Kasih Seorang Ayah Sepanjang Masa

By Zahirah Dzahir - 5/13/2020 01:48:00 PG

Assalamualaikum..

Kasih seorang ayah...

Seorang ayah jarang mengujar sayang, namun sebenarnya ayah banyak memendam. Kadang anak berjauhan, ibu yang bertelefon selalu. Biasanya ayah yang suruh ibu telefon bertanya khabar kerana dia juga merindu.


Seorang ayah jarang mengerang kesakitan, sebenarnya ayah banyak menahan. Terpijak paku, jatuh terseliuh, sakit demam, bila ditanya, ayah selalu menjawab,

"Sikit je ni. Ayah okey."

Dia tak ingin menunjukkan kelemahan. Dia menelan segala perit. Dalam sakit keluar bekerja. Dalam tak sihat dia memaksa. Kerana dia tahu, jika dia terlantar melayan kesakitan, tiadalah makanan untuk anak isteri makan. 

Seorang ayah pantas memberi bila diminta wang, walau sebenarnya masa tu ayah kesempitan. Apa lagi jika berkaitan dengan pelajaran. 

Ayah berdiam bila ada permintaan, petanda ayah berfikir mencari jalan agar permintaan anak dan isteri dapat dikabulkan. Meskipun masa itu dompet sudah kekosongan.

Tanpa kita sedar, ayah banyak merendahkan ego dan terpaksa menebal muka meminjam sini sana. Bahkan sanggup buat kerja berat yang tidak setimpal dengan gaji yang diberi hanya untuk menunaikan hajat anak dan isteri. 

Ayah,
Dalam senyuman,
Terlindung keperitan,
Tertanam kepahitan,
Tertutup kedukaan,
Demi anak isteri kesayangan.

Benarlah kata pepatah,
Kasih ibu membawa ke syurga,
Kasih ayah sepanjang masa.

Seorang ayah jarang mengeluh susah didepan anak isteri. Banyak diluah pada kawan-kawan, banyak lagi yang dipendam sendirian.

Entah berapa banyak airmata yang seorang yang telan dalam diam. Entah berapa banyak pengorbanan yang seorang lelaki sorokkan. Entah berapa banyak duka yang diperam tanpa sesiapa perasan. 

Kaum lelaki kaum yang jarang menunjukkan kelemahan. Jarang mempamerkan kesusahan. Jarang merungut jauh sekali mengungkit pengorbanan.

Seorang ayah adalah hero tidak bersayap. Yang banyak berkorban untuk keluarga dalam senyap. Membanting tulang dan memerah keringat. 

Hormatilah mereka dengan selayak penghormatan yang mereka patut terima. Hargailah setiap titis peluh dan jasa selama ini untuk keluarga. 

Terima kasih ayah atas segalanya!

#MFS 
- Wira tidak didendang -

kredit fb Cikgu Mohd Fadli Salleh

Al fatihah ( dibaca ) buat arwah Bapak Mommy..Mohd Dzahir Bin Arshad..moga Bapak ditempat bersama para solihin.

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!