Perlunya Ibu bapa Berwaspada Bila Anak ' Kepalanya Terhentak '
7/11/2019 05:43:00 PTG
Assalamualaikum
Apabila anak
terjatuh dan mengalami hentakan di kepala, setiap ibu bapa pasti akan menjadi
risau kerana takutkan pendarahan di dalam kepala, namun tidak semua hentakan
mesti disusuli pendarahan.
Lapisan kepala
terbahagi kepada kulit, tengkorak dan otak. Apabila berlaku hentakan atau
trauma ke kepala ia boleh menyebabkan kecederaan kepada kulit, tengkorak atau
otak.
Pakar Perunding
Pediatrik Hospital Pakar KPJ Tawakkal Dr Faisal Mohd Fadzli berkata, kesan
kepada kulit saja tanpa kecederaan kepada otak biasanya tidak serius tetapi
secara visualnya ia boleh membimbangkan ibu bapa.
---Baca Juga-----
---Baca Juga-----
-------------------------
Menurutnya, apabila
hentakan berlaku, kulit mungkin terkoyak dan menyebabkan pendarahan tetapi jika
luka itu besar dan membabitkan salur darah yang besar ia boleh menyebabkan
pendarahan serius.
Oleh itu, katanya,
usaha perlu dilakukan untuk menghentikan pendarahan kerana kesan serius boleh
berlaku kepada mangsa jika hilang darah dengan banyak.
“Apa yang perlu dilakukan sekiranya terdapat luka pada kulit selepas hentakan ialah mengenakan tekanan pada luka dengan menekapnya menggunakan kain yang bersih.“Jika pendarahan tidak berhenti atau luka agak besar, terus bawa mangsa ke klinik atau pusat kesihatan yang paling dekat sambil meneruskan tekanan terhadap luka berkenaan,” katanya menerusi portal doktorbudak.com.
Selain luka,
katanya, ada juga kecederaan kepada kulit kepala disusuli benjol saja yang
boleh disebabkan oleh bengkak pada kulit atau pendarahan di bawah kulit apabila
darah berkumpul antara kulit kepala dan tengkorak.
Ini bermakna
pendarahan itu di luar otak dan tidak akan menghimpit otak kerana dihalang oleh
tengkorak.
Katanya, walaupun
begitu, apabila ada benjol ia tidak bermaksud pendarahan hanya berlaku di luar
otak dan tiada pendarahan berlaku dalaman otak sebaliknya, mangsa masih perlu
diberi perhatian jika menunjukkan simptom yang menandakan pendarahan dalam
otak, mangsa perlu dibawa untuk rawatan segera.
Benjol
Benjol di kepala
yang disebabkan pendarahan di bawah kulit biasanya akan hilang dengan
sendirinya dan boleh mengambil masa satu hingga dua minggu untuk hilang
sepenuhnya.
“Mangsa mungkin akan rasa sakit di tempat benjolan itu dan mungkin lebih sakit jika benjol ditekan. Tuaman sejuk boleh mempercepatkan benjolan itu reda atau berkurang manakala tuaman panas dapat mengurangkan sakit tetapi perlu disusuli tuaman sejuk kerana panas akan menyebabkan cecair tisu bertambah dan bengkak.“Darah beku itu akan perlahan-lahan diserap balik ke tisu sekeliling dan benjol atau bengkak pula surut dan hilang,” katanya.
Dr Faisal berkata,
kecederaan pada tengkorak dan otak mempunyai kesan yang lebih serius berbanding
kecederaan kulit saja dan kedua-duanya boleh berlaku tanpa apa-apa kesan pada
kulit.
Ini bermakna,
katanya, jika ada hentakan kepala dan dari segi luarannya mangsa tiada luka
atau benjol atau sebarang tanda kecederaan, ia tidak bermaksud tiada pendarahan
atau kesan pada otak.
Keretakan tengkorak
dikategorikan sebagai kesan hentakan yang serius. Keretakan pada tengkorak
bermaksud berlakunya hentakan yang sangat kuat dan ia berisiko memberi kesan
kesan serius kepada saraf dan otak.
Ia juga akan
menyebabkan otak terdedah kepada risiko jangkitan kerana kuman boleh masuk
melalui keretakan itu.
Selain keretakan
tengkorak, kecederaan ke otak boleh berlaku dengan pendarahan dalaman otak.
Bergantung kepada di mana hentakan berlaku, pendarahan dalaman otak boleh
berlaku di mana-mana di dalam otak.
