Sejarah Ciptaan Awal Motosikal Yang Kita Perlu tahu

By Zahirah Dzahir - 9/19/2019 10:53:00 PTG

Assalamualaikum..

Sejarah motosikal bermula apabila manusia cuba memasang enjin pada basikal. Berikutan dengan itu terhasil motosikal pertama di dunia yang digerakkan oleh enjin wap, diikuti dengan motosikal yang menggunakan enjin petrol pada akhir tahun ke -19.

google

Sejak daripada itu, rekaan motosikal terus berevolusi mengikut zaman sehinggalah kepada model-model motosikal terkini yang dapat kita lihat pada hari ini.
Motosikal berkuasa petrol terawal dicipta oleh Gottlieb Daimler dan Wilhelm Maybach pada tahun 1885. Hanya pada tahun 1894 motosikal mula dijual kepada orang ramai dan model pertama yang dijual adalah Hildebrand dan Wolfmuller buatan Jerman.

Sejarah awal motosikal bermula di Benua Eropah dan Amerika Syarikat namun pada hari ini industri motosikal sebahagian besarnya dikuasai oleh pengeluar-pengeluar dari Jepun seperti Honda, Yamaha, Suzuki dan Kawasaki.

Motosikal adalah sejenis kenderaan beroda dua yang berenjin serta boleh dilesenkan untuk digunakan di atas jalan raya.

Sesebuah motosikal berupaya membawa seorang penunggang serta seorang pembonceng. Motosikal lazimnya digerakkan oleh enjin petrol kecil sama ada 2 lenjang atau 4 lenjang dengan kapasiti enjin antara 50 cc sehingga sebesar 2000 cc.

Kebanyakan motosikal mempunyai tangki minyak berbentuk air mata di bahagian atas hadapan motosikal antara bar pemegang dan tempat duduk penunggang, tetapi motosikal jenis skuter dan kapcai pula mempunyai tangki minyak di bawah tempat duduk. Motosikal pada lazimnya boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu seperti superbike, sports touring, cruiser, motocross, skuter dan kapcai.

Superbike adalah motosikal yang menggunakan enjin DOHC berkuasa tinggi antara 600 cc hingga 1000 cc. Kerangkanya direka dengan kukuh agar dapat menampung kuasa enjin serta kelajuan yang tinggi dan selalunya kerangka superbike adalah dari jenis aluminium spar berkembar. Tempat duduk serta bar pemegang motosikal superbike dibuat rendah untuk merendahkan tapak graviti agar motosikal menjadi stabil pada kelajuan tinggi.

Motosikal superbike juga mampu mencapai kelajuan melebihi 260 km/j. Oleh itu motosikal jenis ini sering digunakan di dalam perlumbaan.

Bagi motosikal sports touring, ia mempunyai bentuk fizikal yang hampir sama dengan motosikal superbike tetapi terdapat beberapa perubahan.

Tempat duduk serta bar pemegang ditinggikan untuk memberi keselesaan kepada penunggang lebih-lebih lagi ketika perjalanan jauh. Enjinnya juga ditala agar bahan bakar dapat dijimatkan.

Motosikal cruiser pula direka untuk perjalanan jauh. Enjin bagi motosikal curiser biasanya mempunyai putaran enjin yang rendah. Oleh itu enjin motosikal ini mempunyai kilasan yang tinggi tetapi kuasa kudanya tidaklah begitu tinggi dan menjadikan motosikal cruiser adalah motosikal yang juga jimat bahan bakar.

Bagi motosikal yang direka untuk kegunaan di jalan tanah merah pula dikenali sebagai motocross. Motocross mempunyai tempat duduk dan pemegang yang lebih  tinggi, roda berjejari besar serta sistem suspensi yang keras dan mempunyai gerakan yang besar untuk menyerap daya hentakan dijalan tanah merah yang tentunya lebih kuat berbanding di jalan raya. Tayar motosikal motocross juga berbeza kerana mempunyai bunga yang banyak bagi mengukuhkan cengkaman di jalan tanah merah.

Skuter pula adalah motosikal yang lazimnya mempunyai enjin kecil di antara 50 cc hingga 150 cc. Tetapi terdapat model-model skuter besar dengan kapasiti antara 250 cc hingga 900 cc.

Motosikal jenis ini amat popular di Eropah kerana ia menjimatkan bahan bakar serta mudah dikendalikan.

Enjin skuter biasanya terletak di bahagian bawah tengah dan terdiri daripada enjin satu silinder untuk meninggikan kilasan.

Model-model skuter terawal menggunakan transmisi manual tetapi hampir semua model skuter terkini menggunakan transmisi automatik CVT. Tangki minyak skuter pula terletak di bahagian barang di bawah tempat duduk.

Jenis motosikal yang terakhir adalah kapcai yang sangat popular di Asia dan menjadi antara pilihan utama ramai rakyat Malaysia.

Model motosikal kecil ini juga terdapat di Eropah tetapi ia juga dipanggi skuter di sana.

Motosikal kapcai digerakkan oleh enjin kecil antara 50cc hingga 125cc menjadikan kapcai juga antara motosikal yang jimat penggunaan bahan bakar.

Kebanyakan motosikal menggunakan transmisi manual tetapi menggunakan klac emparan automatik untuk memudahkan penunggang menukar gear tanpa menghadapi masalah enjin hampir mati kerana kurang cekap menggunakan klac manual.

Seperti skuter, tangki minyak kapcai juga terletak di bawah tempat duduk. Kapcai direka berasaskan model Honda Cub.

Sumber: Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com dengan kerjasama KPDNKK.




  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!