Jenis - Jenis Ubat Yang Kita Perlu Ada Dan Simpan Di Mana Saja Kita Berada | Dr. Asmi Syabil

By Zahirah Dzahir - 5/22/2019 09:58:00 PG

Assalamualaikum


Tak kira la kat mana pun kita, di rumah, asrama atau dalam travel..perlunya ada ‘First aid kit’. Kalau kita sekadar sakit ringan dan tidak perlukan rawatan dengan segera boleh guna ‘First aid kit’ dulu. Macam Mommy pun sediakan ‘First aid kit’ di rumah.

Jangan salah faham pula tentang ‘First aid kit’ yang hanya ada peralatan perubatan yang asas. ‘First aid kit’ juga ialah ‘ tempat ‘ yang mengandungi ubat-ubatan selain dari peralatan perubatan. Semuanya boleh kita beli di farmasi yang bertauliah. Lagi 1 bukan la kita kena bergantung kat ‘First aid kit’ tu, doctor tetap kena jumpa. Jangan ada yang salah faham pula.

Menurut Dr.Asmi Syabil yang juga Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan,
kalau ikutkan ada 14 jenis ubat-ubatan yang kita boleh simpan di rumah, asrama ataupun bila kita travel yang boleh kita ambil tanpa perlu kita ke klinik.
Perkongsian dari Dr.Asmi Syabil yang boleh kita jadian sebagai panduan 

Ubat-ubatan yang wajib anda simpan dirumah,asrama atau diatas kereta.
 
Antara perkara yang boleh menyakitkan hati adalah “menunggu”.

Tak kisah lah tengah tunggu kawan yang asyik “on da way”,atau tunggu saudara mara bersiap nak ke kenduri,menunggu duit gaji masuk,ianya bisa menyakitkan hati terutama bagi yang kurang sabar apabila perlu menunggu dengan jangkawaktu yang lama.

Bak lirik lagu “penantian itu satu penyiksaan”.

Dan ramai sedia maklum di antara tempat yang memerlukan kesabaran yang tinggi disebabkan waktu menunggu yang lama adalah JABATAN KECEMASAN hospital-hospital kerajaan.(Tapi sentiasa tidak pernah surut😅)

Antara punca utama yang menyebabkan kesesakan di Jabatan Kecemasan adalah apabila pesakit datang untuk mendapatkan rawatan bagi perkara-perkara yang bukan kecemasan,yang mana rawatan boleh didapati di klinik-klinik kesihatan atau jabatan pesakit luar.

Antaranya seperti:

-demam
-batuk
-selesema
-cirit-birit
-gatal-gatal badan
-muntah
-sakit perut
-pening
-sakit kepala
-dan pelbagai lagi.

Jadi, kali ini jom kita bicara serba sedikit berkenaan ubat-ubatan yang boleh disimpan dirumah sebagai ‘First aid kit’ ataupun boleh dibawa ketika ingin bermusafir agar kita tidak memenuhi jabatan kecemasan dengan kes-kes yang tidak sepatutnya.

Berilah peluang kepada mereka yang betul-betul memerlukan rawatan kecemasan terutamanya mereka yang bertarung diantara hidup dan mati untuk mendapatkan tumpuan petugas kesihatan.


Ini antara ubat-ubatan yang boleh didapati di farmasi berdekatan dan sering diberikan oleh para doktor untuk gejala-gejala seperti yang disebutkan di atas.

Image may contain: make-up

Paracetamol 500mg (Panadol)

Yang ini rasanya semua kenal.Boleh diambil jika anda mengalami demam 
ataupun sebagai ubat tahan sakit yang ringan seperti sakit kepala 
dan sebagainya.

Dos disyorkan : 2 biji(sekali makan) tiga kali sehari.

Jangan melebihi 8 biji sehari.


No photo description available.

Loratadine 10mg

Ubat dalam kategori antihistamin.

Dos disyorkan : 1 biji sekali sehari

Sering digunakan untuk mengurangkan gejala alahan,gatal-gatal,
mata berair atau bahasa mudah orang selalu cakap “resdung”.



Chlorpeniramine 4mg (Piriton)

Bagi yang kerap berjumpa doktor untuk gejala seperti selesema dan 
alahan mesti dah kenal dengan ubat ini.

Ubat ini juga seperti Loratadine dalam kumpulan antihistamin dan 
digunakan untuk mengurangkan gejala yang sama.

Dos disyorkan : 1 biji, 3 kali sehari.

Ubat ini boleh menyebabkan rasa mengantuk,oleh itu jika anda rasa seperi 
mengalami kesan ini,elakkan memandu atau mengendalikan mesin 
bagi mereka yang bekerja.




Diclofenac sodium 50 mg (Voltaren)

Ubat tahan sakit atau radang.Ubat ini tergolong dalam kategori NSAIDs.

Dos disyorkan : 1 biji 3 kali sehari (bagi kesakitan berterusan) 
atau sebiji sekali apabila perlu.

Sering digunakan untuk mengurangkan keradangan atau 
kesakitan yang tidak surut dengan menggunakan paracetamol.

