pemakanan dan cara hidup kita. Banyak kali dah saya cakap tentang ini. 

Kalau kita boleh istiqomah makan pil berpuluh puluh kenapa takmau istiqomah dalam cara hidup yang sihat dan percuma?

Ingat, pasti ada sebab kenapa sesuatu masalah itu terjadi. Bertanyalah pada yang ahli.

Orang lelaki rileks saja kan tak perlu pun ubat lawas bagai ni. Ya mungkin metabolisma mereka tinggi tapi mungkin juga kerana mereka kerap membuat aktiviti yang mengeluarkan peluh.

Siapa kata perempuan takboleh sehebat lelaki? Bring it on

Nota kaki : biar najis keras jangan hati yang keras

kredit fb Dr. Erna Nadia

  • Share:

You Might Also Like

2 orang berborak di sini!

  1. make sure dalam diet seharian ada fibre.. makan buah / sayur..
    seksa betul ni kalo sembelit. aiyoo..

    BalasPadam
    Balasan
    1. betul..besa kena masa pregnant..teruk rasanya nak membuang punn 😅

      Padam