Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Berlakunya Kemalangan Di Rumah
By Zahirah Dzahir - 8/28/2019 05:44:00 PTG
Assalamualaikum
LUKA, lebam dan melecur antara kecederaan yang paling kerap
berlaku di rumah. Ramai panik dan tidak tahu apa perlu dilakukan apabila
berlaku kemalangan, terutama jika ia membabitkan kanak-kanak dan menyebabkan
banyak pendarahan.
Kemalangan di rumah boleh berlaku kepada sesiapa saja
walaupun risikonya lebih tinggi di kalangan kanak-kanak dan orang tua. Antara
jenis kecederaan yang paling banyak dirujukkan ke unit kecemasan hospital ialah
luka, kecederaan mata dan kepala serta luka terbakar.
sumber google
Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) ingin
berkongsi pengetahuan dengan anda mengenai kemalangan di rumah dan cara-cara
menghadapinya.
1. Luka - Perkara ini kerap terjadi pada kanak-kanak dan
ramai ibu bapa panik apabila melihat anak mereka berdarah. Jangan risau,
periksa dulu saiz luka anak.
Jika kecil, segera letak anggota yang berdarah di bawah air
paip dan siram hingga pendarahan berhenti. Ia juga bertujuan menyingkir objek
asing (yang mungkin ada) pada luka. Selepas pendarahan berhenti, lap luka
hingga kering dan balut dengan kain kasa yang steril (bebas kuman). Namun
kaedah ini hanya untuk luka kecil yang tidak menyebabkan terlalu banyak
pendarahan.
Bagi luka besar atau ada objek tertusuk ke dalam luka,
segera bawa anak ke klinik atau hospital berhampiran.
2. Kecederaan mata - Apabila berlaku kecederaan membabitkan
mata, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah cuci tangan anda hingga bersih
dan lalukan air paip pada mata selama 15 minit (mata perlu dibuka).
Teknik ini dipanggil pencucian mata (flushing). Ini adalah
kaedah biasa yang digunakan di klinik dan hospital. Kaedah ini boleh digunakan
jika mata berasa pedih akibat terkena wasap bahan kimia seperti asid pencuci
lantai atau longkang.
Jika mata terkena bendasing, jangan cuba mengeluarkannya
walaupun ia boleh diambil dengan tangan kerana kita tidak tahu berapa dalam
kaca itu tertusuk ke dalam mata. Dibimbangi jika luka itu dalam, ia boleh
menyebabkan pendarahan dan ada serpihan kecil tertinggal dalam luka andai
serpihan itu dikeluarkan sendiri.
Sebaliknya, basuh tangan dan ambil cawan atau gelas plastik
yang bersih dan tekap pada mata berkenaan. Ia bertujuan melindungi mata
daripada terkena benda lain dan segera ke hospital.
3. Jatuh - Bengkak dan luka adalah kecederaan luaran, namun
yang lebih dikhuatiri ialah berlaku kecederaan dalaman, terutama apabila
seseorang itu jatuh dan kepalanya terhentak. Seseorang yang jatuh perlu segera
dibawa ke hospital apabila pengsan (walaupun hanya untuk dua atau tiga saat),
muntah-muntah (ini menandakan ada pendarahan dalaman atau otaknya bengkak) dan
pening.
Kebanyakan dari kita tidak mahu ke hospital kerana
menganggap pening sedikit atau muntah sebagai perkara biasa. Jika ia berlaku
selepas anda jatuh dan kepala terhentak, ia bukan perkara biasa, sebaliknya
petanda penting menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan otak anda.
4. Lecur Atau Lepuh - Mengikut istilah, luka terbakar ada
dalam dua bentuk iaitu lecur (disebabkan haba kering, kesejukan melampau, bahan
mengkakis, radiasi dan cahaya matahari) manakala lepuh pula diakibatkan haba
basah seperti cecair dan wap panas.
Jenis luka terbakar dan punca yang berkemungkinan:
* Luka terbakar yang kering - Disebabkan api, tersentuh
objek panas, contohnya perkakas di rumah, khususnya alat elektrik, periuk
panas.
* Lepuh - Disebabkan wap atau cecair panas (termasuk minyak
panas).
* Luka terbakar akibat arus elektrik - Arus voltan rendah
seperti digunakan dalam alat elektrik di rumah.
* Luka terbakar akibat bahan kimia - Bahan kimia dan agen
kimia yang biasa untuk kegunaan domestik, termasuk pengikis cat, soda kaustik,
racun rumpai, peluntur dan sebarang asid atau alkali yang kuat.
Luka kebakaran boleh dibahagikan kepada tiga peringkat
iaitu:
* Darjah pertama - Kulit menjadi merah, berasa sakit dan
kesannya hilang dalam masa seminggu.
* Darjah kedua - Jenis luka yang paling sakit, menyebabkan
kulit melepuh dan berair. Jangan cucuk gelembung berair ini kerana ia memberi
laluan kepada jangkitan bakteria atau virus. Gelembung berair ini adalah
tindakan semula jadi kulit terhadap kebakaran untuk melindungi sel lain.
* Darjah ketiga - Jenis luka kebakaran paling teruk tetapi
kurang sakit berbanding jenis kedua kerana semua saraf pada bahagian yang luka
termusnah dan mangsa tidak lagi berasa sakit. Kesakitan hanya dirasakan pada
keliling bahagian yang terbakar.
Rawatan untuk luka jenis kedua dan ketiga tidak boleh dibuat
di rumah, sebaliknya mangsa perlu segera dibawa ke hospital. Mangsa akan diberi
rawatan sesuai bagi menyembuhkan luka dan mengelak jangkitan. Untuk luka
kebakaran jenis ketiga, pesakit mungkin perlu menjalani rawatan penggantian
kulit.
Ibu bapa perlu meningkatkan ciri-ciri keselamatan di rumah
dan beritahu anak mengenai perkara yang tidak boleh dilakukan dan terangkan
mengapa ia berbahaya.
Selain itu, sentiasa peka terhadap peralatan di rumah dan
dapatkan khidmat orang berpengetahuan jika berlaku masalah membabitkan
pendawaian mahupun peralatan elektrik. Tidak mengapa berbelanja sedikit,
asalkan kita sekeluarga selamat.
Sumber - Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur
(PKPKL); PKPKL@hotmail.com
0 orang berborak di sini!