IMUNITI YANG KUAT MAMPU MELAWAN COVID-19

By Zahirah Dzahir - 5/15/2020 05:05:00 PG

Assalamualaikum..

IMUNITI YANG KUAT MAMPU MELAWAN COVID-19

Semalam terdapat satu status yang berkongsikan ss perbincangan daripada video berkaitan pesakit COVID-19. Benar atau tidak, kurang pasti kerana cara pengendalian mayat pesakit itu agak meragukan, tiada pemakaian PPE. Pautan perkongsian seperti di bawah . Pun begitu, saya tertarik dengan beberapa kenyataan dalam ss berkaitan virus ini.

google

Benar, bagi orang normal dan sihat, virus ini tidak bahaya pun. Buktinya daripada 4,038,672 kes dunia yang dilaporkan setakat ini, 1,402,323 telah sembuh. Gejalanya adalah seperti jangkitan saluran pernafasan yang lain. Dan badan kita secara semulajadi boleh melawan jangkitan virus ini. Kajian antibodi juga membuktikan sesetengah individu telah PULIH daripada jangkitan tanpa menunjukkan sebarang gejala. Ini adalah sebab kenapa COVID-19 sukar dikawal. Sebab kita tidak tahu siapa yang dijangkiti jika tidak menunjukkan gejala.

Tiada gejala jangkitan sebenarnya adalah bukti sistem imuniti badan yang kuat. Ini kerana gejala yang ditunjukkan oleh badan adalah petanda sistem imun sedang bekerja melawan virus. Semakin dasyat sistem imun melawan, semakin teruk gejala yang dirasai.

Analogi dia macam ini. Bayangkan dalam situasi berperang. Anggap badan kita adalah negara. Tentera adalah imuniti badan. Virus ini pula merupakan pihak musuh. Rakyat adalah sel badan yang lain. Tahap kemusnahan pula adalah gejala.

Dalam peperangan, negara akan diserang oleh pihak musuh. Pentadbiran negara yang kuat dan mantap akan mengesan musuh lebih awal dan terus dihapuskan. Contoh pihak musuh dapat dikesan cuba menceroboh negara. Tentera yang berkawal dibarisan hadapan begitu peka, cekap dan berjaya menawan musuh. Tidak perlu memanggil bantuan tentera lain.  Semasa cuba menawan musuh, adalah lah beberapa kerusi patah. Maka di sini bila dikaitkan dengan gejala jangkitan, setakat bersin dan batuk sekali dua saja. Habis tercampak keluar virus daripada badan. Kira macam ‘silent war’ lah. Ini lah golongan yang mempunyai imuniti yang sangat kuat, tanpa gejala.

Jika tentera barisan hadapan sedikit leka, musuh berjaya menembusi. Datang pula tentera bantuan dan cuba bertahan. Daerah yang berdekatan kawasan  pencerobohan terkesan sekali. Beberapa tentera dan orang awam terkorban. Satu kampung musnah, namun berjaya juga musuh ditawan. Keadaan ini kita boleh gambarkan orang yang telah dijangkiti mengalami gejala sakit kepala dan demam. Golongan ini kurang sedikit daya tahan imuniti.

Bayangkan pula serangan itu cukup dasyat, tentera di barisan hadapan lumpuh. Ramai tentera bantuan terpaksa dikerah, serangan musuh telah sampai ke separuh negara. Ramai tentera dan rakyat yang terkorban. Banyak kerosakkan telah berlaku. Sehingga terpaksa meminta bantuan daripada tentera daripada negara luar. Sebahagian kawasan belum terkesan namun sudah boleh merasai bahang musuh. Keadaan ini boleh menggambarkan pesakit yang sudah memerlukan oksigen. Sistem imuniti lemah. Ubat juga diberikan untuk mengurangkan gejala.

Sekarang bayangkan pula serangan tadi yang mana telah berjaya sampai ke seluruh negara. Tentera dalaman dan luar yang dikerah dan mereka akan cuba sedaya upaya mempertahankan negara. Sedaya mungkin akan menepis serangan pihak lawan dengan segala senjata dan peluru yang ada untuk bertahan. Semasa berperang ini, demi menghapuskan musuh, segala bangunan dan rumah akan ranap dibom. Maka, banyaklah kerosakkan yang berlaku. Rakyat berada dalam ketakutan dan rasa tidak selamat. Ramai tentera dan rakyat yang terkorban. Kini redha dengan segala kerosakan, bertahan dan berharap tentera akan menang. Keadaan ini kita boleh gambarkan pesakit yang sudah memakai alat bantuan pernafasan (ventilator) dan hanya bertahan dengan penuh harapan.

Sekiranya tentera yang bertahan tadi menang, maka musuh akan berjaya disingkirkan. Badan yang dijangkiti akan mengambil masa untuk pulih sepenuhnya. Malang sekiranya tentera yang bertahan tadi kalah, negara berjaya ditawan. Di sinilah kematian pesakit menjadi pengakhir.

Begitulah gambaran bagaimana sistem imuniti kita berfungsi. Di kala tiada pilihan kerana ketiadaan ubat dan vaksin khusus untuk COVID-19, kita harus bina dan kuatkan imuniti semulajadi badan. Aktifkan badan, lakukan  aktiviti yang banyak mengerakkan badan. Ambil makanan berkhasiat, banyakkan sayur-sayuran dan buah-buahan. kurangkan makanan segera dan terproses. Elakkan minuman yang manis. Minum air kosong secukupnya. Jika perlu, ambil supliment seperti vitamin C dan E.

Biarkan kulit terkena cahaya matahari terutamanya di pagi hari. Buka pintu, tingkap, jendela dan beraktiviti di luar rumah untuk mendedahkan diri kepada sedikit kuman luar. Agar imuniti badan berlatih berlawan. Amalkan kebersihan. Kerap cuci tangan dengan air dan sabun. Jika keluar dari rumah, pakai lah topeng muka. Amalkan jarak yang disarankan. Bawa hand sanitiser. Balik rumah, terus rendam atau cuci baju yang dipakai tadi dan mandi.

Baiklah. Kembali kepada status yang membuat perkongsian tadi. Rupanya dia merupakan seorang antivaksin. Saya sebenarnya kurang faham dengan sikap golongan ini. Mereka seakan pentingkan diri sendiri. Mungkin mereka tidak kisah yang lain sakit, asalkan mereka sihat dengan alasan kenapa tidak menjaga kesihatan 🤔

Kita, berjaga dengan COVID-19 kerana kita tidak mahu lebih ramai orang yang berisiko (lemah imuniti) terkorban. Kita yang kuat imuniti ini juga pastinya tidak mahu menjadi PUNCA (pembawa tanpa sedar dan menjangkiti) kepada kematian mereka. Dan kenyataan ini bukan main-main. Setakat hari ini sudah 276,880 kes kematian dilaporkan di seluruh dunia. Ingat, bukan semua orang sengaja tidak menjaga kesihatan lalu menjadi sakit. Ada yang dilahirkan dengan kekurangan. Begitulah kita memikirkan insan-insan lemah yang lain. Dan itulah juga salah satu sebab kita yang sihat ini ambil vaksin.

https://www.facebook.com/1183287947/posts/10221845307180195/?d=n


  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!