Perlunya Kita Memilih Bahagia Dan Tenang Agar Kehidupan Kita Lebih Positif

By Zahirah Dzahir - 3/26/2020 12:31:00 PTG

Assalamualaikum..

HIDUP akan tertekan apabila masing-masing sibuk dengan makhluk Allah dan tidak fokus kepada pencipta makhluk.

Lantaran itu, Imam Syafie pernah berkata:

“Kurangilah kesenanganmu pada dunia, agar berkurang kedukaanmu di akhirat.” Hal ini kerana, fokus kepada dunia melemahkan manusia, tetapi fokus kepada akhirat menguatkan manusia. Oleh itu, jalani kehidupan ini dengan membebaskan diri daripada pandangan dan penghargaan manusia yang tidak ada apa-apa dan tidak tahu apa-apa.


Buatlah pemilihan yang benar dan memberikan hasil kehidupan yang positif kepada diri. Keputusan pilihan itulah yang menentukan kesejahteraan hidup di dunia dan yang penting untuk kehidupan di alam yang kekal kelak. Maksudnya kita memerlukan satu keputusan kehidupan, sama ada mahu mencari reda Allah atau penghargaan manusia. Pilihan yang utama dalam hidup ini adalah keyakinan kepada Allah SWT dan kunci keyakinan ialah ilmu dan keikhlasan menuntut ilmu tanpa berasa diri kita yang terbaik. Kerana dalam hidup ini yang perlu diingatkan adalah bukan bagaimana ia bermula, tetapi bagaimana kehidupan ini berakhir.

Sebab itu perkara utama yang mengancam hidup ini bukan apa yang berlaku terhadap kita, tetapi kejahatan yang lakukan oleh diri sendiri. Yakni, tangan yang memilih tindakan, kaki yang memilih langkah haluan, ke arah ketakwaan atau kemungkaran? Pilihan yang terbaik, bersihkan hati dengan melihat dan menilai diri, bertaubat dan berniat untuk berubah dan istiqamah melakukan perubahan pada diri bukan cuba menyalahkan orang lain. Penuhi hati dengan zikrullah, banyakkan bersedekah, jaga kualiti solat dan jaga semua kualiti ibadah.

Jiwa ini tidak akan dibersihkan selagi kita hanya melihat keburukan dalam diri orang lain. Jadilah diri ini insan yang membahagiakan dan menenangkan orang lain. Kebanyakan kita inginkan ketenangan, tetapi tidak pernah menenangkan orang lain. Kita hendak bahagia, tetapi tidak pernah bahagiakan orang lain. Ingatlah prinsip kehidupan `ada-beri-dapat’ yang diperkenalkan dalam konsep pemikiran `reset minda’. Maknanya, hanya orang yang `ada’ ketenangan, kebahagiaan dan kebebasan dalam dirinya yang dapat `beri’ ketenangan, kebahagiaan dan kebebasan kepada orang lain. Akhirnya kita akan `dapat’ respons kehidupan yang positif.

Salah satu cara Allah memberikan kebaikan atau hidayah kepada seseorang ialah apabila dia sibuk melihat kesilapan dirinya dan sibuk melihat kebaikan orang lain. Dia juga tidak sempat melihat keburukan orang lain Manusia paling malang ialah manusia yang menyembunyikan keburukan diri tetapi sibuk mencanangkan keburukan orang lain dan sentiasa berasakan dirinya lebih baik daripada orang lain.

Tip untuk menjaga kebahagiaan dan ketenangan diri. Pertama, perlu hilangkan minat untuk melabel atau menghukum orang. Punca pergaduhan kerana suka melabel dan menghukum orang kerana sibuk hendak menegakkan benang yang basah. Yakni tidak mahu mengaku kesilapan dan tidak mahu menerima kenyataan. Kedua, sentiasa menjadikan orang lain itu penting dalam hidup ini dan bukan kita mementingkan diri sendiri. Ketiga, melayani orang sebaik mungkin.

Keempat, jadikan setiap pertemuan dengan seseorang itu sebagai satu pengalaman terindah buatnya, hingga dia teruja untuk meneruskan silaturahim dengan kita. Apabila berbicara cari perkataan yang menyeronokkan dan menyenangkan hati orang yang mendengar. Kalau berasa sukar untuk tuturkan kata-kata yang baik, bermakna kurang kebaikan dalam diri seseorang. Jangan sesekali menghina terutama menghina peribadi. Beradab walaupun dalam keadaan bergurau. Janganlah amalkan sikap yang kononnya kutuk-mengutuk membawa bahagia. Mudah memaafkan orang, biarpun orang berkenaan berbuat salah dan kita ada hak untuk membalasnya, Memang sukar untuk melupakan satu-satu kejadian yang boleh menggores hati tetapi usah ambil sikap memikirkan perkara negatif itu lagi.

Anggap semua yang terjadi itu sebagai takdir. Ingatlah, kita tidak boleh mengubah `arah angin yang bertiup, tetapi seseorang itu boleh mengubah arah layar bahteranya. `Arah angin’ adalah dalam takdir ketentuan Yang Maha Berkuasa tetapi orang yang bijak akan menjaga `layar bahtera’, agar tidak musnah disasar ribut taufan. Sesungguhnya orang yang memaafkan itu merupakan orang yang suci hatinya, serta berjaya merendahkan egonya dan berjaya meningkatkan ketakwaannya.

Seperkara lagi kebahagiaan dan ketenangan akan dikecap apabila kita berjaya membuang dendam. Ingatlah, sesiapa yang tidak memaafkan orang sebenarnya sedang menyimpan racun dalam badannya, yang akan memusnahkan hidupnya sedikit demi sedikit

Analoginya seperti patukan ular, yang mematuk mangsanya cuma sekali patukan tetapi bisanya merayap ke seluruh badan hingga akhirnya boleh menyebabkan kematian. Sememangnya hendak memaafkan mudah, tetapi hendak memohon maaf itu yang sukar, kerana terpaksa menurunkan keegoan kita. Allah itu Maha Pengampun dan sudah tentu kita akan membuat pilihan hidup yang betul dan tepat. `Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak’.

Sumber :
PROF. DATUK DR. MUHAYA MOHAMAD

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!