Untuk yang ada gout mesti dah kenal sebab antara ubat 
yang wajib makan apabila kena serangan gout.

Elakkan pengambilan ubat ini ketika perut kosong atau bagi mereka 
yang ada gastritis.

 



Metoclopramide HCl 10 mg (Maxolon)

Ubat untuk gejala seperti loya dan muntah,juga digunakan untuk migraine.

Untuk ibu-ibu mengandung yang mengalami gejala loya dan muntah di awal kehamilan juga selalu diberikan sebagai rawatan.

Muntah disebabkan keracunan makanan juga boleh dikurangkan.

Dos disyorkan : 1 biji 3 kali sehari atau sebiji sekali apabila perlu.

 



Activated charcoal 250mg.

Dos disyorkan : 1 biji 3 kali sehari

Sama seperti Lomotil diatas,ubat ini juga digunakan untuk mengurangkan cirit-birit.

 




Oral Rehydration Salt (ORS)

Dos disyorkan : 1 paket apabila perlu.

Sepertimana yang kita ketahui,badan kita memerlukan garam galian seperti sodium dan potasium untuk berfungsi dengan baik.

Dan garam galian ini boleh berkurangan akibat dehidrasi apabila kita mengalami cirit-birit yang berterusan.

Oleh itu ORS ini sering dipreskripsi okeh para doktor untuk mereka yang mengalami cirit-birit bagi menggantikan kembali garam galian yang telah hilang daripada badan agar fungsi tubuh badan tidak terjejas..





Mist magnesium trisilicate (MMT)

Ubat ini sama fungsinya seperi Gaviscon yang selalu dilihat di kaca tv.

Bertindak untuk mengurangkan pedih ulu hati (heartburn) akibat daripada ketidakhadaman.

Dos disyorkan : 15 ml 3 kali sehari.

Sila ambil sebelum makan dan pastikan anda tidak menjamah apa-apa makanan atau minuman selama 15 minit selepas ubat ini diambil.
 




Breacol - Cough syrup

Yang ini memang semua orang kenal.

Boleh ja beli dimana-mana farmasi hatta di 7-eleven daripada penat korang menunggu berjam-jam di jabatan kecemasan hanya disebabkan batuk.





Ammeltz yoko yoko

Atau kandungan utamanya methyl salicylate seperti krim LMS yang sering diberikan para doktor untuk mengurangkan ketegangan otot.

Yang ini pun banyak dijual di luar dan sangat-sangat berguna untuk mengurangkan sakit-sakit otot atau lenguh-lenguh badan




Chloramphenicol eye drop.

Boleh digunakan untuk jangkitan mata seperti conjunctivitis.Ala,yang selalu bangun-bangun tidur tu tetiba penuh tahi mata lepas tu mata pula rasa pedih dan berair.





Pregnancy test urine strip - ujian kehamilan.

Sebab apa kalian kena simpan sekali benda ini di rumah terutamanya bagi pasangan-pasangan yang memang berhasrat mendapatkan cahaya mata?

Sebab para doktor di jabatan kecemasan ni dah penat nak melayan pasangan-pasangan yang datang ke jabatan kecemasan semata-mata untuk confirmkan kehamilan mereka.

Kalau dah kalian beli di farmasi dan buat di rumah tu positif,hamil lah tu.Tak payahlah nak datang melawat kecemasan hanya untuk double confirmation.Tak cemas pun.

Kurangkan sikap pentingkan diri dan bagilah peluang kepada mereka yang benar-benar memerlukan rawatan ye.




Buscopan 10mg

Ubat untuk mengurangkan sakit perut terutama yang memulas-mulas atau kekejangan perut dan juga sakit batu karang.

Dos disyorkan : 1 biji 3 kali sehari atau sebiji sekali apabila perlu.





Ranitidine 150mg (Zantac)

Dos disyorkan : 1 biji 2 kali sehari.

Selalu digunakan untuk mengurangkan rasa sakit perut terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah ulser perut,gastritis dan juga GERD.

Bertindak untuk mengurangkan rembesan asid di dalam perut.





Diphenoxylate + atropine sulphate (Lomotil)

Dos disyorkan : 1 biji 3 kali sehari atau sebiji sekali apabila perlu.

Ubat untuk mengurangkan gejala cirit-birit yang disebabkan keracunan makanan



Termometer.

Yang ini eloklah beli dan simpan satu di rumah untuk cek sendiri suhu badan kalian atau anak-anak samada demam atau tidak.

Boleh didapati dengan pelbagai jenis dan bentuk dan kebanyakkannya mudah digunakan.




Sila dapatkan nasihat doktor jika gejala(symptom) anda berterusan dan dapatkan rawatan dengan kadar segera apabila anda mengalami reaksi alahan terhadap ubat yang diambil.

Semoga bermanfaat untuk semua dan silakan berkongsi untuk kegunaan bersama.

Dr.Asmi Syabil
Pegawai Perubatan Kecemasan

  • Share:

You Might Also Like

1 orang berborak di sini!

  1. Perkongsian yang bagus.. kat rumah sha memang selalu ada paracetamol dan caugh syrup..

    BalasPadam