4 Golongan Manusia Miskin Dan Kaya

By Zahirah Dzahir - 6/28/2018 05:34:00 PTG

Assalamualaikum..

Manusia sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan pelbagai keinginan yang ingin diraih dalam hidup. Mereka mengidamkan untuk menjadi kaya raya, memiliki isteri yang cantik, anak yang taat dan mempunyai pangkat serta pengaruh.

Islam tidak pernah menghalang umatnya menjadi golongan berharta namun ia perlu seiring dengan syariat agama. Dalam hidup ini, tidak ramai yang mampu mencapai tahap kaya raya.

Betapa ramai yang berusaha sehabis tenaga mencari rezeki, tetapi akhirnya mereka tetap hidup sederhana saja. Sebab itulah, manusia perlu sentiasa reda dan pasrah menerima takdir yang sudah ditentukan Allah SWT.

Sekiranya ada yang ditakdirkan menjadi kaya raya disebabkan usaha yang dilakukan, bersyukurlah kepada Allah SWT kerana mengurniakan dan ‘meminjamkan’ peluang itu kepada kita.


Bagi golongan miskin pula, mereka perlu sentiasa bersabar menempuh hidup dalam serba kekurangan. Dalam buku Cermin Hati tulisan Wawan Susetya menyentuh empat formula mengenai jenis manusia kaya dan miskin.

Pertama, orang miskin yang sengsara di dunia dan akhirat.

Golongan itu tidak mendapat keuntungan di dunia dan juga akhirat kerana mereka tidak menggunakan kehidupannya yang miskin di dunia bagi meraih pahala dengan kesabaran.

Hati mereka gersang daripada nilai ketuhanan. Mereka adalah orang yang tidak mampu memahami erti syukur sehingga hati mereka menjadi kufur, seterusnya menutup potensi nikmat Allah SWT yang ada pada dirinya.

Golongan kedua adalah orang kaya yang berbahagia di dunia tetapi sengsara di akhirat.

Mereka memiliki harta dan kedudukan tinggi tetapi hatinya tidak yakin kepada Allah SWT.

Mereka hanya mengetahui dan meyakini segala sesuatu berkaitan dengan hal ehwal keduniaan semata-mata dan tidak pernah merenung kewujudan kehidupan yang kekal abadi di akhirat.

Ketiga, golongan miskin yang sengsara di dunia tetapi menikmati kekayaan dan kebahagiaan di akhirat.

Mereka tentu lebih berjaya walaupun menderita ketika hidup di dunia.
Bekalan ke akhirat adalah berkat kesabaran selama mereka menanggung kehidupan yang miskin itu.Walaupun miskin, hati mereka tetap lapang kerana sentiasa bersikap qanaah.

Begitulah keadaan golongan yang sentiasa bersabar atas ujian yang Allah SWT timpakan kepada mereka.

Golongan keempat ialah golongan yang kaya dan berbahagia di dunia serta kaya juga di akhirat.

Mereka termasuk dalam golongan yang cukup beruntung kerana kekayaan yang dimiliki ketika hidup di dunia tidak menjadikan mereka sombong, lalai dan lupa diri.
Mereka menjalankan tanggunjawab dengan menafkahkan harta kekayaan di jalan Allah serta berusaha mencari keredaan Allah dengan harta yang dimilikinya.

kredit Kembara Mukmin( harian Metro )

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!