Assalamualaikum
Ibu-ibu
 yang baru bersalin pasti tidak terlepas daripada mengalami situasi 
bengkak susu di bahagian payudara. Keadaan ini terjadi ekoran 
peningkatan hormon lacta yang menghasilkan susu badan yang banyak 
selepas 72 jam anda bersalin.
Walaupun
 terpaksa menanggung kesakitan akibat bengkakan ini, namun ia sebenarnya
 menunjukkan tanda positif bahawa ibu berkenaan sihat dan sistem badan 
mereka berupaya menghasilkan susu yang banyak buat bayi mereka. Pun 
begitu, bayi anda perlu diberikan susu dengan kadar segera bagi mengelak
 payudara anda membengkak dan mengeras sehingga berlakunya bengkak susu.
Apabila
 situasi tersebut terjadi, mengepam payudara bagi mengeluarkan susu 
bukan cara paling berkesan untuk menyelesaikan kekusutan. Ini kerana 
pada ketika itu saluran susu seolah-olah tersumbat sehingga susu yang 
dipam tidak keluar. Langkah terbaik bagi meredakan rasa bengkak tersebut
 adalah melalui hisapan bayi secara langsung.
Panduan berikut juga boleh anda amalkan di saat mengalami permasalahan ini.
- Pakai bra menyusu yang dapat menyokong payudara termasuk di waktu malam. Pastikan pemakaian bra tersebut betul dan sesuai serta tidak terlalu ketat.
- Susukan bayi anda setiap 2 – 3 jam. Kekerapan anda memberikan susu kepada bayi dapat mengurangkan bengkak di samping menambah pengeluaran susu. Elakkan menyusu bayi di sebelah bahagian payudara sahaja.
- Pastikan bayi anda melekap kemas di bahagian areola iaitu kawasan kulit gelap di sekeliling putting semasa menyusu. Areola yang mengeras menyukarkan usaha bayi menyusu . Sebaiknya perah susu terlebih dahulu bagi memudahkan air susu keluar dan melembutkan areola.
- Ketika menyusukan bayi, urut lembut kawasan payudara bagi melancarkan aliran susu.
- Jika payudara terlalu penuh dengan susu, gunakan pam sekali-sekala bagi mengeluarkannya. Jangan pam susu secara berlebihan sekiranya bayi sudah menyusu dengan baik kerana ia akan menyebabkan penghasilan susu berlebihan.
- Daun kobis dipercayai membantu melegakan payudara yang bengkak. Namun, penggunaan daun kobis secara kerap di bahagian payudara akan menyebabkan susu kering.
- Urut payudara sebelum mengepam susu. Urut secara membulat seperti melakukan pemeriksaan payudara bagi merasai bahagian yang berketul-ketul sekaligus memudahkan aliran susu yang baik.
- Jika bengkak masih belum berkurang, segeralah berjumpa doktor.
sumber: majalah NONA 
 









 
 
