Penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia Bagi Secret Recipe Melibatkan Kesalahan Kebersihan & GMP

By Zahirah Dzahir - 5/26/2015 05:48:00 PTG

Assalamualaikum..

Sebelum ni pun dah heboh pasal sijil pengesahan halal bagi Secret Recipe ni. Kali ni keluar lagi berita pasal ni. Jom baca apa kisahnya dari facebook Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)




KENYATAAN MEDIA

ISU PENARIKAN SIJIL PENGESAHAN HALAL MALAYSIA BAGI SYARIKAT SECRET RECIPE MANUFACTURING SDN. BHD.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui Bahagian Hab Halal ingin memberi penjelasan berhubung isu penarikan balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi syarikat Secret Recipe Manufacturing Sdn. Bhd. berikutan kenyataan mengenainya yang disebarkan secara meluas di laman-laman sosial.

Penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi syarikat tersebut adalah disebabkan telah berlaku perlanggaran terhadap Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia yang melibatkan kesalahan-kesalahan kebersihan dan GMP (Good Manufacturing Practice) yang serius. Penarikan ini walau bagaimanapun adalah TIDAK disebabkan kesalahan penggunaan bahan haram dalam pemprosesan produk.

Bahagian Hab Halal telah memanggil syarikat terlibat dan syarikat berkenaan telah berjanji akan melakukan tindakan segera berhubung kesalahan yang dilakukan sehingga mengakibatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia mereka ditarik balik.

Penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia adalah berkuatkuasa pada 7 Mei 2015. Walau bagaimanapun, penarikan sijil halal tersebut tidaklah menghalang syarikat berkenaan untuk memohon semula Sijil Halal setelah tindakan pembetulan telah dibuat dan mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia. JAKIM akan membuat penilaian semula terhadap permohonan tersebut berdasarkan pemeriksaan dan pematuhan ke atas Malaysia Standard 1500:2009 dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia 2014.

JAKIM amat memandang serius perkara ini dan mengingatkan kepada setiap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia agar sentiasa mematuhi piawaian pensijilan halal Malaysia dari masa ke masa. Tindakan juga akan diambil tanpa kompromi kepada mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran terhadap pematuhan piawaian pensijilan halal setelah memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia
JAKIM juga ingin menasihatkan pengguna agar tidak membuat andaian pelbagai dan menyebarkan isu ini secara salah. Sebarang maklumat lanjut, pengguna boleh berhubung terus dengan Bahagian Hab Halal Jakim di talian 03-8892 5000 / 5001 (talian utama) dan 03-8892 5048 (Pegawai Perhubungan Awam) dan semakan status halal juga boleh disemak melalui Direktori Halal Malaysia di www.halal.gov.my.

Sekian dimaklumkan, terima kasih.

HAJAH HAKIMAH BINTI MOHD YUSOFF
Pengarah,
Bahagian Hab Halal, Jakim
26 Mei 2015






sumber facebook JAKIM

- Mummy Ira -

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!