Kilang Diserbu Guna Logo, Sijil Halal Palsu

By Zahirah Dzahir - 6/23/2015 01:08:00 PTG

Assalamualaikum..

Rasanya ramai yang dah baca dan dah dengar tentang berita ni..so lepas ni kalau nak beli barang makan, tak kira la apa pun..chek dulu status sesatu barang tu..jangan pakai beli ja..


PARIT BUNTAR 19 Jun – Sebuah kilang memproses makanan ber­depan dengan risiko didenda selepas premis berkenaan didapati menggunakan logo dan sijil halal yang tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

KEADAAN di sebuah kilang memproses makanan yang diserbu KPDNKK cawangan Parit Buntar dan Jabatan Kesihatan Daerah Kerian selepas dipercayai menggunakan logo dan sijil halal yang tidak diiktiraf Jakim dan JAIPk di Parit Buntar, Perak, semalam.


Menerusi serbuan yang dija­lankan Kementerian Perdagang­an Dalam Negeri, Koperasi dan Ke­penggunaan (KPDNKK) cawangan Parit Buntar bersama Jabatan Ke­sihatan Daerah Kerian semalam, premis berkenaan juga diarahkan tutup selama 14 hari untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Ketua cawangan KPDNKK Parit Buntar, Md. Nasir Mohamad berkata, hasil pemeriksaan mendapati pembungkus yang digunakan untuk produk mereka tertera tanda halal yang tidak mendapat kelulusan daripada Jakim atau JAIPk.
“Kita telah menyita semua produk termasuk 22 guni pembungkus yang kesemuanya bernilai kira-kira RM14,000.

“Kilang berkenaan telah beroperasi lebih daripada 20 tahun. Mereka dipercayai tidak mengemaskini maklumat peraturan baharu di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pemeriksaan selama 4 jam bermula pukul 11.30 pagi itu dilakukan selepas KPDNKK menerima aduan daripada orang awam yang ragu-ragu terhadap produk makanan yang dikeluarkan kilang tersebut.

Katanya, pemilik berkenaan akur atas kesalahan pihaknya dan memberi kerjasama yang baik sepanjang pemeriksaan dijalankan ke atas peremisnya.
“Kita akan panggil pemilik kilang untuk siasatan lanjut. Buat masa ini, tiada sebarang denda yang telah dikenakan kepadanya.

“Kes disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan jika sabit kesalahan bagi pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 dan bagi individu pula sebanyak RM250,000,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!