Antara simptom
pendarahan dalam otak atau kecederaan pada otak adalah :
• Pengsan selepas
trauma
• Otot menjadi lemah
atau sebahagian/semua badan tidak boleh bergerak
• Amnesia/hilang
ingatan
• Keliru
• Sakit kepala dan
sakit mata apabila terdedah kepada cahaya
• Sawan
• Muntah lebih dari
sekali
• Tidak dapat
bercakap dengan betul atau muka menjadi senget sebelah
• Darah atau cecair
keluar dari hidung atau telinga
• Pupil atau mata
hitam tidak sama saiz
• Penglihatan kabur
atau nampak objek lebih dari satu
Oleh itu, jika
terdapat simptom ini jangan berlengah lagi untuk membawa mangsa ke hospital
berdekatan. Jika doktor sudah memeriksa anak dan membenarkan dibawa pulang,
kebiasaannya doktor akan memberi nasihat untuk memerhatikan anak sekurang-kurangnya
dalam 24 jam yang pertama untuk tanda seperti di atas.
Pesanan penting
Selain itu, ibu bapa
juga dinasihatkan untuk:
• Memberi
parasetamol sahaja jika perlu ubat untuk mengurangkan sakit. Tidak disarankan
untuk memberi ubat dari kategori ubat anti radang bukan steroid (NSAID) seperti
ibuprofen (Brufen, Bifen, Buprol-B, Ibufac, Nurofen) atau diclofenac (Cataflam,
Voren).
• Memberi makanan
yang mudah dihadam seperti bubur dan buah-buahan.
• Membenarkan anak
membuat atau bermain aktiviti ringan. Aktiviti berat dan sukan bersentuhan
harus dielakkan dahulu. Aktiviti yang boleh menyebabkan hentakan kepala harus
dielakkan juga.
• Mengelakkan dahulu
aktiviti yang memerlukan tumpuan seperti membaca dan membuat kerja sekolah.
• Membenarkan anak
untuk tidur apabila kembali daripada hospital. Bagaimanapun, anak hendaklah
perlu diperiksa dan dikejutkan secara lembut setiap dua ke tiga jam. Jangan
dibiarkan anak tanpa perhatian dalam tempoh 24 jam pertama.
• Apabila dikejutkan
cuba bertanya soalan mudah seperti nama mereka.
• Cuba lihat mata
hitam mereka jika saiznya sama. Jika berbeza hendaklah dibawa terus kepada
doktor. (Anda mungkin tidak dapat memastikan keadaan ini, maka sekiranya
musykil, dapatkan pemeriksaan doktor)
Beliau berkata, jika
mangsa tiada simptom berkaitan, kebarangkalian pendarahan dalam otak adalah
tipis tetapi untuk mangsa pulih sepenuhnya daripada hentakan itu boleh
mengambil masa berminggu malah ada yang hingga berbulan.
Bagaimanapun,
katanya, kebanyakan kes yang tiada tanda pendarahan dalam otak, mangsa akan
pulih sepenuhnya tanpa apa-apa kesan jangka masa panjang walaupun tempoh untuk
pulih mengambil masa yang lama.
“Jika kanak-kanak membesar dengan sihat dan semakin cerdik, ibu bapa tidak perlu risau terhadap darah beku atau kesan hantukan itu, jika ada sekali pun darah beku ia sudah diserap ke tisu sekeliling tempat hentakan itu,” katanya.
Langkah keselamatan
Kita tidak mungkin
dapat memantau pergerakan anak sepanjang masa walaupun ada penjaga di rumah.
Oleh itu, ada baiknya kita membuat sedikit pelaburan untuk mengurangkan risiko
kecederaan atau kemalangan di rumah. Antara langkah keselamatan yang boleh
diambil adalah:
• Memasang jeriji
besi atau penghadang tingkap kepada semua tingkap yang boleh dibuka di rumah
• Memasang pagar
keselamatan pada tangga rumah jika ada
• Memastikan tiada
barang atau mainan pada tangga yang boleh menyebabkan anak terpijak dan jatuh
• Memastikan anak
tidak bermain di tangga atau pun melompat antara perabot
• Jangan biarkan
bayi atau anak kecil di tempat tinggi seperti atas katil atau sofa
• Memastikan palang
katil sentiasa diangkat apabila anak di dalamnya
• Balut bucu perabot
yang tajam contohnya bucu meja, almari atau rak
• Jika ada bajet
lebih, beli alas lantai yang mampu menyerap hentakan
• Elakkan menghampar
permaidai ringan atau kecil yang mudah teralih apabila anak berlari di atasnya
• Jika boleh,
elakkan daripada membeli permainan trampolin untuk digunakan di rumah
• Jika berbasikal,
bermain papan roda atau kasut roda hendaklah memastikan topi keledar dipakai
• Menggunakan kerusi
keselamatan khusus untuk anak (bergantung pada umur) apabila menaiki kereta
Sumber - Harian Metro