Perlunya Ibu bapa Berwaspada Bila Anak ' Kepalanya Terhentak '

By Zahirah Dzahir - 7/11/2019 05:43:00 PTG



Assalamualaikum

Apabila anak terjatuh dan mengalami hentakan di kepala, setiap ibu bapa pasti akan menjadi risau kerana takutkan pendarahan di dalam kepala, namun tidak semua hentakan mesti disusuli pendarahan.


Lapisan kepala terbahagi kepada kulit, tengkorak dan otak. Apabila berlaku hentakan atau trauma ke kepala ia boleh menyebabkan kecederaan kepada kulit, tengkorak atau otak.

Pakar Perunding Pediatrik Hospital Pakar KPJ Tawakkal Dr Faisal Mohd Fadzli berkata, kesan kepada kulit saja tanpa kecederaan kepada otak biasanya tidak serius tetapi secara visualnya ia boleh membimbangkan ibu bapa.

---Baca Juga-----


-------------------------

Menurutnya, apabila hentakan berlaku, kulit mungkin terkoyak dan menyebabkan pendarahan tetapi jika luka itu besar dan membabitkan salur darah yang besar ia boleh menyebabkan pendarahan serius.

Oleh itu, katanya, usaha perlu dilakukan untuk menghentikan pendarahan kerana kesan serius boleh berlaku kepada mangsa jika hilang darah dengan banyak.

“Apa yang perlu dilakukan sekiranya terdapat luka pada kulit selepas hentakan ialah mengenakan tekanan pada luka dengan menekapnya menggunakan kain yang bersih.

“Jika pendarahan tidak berhenti atau luka agak besar, terus bawa mangsa ke klinik atau pusat kesihatan yang paling dekat sambil meneruskan tekanan terhadap luka berkenaan,” katanya menerusi portal doktorbudak.com.


Selain luka, katanya, ada juga kecederaan kepada kulit kepala disusuli benjol saja yang boleh disebabkan oleh bengkak pada kulit atau pendarahan di bawah kulit apabila darah berkumpul antara kulit kepala dan tengkorak.

Ini bermakna pendarahan itu di luar otak dan tidak akan menghimpit otak kerana dihalang oleh tengkorak.

Katanya, walaupun begitu, apabila ada benjol ia tidak bermaksud pendarahan hanya berlaku di luar otak dan tiada pendarahan berlaku dalaman otak sebaliknya, mangsa masih perlu diberi perhatian jika menunjukkan simptom yang menandakan pendarahan dalam otak, mangsa perlu dibawa untuk rawatan segera.

Benjol

Benjol di kepala yang disebabkan pendarahan di bawah kulit biasanya akan hilang dengan sendirinya dan boleh mengambil masa satu hingga dua minggu untuk hilang sepenuhnya.
“Mangsa mungkin akan rasa sakit di tempat benjolan itu dan mungkin lebih sakit jika benjol ditekan. Tuaman sejuk boleh mempercepatkan benjolan itu reda atau berkurang manakala tuaman panas dapat mengurangkan sakit tetapi perlu disusuli tuaman sejuk kerana panas akan menyebabkan cecair tisu bertambah dan bengkak.

“Darah beku itu akan perlahan-lahan diserap balik ke tisu sekeliling dan benjol atau bengkak pula surut dan hilang,” katanya.

Dr Faisal berkata, kecederaan pada tengkorak dan otak mempunyai kesan yang lebih serius berbanding kecederaan kulit saja dan kedua-duanya boleh berlaku tanpa apa-apa kesan pada kulit.

Ini bermakna, katanya, jika ada hentakan kepala dan dari segi luarannya mangsa tiada luka atau benjol atau sebarang tanda kecederaan, ia tidak bermaksud tiada pendarahan atau kesan pada otak.

Keretakan tengkorak dikategorikan sebagai kesan hentakan yang serius. Keretakan pada tengkorak bermaksud berlakunya hentakan yang sangat kuat dan ia berisiko memberi kesan kesan serius kepada saraf dan otak.

Ia juga akan menyebabkan otak terdedah kepada risiko jangkitan kerana kuman boleh masuk melalui keretakan itu.

Selain keretakan tengkorak, kecederaan ke otak boleh berlaku dengan pendarahan dalaman otak. Bergantung kepada di mana hentakan berlaku, pendarahan dalaman otak boleh berlaku di mana-mana di dalam otak.

Antara simptom pendarahan dalam otak atau kecederaan pada otak adalah :

• Pengsan selepas trauma

• Otot menjadi lemah atau sebahagian/semua badan tidak boleh bergerak

• Amnesia/hilang ingatan

• Keliru

• Sakit kepala dan sakit mata apabila terdedah kepada cahaya

• Sawan

• Muntah lebih dari sekali

• Tidak dapat bercakap dengan betul atau muka menjadi senget sebelah

• Darah atau cecair keluar dari hidung atau telinga

• Pupil atau mata hitam tidak sama saiz

• Penglihatan kabur atau nampak objek lebih dari satu

Oleh itu, jika terdapat simptom ini jangan berlengah lagi untuk membawa mangsa ke hospital berdekatan. Jika doktor sudah memeriksa anak dan membenarkan dibawa pulang, kebiasaannya doktor akan memberi nasihat untuk memerhatikan anak sekurang-kurangnya dalam 24 jam yang pertama untuk tanda seperti di atas.

