DESPERASI | Cuba Fahami Apa yang Terjadi Kepada Mereka Yang Mengalami Desperasi

By Zahirah Dzahir - 10/18/2019 02:24:00 PTG

Assalamualaikum

Masalah DESPERASI semakin menjadi-menjadi..tak kira di mana saja kita akan dengar dan baca masalah ni. Yang terbaru menimpa artis Korea, Sulli yang telah membunuh diri di runahnya akibat dari desperi yang teruk. Mommy ada baca di fb kenalan Mommy tentang masalah DESPERASI ni. Jom kita baca untuk lebih memahami masalah ni

Image result for murung
google

- Pada 14 Oktober 2019, saya terbaca dalam media sosial, dan terkejut dengan berita kematian Sulli iaitu bekas artis k-pop group f(x). Dia meninggal pada usia yang masih muda, pada umur 25 tahun. 

Dia membunuh diri di rumahnya, dan dipercayai menderita masalah depresi yang sangat teruk.

- Chester Bennington, vokalis Linkin Park, salah satu band modern rock yang sangat terkenal, meninggal pada usia 41 tahun, pada 17 Julai 2017, ditemui menggantung diri di rumahnya. Dipercayai juga menderita masalah depresi atau kemurungan.

- Robin Williams, antara aktor dan pelawak terhebat dalam sejarah Hollywood, meninggal pada usia 63 tahun pada pada 11 Ogos 2014 dengan menggantung dirinya. Dipercayai juga menderita masalah depresi dan cemas yang sangat serius.

- Pada awal Mei 2019, berita seorang remaja perempuan berusia 16 tahun membunuh diri dengan terjun dari bangunan tingkat 3 di Kuching, Sarawak, tular di media sosial dan kacamata televisyen.

Remaja itu bertindak demikian selepas mendapat undian 69%, menyokongnya supaya membunuh diri, selepas dia membuat undian secara langsung di laman Instagramnya dengan menulis Really Important, Help Me Choose D/L (Death or Lives).

- Pada awal Januari 2019 pula, kita digemparkan dengan kehilangan seorang ustazah selama 4 hari setelah dia tidak pulang ke rumah selepas habis sesi persekolahan. 

Dia ditemui selamat apabila muncul di balai polis. Suami ustazah tersebut memaklumkan ustazah itu pernah menerima rawatan kerana kemurungan akibat jarak jauh yang perlu ditempuh untuk bekerja.

Kajian Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 membuktikan sekurang-kurangnya 1 dari 10 belia atau 10% dari 5.5 juta belia di negara Malaysia pernah terfikir untuk membunuh diri. Bermaksud 550,000 belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri. 

Kajian sama juga menunjukkan 1 dari 5 belia mengalami kemurungan, manakala 1 dari 10 remaja berhadapan masalah tekanan perasaan.

Itu statistik pada tahun 2017.

Menurut Penaung Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) pada Ogos 2018, Tan Sri Lee Lam Thye, depresi atau kemurungan akan menjadi penyakit kesihatan mental utama dialami rakyat Malaysia menjelang tahun 2020.

Lee berkata penyelidikan oleh pakar berhubung kadar depresi dalma kalangan rakyat Malaysia menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 50% pesakit depresi dari tahun 2011 sehingga 2015.

Apa penyebab/punca kemurungan? 

Antaranya :

🔥 Baka keturunan
🔥 Persekitaran (peristiwa hidup & kekurangan sokongan keluarga sosial)
🔥 Corak pemikiran
🔥 Ubat-ubatan
🔥 Stressor atau pencetus (body shaming, cyberbully)
🔥 Kehilangan orang yang disayangi
🔥 Baru melahirkan anak

Contoh penyebab kemurungan terbaru, iaitu body shaming, biasanya digunakan ke atas individu yang mempunyai fizikal yang lain dari kebiasaan, seperti gemuk, pendek, kurus, tinggi, dan lain-lain.Contoh lain seperti cyberbully.

Tanda-tanda dan gejala kemurungan, iaitu :

✔ Kesedihan atau kekosongan yang berpanjangan
✔ Hilang minat atau keseronokan terhadap aktiviti yang biasanya mendatangkan keseronokan
✔ Cepat rasa letih dan tak bertenaga
✔ Mudah putus asa, perasaan pesimistik
✔ Perasaan bersalah
✔ Rasa diri tak berfuna
✔ Gangguan tidur, bangun terlalu awal atau berlebihan tidur
✔ Hilang selera makan dan penurunan berat badan
✔ "Rasa lebih baik mati", kadangkala disertai dengan percubaan bunuh diri
✔ Rasa tak tenteram dan mudah marah
✔ Kurang daya tumpuan dan ingatan
✔ Sukar membuat keputusan
✔ Kurang nafsu seksual
✔ Mudah cemas atau fobia

Golongan mana yang beresiko mengalami depresi?

➤ Pernah mengalami kemurungan pada masa lepas
➤ Menghidap penyakit kronik
➤ Hilang anggota tubuh badan secara tiba-tiba
➤ Kematian orang disayangi secara tiba-tiba
➤ Perceraian
➤ Masalah rumahtangga
➤ Masalah keluarga
➤ Mangsa penderaan
➤ Tekanan di tempat kerja
➤ Dibuang kerja/ditamatkan perkhidmatan secara tiba-tiba
➤ Perasaan sedih semasa berpantang (selepas bersalin)
➤ Krisis ekonomi
➤ Putus cinta
➤ Fizikal yang berbeza dari orang lain (gemuk, kurus, pendek, hodoh, kurang upaya)

Kesan depresi ini boleh dirasai oleh individu, masyarakat, majikan, syarikat bahkan negara. 

