Bagaimana Cara Mengatasi PMS

By Zahirah Dzahir - 12/05/2013 02:24:00 PTG

Setiap bulan pasti ada satu-satu waktu yang membuatkan wanita cepat letih, nampak lesu, pening kepala yang melampau atau menjadi cepat marah dan terlalu sensitif. Itulah waktunya wanita mengalami Premenstrual Syndrome (PMS). Walaupun tidak tahan dengan keadaan ini, selagi kitaran haid masih berjalan, PMS harus anda tempuh. Tetapi ada cara untuk mengurangkan PMS yang melanda.







Kurangkan Pengambilan Kafein
Sememangnya sukar untuk anda meninggalkan kopi pada waktu pagi tetapi sekiranya anda tidak tahan dengan keadaan yang anda alami ketika PMS, kurangkanlah pengambilan kopi, teh atau air yang berkarbonat. Pilihlah minuman yang tidak mengandungi kafein supaya gejala PMS bulanan dapat dikurangkan.

Teh Chamomile
Selain daripada teh hijau, teh chamomile juga banyak kebaikannya. Ia mempunyai khasiat yang boleh melegakan kekejangan otot sekali gus dapat mengurangkan senggugut. Pada masa yang sama, chamomile dapat mengurangkan tekanan dan ini membantu perubahan mood anda ketika PMS. Ambillah teh chamomile sekiranya tarikh datang bulan sudah menghampiri.

Good-mood Advice
Ikut sahaja nasihat yang diberi oleh pakar untuk mendapatkan mood yang baik seperti bersenam dan makan dengan betul dengan mendapatkan protein dan karbohidrat yang cukup penting untuk mengatasi masalah perubahan mood ketika PMS. Apa yang anda makan memang akan mempengaruhi mood anda. Elakkan makanan yang masin dan kurangkan garam di dalam lauk yang dimasak kerana ini akan menyebabkan perut kembung dan water retention ketika PMS.

Tidur Dengan Sempurna
Pertukaran hormon membuatkan wanita sukar untuk tidur dan ini akan menjadikan mood mereka semakin teruk. Untuk itu sangat penting untuk wanita mendapatkan tidur selama 7 sehingga 9 jam setiap malam untuk mengimbangi mood mereka. Sekiranya gagal untuk tidur selama 7 jam, ambil sedikit masa untuk lelap sebentar di waktu siang walaupun hanya selama 10 minit.

Makanan Tambahan
Sekiranya sukar untuk anda mempraktikkan cadangan di atas, apa kata cuba berbincang dengan ahli farmasi untuk mengambil makanan tambahan yang sesuai untuk anda supaya gejala PMS ini dapat dikurangkan. Banyak vitamin khas untuk wanita terjual bertujuan untuk membantu mereka mengatasi gejala PMS yang melampau.

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!