Pesanan penting



Selain itu, ibu bapa juga dinasihatkan untuk:

• Memberi parasetamol sahaja jika perlu ubat untuk mengurangkan sakit. Tidak disarankan untuk memberi ubat dari kategori ubat anti radang bukan steroid (NSAID) seperti ibuprofen (Brufen, Bifen, Buprol-B, Ibufac, Nurofen) atau diclofenac (Cataflam, Voren).

• Memberi makanan yang mudah dihadam seperti bubur dan buah-buahan.

• Membenarkan anak membuat atau bermain aktiviti ringan. Aktiviti berat dan sukan bersentuhan harus dielakkan dahulu. Aktiviti yang boleh menyebabkan hentakan kepala harus dielakkan juga.

• Mengelakkan dahulu aktiviti yang memerlukan tumpuan seperti membaca dan membuat kerja sekolah.

• Membenarkan anak untuk tidur apabila kembali daripada hospital. Bagaimanapun, anak hendaklah perlu diperiksa dan dikejutkan secara lembut setiap dua ke tiga jam. Jangan dibiarkan anak tanpa perhatian dalam tempoh 24 jam pertama.

• Apabila dikejutkan cuba bertanya soalan mudah seperti nama mereka.

• Cuba lihat mata hitam mereka jika saiznya sama. Jika berbeza hendaklah dibawa terus kepada doktor. (Anda mungkin tidak dapat memastikan keadaan ini, maka sekiranya musykil, dapatkan pemeriksaan doktor)

Beliau berkata, jika mangsa tiada simptom berkaitan, kebarangkalian pendarahan dalam otak adalah tipis tetapi untuk mangsa pulih sepenuhnya daripada hentakan itu boleh mengambil masa berminggu malah ada yang hingga berbulan.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan kes yang tiada tanda pendarahan dalam otak, mangsa akan pulih sepenuhnya tanpa apa-apa kesan jangka masa panjang walaupun tempoh untuk pulih mengambil masa yang lama.

“Jika kanak-kanak membesar dengan sihat dan semakin cerdik, ibu bapa tidak perlu risau terhadap darah beku atau kesan hantukan itu, jika ada sekali pun darah beku ia sudah diserap ke tisu sekeliling tempat hentakan itu,” katanya.


Langkah keselamatan

Kita tidak mungkin dapat memantau pergerakan anak sepanjang masa walaupun ada penjaga di rumah. Oleh itu, ada baiknya kita membuat sedikit pelaburan untuk mengurangkan risiko kecederaan atau kemalangan di rumah. Antara langkah keselamatan yang boleh diambil adalah:

• Memasang jeriji besi atau penghadang tingkap kepada semua tingkap yang boleh dibuka di rumah

• Memasang pagar keselamatan pada tangga rumah jika ada

• Memastikan tiada barang atau mainan pada tangga yang boleh menyebabkan anak terpijak dan jatuh

• Memastikan anak tidak bermain di tangga atau pun melompat antara perabot

• Jangan biarkan bayi atau anak kecil di tempat tinggi seperti atas katil atau sofa

• Memastikan palang katil sentiasa diangkat apabila anak di dalamnya

• Balut bucu perabot yang tajam contohnya bucu meja, almari atau rak

• Jika ada bajet lebih, beli alas lantai yang mampu menyerap hentakan

• Elakkan menghampar permaidai ringan atau kecil yang mudah teralih apabila anak berlari di atasnya

• Jika boleh, elakkan daripada membeli permainan trampolin untuk digunakan di rumah

• Jika berbasikal, bermain papan roda atau kasut roda hendaklah memastikan topi keledar dipakai

• Menggunakan kerusi keselamatan khusus untuk anak (bergantung pada umur) apabila menaiki kereta

Sumber - Harian Metro

  • Share:

You Might Also Like

4 orang berborak di sini!

  1. betul kene hati-hati..bawak juga pergi klinik cek

    BalasPadam
  2. Abg Qi pernah melalui koyakan panjang di atas alis matanya di sekolah...mujur pihak sekolah laju bawa ke klinik...6 jahitan gak dapat...tp juju masa drive nak ke klinik tu air mata bercucuran laju gaklah wpun bukan salah dia kena terima kes mcm tu...yg bestnya tak payah bayar satu sen...sekolah cover insurans. Alhamdulilah, cikg2u baik sgt.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Seriaun dengarnya.. banyak juga 6 jahitan tuu.. alhamdulillah nasib baik abg qi ok² ja

      Padam