Antara kesan yang berlaku :
🔥 Kes bunuh diri meningkat (lebih 800,000 individu membunuh diri setiap tahun @ kira-kira 1 nyawa setiap 40 saat, menurut WHO)
🔥 Prestasi kerja menurun, kurang upaya untuk bekerja
🔥 Produktiviti merosot akibat ketidakhadiran pekerja
🔥 Pengurangan penerima cukai
🔥 Peningkatan dalam perbelanjaan kesihatan dan kebajikan
🔥 Masalah sosial meningkat 

Ada banyak cara untuk mengatasi masalah kemurungan tersebut, antaranya :

1. Dekatkan diri kepada tuhan

Ini adalah cara yang paling pertama harus anda lakukan. Kerana tuhan berkuasa membuat apa saja, jadi berdoalah supaya kehidupan anda lebih baik dari sebelumnya.

2. Kaunseling

Berjumpa dengan pakar yang bertauliah, atau dalam kumpulan/komuniti yang pernah mengalami situasi yang sama dan berjaya keluar dan sangat gembira sekarang.

Antara pertubuhan yang boleh dihubungi berkaitan masalah gangguan mental adalah :

👉 Befrienders (03 - 7956 8144)
👉 Lifetime Association Malaysia (03 - 4265 7995)
👉 Mental Illness Awareness & Support (013 - 878 1322)
👉 Malaysian Mental Health Association (03 - 7782 5499)
👉 Malaysian Youth Mental Health Initiative (minda.initiatives@gmail.com)

3. Berjumpa dengan psikiatri

Dapatkan surat rujukan dari klinik atau hospital, supaya anda mendapat rawatan secara teratur dan berkala dari psikiatri.

Psikiatri boleh menilai dan merawat tahap mental anda dengan lebih terperinci melalui ujian darah, ubat-ubatan maupun terapi seperti terapi elektrokonvulsif (ECT).

4. Bertenang, sentiasa bersikap positif

Sentiasa amalkan sikap positif dan bertenang dalam apa jua keadaan. 

Dalam sebuah hadis, Rasulallah S.A.W. mengingatkan, "Permisalan teman yang baik dan teman yang buruk ibarat seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberimu minyak wangi atau engkau boleh membeli minyak wangi darinya, dan walapun tidak, engkau tetap mendapatkan bau harum darinya. Sedangkan tukang besi besi, boleh jadi percikan apinya mengenai pakaianmu dan walaupun tidak, engkau tetap mendapatkan bau asapnya yang tidak enak." (HR Bukhari 5534 dan Muslim 2628)

Untuk sentiasa berfikiran positif, bergaullah dengan orang-orang yang positif, ceria, dan gembira. Nescaya anda yang mengalami kemurungan akan berubah ke arah lebih baik.

5. Amalkan gaya hidup sihat

Jauhi dadah, rokok, dan vape. Kurangkan pengambilan garam dan gula secara berlebihan.

Banyak meminum air kosong, selalu mendengar atau membaca kata-kata motivasi, ubah penampilan atau pakaian (warna, jenis) supaya lebih ceria dan gembira.

6. Buat aktiviti yang membuat kita berasa gembira atau ketawa

Bersenam, menonton wayang, bermain game, travel (secara individu atau berkumpulan), sertai larian marathon.

Bercuti di pulau atau gunung, memasak, berbelanja di mall/window shopping, atau sertai program-program amal membersihkan surau, memberi sumbangan kepada gelandangan dan melawat orang sakit di hospital.

7. Hindari orang-orang yang negatif dalam hidup kita

Block, unfriend, atau report profil mereka jika di media sosial.

Elakkan bertembung, pindah tempat bekerja/tukar department/pindah ke cawangan lain.

Anggap orang-orang negatif seperti seekor lalat atau nyamuk yang boleh ditampar atau dihalau oleh tangan kita (bermaksud keberadaan mereka hanya sebagai angin lalu)

8. Dapatkan sokongan sosial dan moral dari sumber yang betul

Bermaksud cari orang yang sanggup bersama-sama mencari jalan penyelesaian buat kita (isteri, anak, adik beradik, mak ayah, kawan)

Masalah depresi/kemurungan adalah masalah mental yang sangat serius, boleh menimpa sesiapa saja tak kira umur, jantina, karier atau bangsa.

Jom kita sama-sama membantu menjadikan rakyat Malaysia menjadi lebih sihat fizikal dan mental.

sumber dari Dr Rashwan Aziz

  • Share:

You Might Also Like

5 orang berborak di sini!

  1. awal tahun lepas lah hampir-hampir ke arah tu
    sekarang sentiasa positif kan diri dan dekatkan diri dengan yang maha Esa :)

    BalasPadam
  2. despresi yang orang tak nampak tu paling bahaya kak,,kita ingat elok je dia... padahal dia tengah berperang dengan diri sendiri...kita orang terdekat kena selalu ada dan sedia dengar jika diaorang nak meluahkan...

    BalasPadam
  3. I found this website eventually. Really good inoperative, Thanks for the post and effort! Search your twitter DMs, mentions, likes and favorites, and timelines Twitter search.

    BalasPadam