Apa sebenarnya yang perempuan rasa bila meroyan? - Dr Taufiq Razif

Assalamualaikum..

google
Penerangan dari Dr Taufiq Razif..

Kenapa ada ibu sanggup tikam anak sendiri?
Hari ni mood saya agak suram. Mana tak suram bila terbaca berita tergempar yang mana seorang ibu sanggup tikam anak sendiri bertubi tubi sebanyak 20 tikaman! Dan salah satu tikaman tu menyebabkan usus anaknya terburai keluar!
Saya sedih tapi saya tak pelik. Dalam dunia perubatan benda ni sebenarnya memang wujud. Penyakit ni dinamakan Pospartum Psychosis. Orang Melayu kita biasa panggil Meroyan.
Dalam dunia perubatan ada 3 peringkat penyakit yang kita biasa sebut Meroyan ni.
1. Baby blues
Baby blues ni kiranya level meroyan paling rendah la. Biasanya berlaku dua tiga hari lepas bersalin dan boleh berlanjutan sampai dua minggu lamanya.
Benda ni agak biasa la untuk ibu yang baru beranak pertama kali kan. Yela, malam yang dulunya sunyi sekarang dihiasi tangisan bayi kecil yang nyaring dan kuat tu sampai ke pagi. Dengan jadual waktu tidur si ibu yang entah ke mana dan ditambah lagi dengan suami yang tak reti nak membantu memang la si ibu jadi mudah stress. Suami yang nampak tahi hijau baby pun dah muntah hijau memang membuat si ibu bertambah stress.
Tanda-tanda si ibu dah kena baby blues ni adalah :
+ mood swing
+ mudah cemas
+ selalu menangis
+ kurang selera makan
+ susah tidur
2. Pospartum depression
Ni level Meroyan yang pertengahan. Penyakit ni macam Baby Blues jugak tapi simptomnya lebih teruk dan lebih lama. Biasanya boleh sampai 6 bulan lepas bersalin. Ibu yang kena Pospartum Depression ni biasanya nak jaga baby dia sendiri pun dah tak berapa nak mampu.
Antara tanda-tanda dah kena penyakit ni :
+ mood swing yang teruk
+ menangis yang melampau lampau
+ susah nak bonding dengan baby. Kadang ada rasa benci kat baby sendiri
+ rasa takde tenaga dan tak boleh tidur
+ rasa nak hempas baby ataupun cederakan baby
+ rasa diri tak berguna
3. Pospartum Psychosis
Ni level Meroyan yang paling dasyat. Biasanya yang kena penyakit ni akan berhalusinasi. Kalau si isteri yang dalam pantang dah mula merepek cakap yang bukan bukan atau dia cakap nampak benda yang bukan bukan sila berhati hati. Macam kes Pretty yang sanggup bunuh anaknya sendiri. Bila disoal siasat dia boleh pulak cakap dia cuma bunuh perompak je.
Memang ibu yang kena Pospartum Psychosis ni tak boleh jaga anak sendiri sebab masa tu fikiran dia dah tak rasional dah. Sebab tu suami yang ada isteri baru lepas bersalin sila jaga fizikal dan mental isteri baik-baik. Jangan bagi isteri stress walaupun sedikit.
Jangan bagi isteri fikir kain kat jemuran dah angkat ke belum. Jangan bagi isteri fikir pinggan kat dapur dah cuci ke belum. Biarlah isteri kita cuma fokus pada baby yang baru lahir je. Biarlah dia menyusu dengan penuh tenang dan tenteram. Isteri kita baru je mengalami kesakitan fizikal yang sangat dasyat masa melahirkan zuriat kita, jangan la kita tambah kesakitan pada jiwanya pula ye. Lebih-lebih lagi dalam tempoh berpantang.
Jom bantu isteri kita!
P/ S : Saya Taufiq Razif bukan doktor sakit jiwa tapi saya rasa ilmu ni semua suami kat dunia WAJIB tahu! Bahaya sangat bila suami takde ilmu nak kenalpasti tahap stress si isteri yang baru lepas bersalin. Sila la tag dan share pada pasangan masing-masing. Semoga bermanfaat.
Apa sebenarnya yang perempuan rasa bila meroyan?
Saya terkejut besar sehari dua ni bila baca Private Message ( PM ) dan komen-komen sahabat Facebook saya. Rupanya ramai perempuan yang dah ada tanda-tanda terkena penyakit Meroyan tapi orang sekeliling tak sedar dan tak amik kisah pun lebih-lebih lagi suami sendiri.

Saya tahu mungkin para suami masa tu pun tengah pening untuk menyesuaikan diri dengan kedatangan orang baru dalam rumahtangga mereka. Pening fikirkan duit susu anak. Pening fikirkan jadual bertungku isteri. Pening fikirkan lauk pantang isteri. Pening fikirkan bila nak buat aqiqah baby dan banyak lagi tapi kesihatan dalaman dan mental isteri tak boleh dipandang sebelah mata. Bahaya besar tu kalau terlepas pandang!

Si isteri pulak kalau dah sedar diri tu ada tanda-tanda nak meroyan kena la bagitahu suami ye. Bagitahu elok-elok. Jangan takut untuk bagitahu suami sendiri. Suami sendiri kan. Bukan orang luar pun. Kalau orang luar mungkin diorang akan ingat kita ni dah gila tapi kalau suami ni biasanya dia akan cuba sedaya upaya untuk bantu kita dalaman mahupun luaran.

Antara tanda-tanda diri kita terkena penyakit Meroyan yang teruk ( Postpartum Psychosis ) ialah :

+ mendengar suara yang entah dari mana menyuruh kita melakukan sesuatu ataupun mengkritik orang di sekeliling kita . Suara tu boleh berupa suara televisyen, suara radio ataupun suara manusia berbisik. Suara tu juga boleh berupa suara yang terngiang ngiang di dalam kepala dan tak boleh dihilangkan walaupun dah bermacam cara dibuat untuk menghilangkannya.

+ tiba-tiba merasakan orang di sekeliling kita sedang berpakat untuk mencederakan atau menyakiti kita. Boleh jadi tiba-tiba kita curiga dengan orang yang selama ni kita percaya. Boleh jadi juga kita merasakan orang sekeliling kita cuba menyakiti dan membunuh baby kita

+ secara tiba-tiba merasakan diri sendiri mempunyai kelebihan dan kekuatan luarbiasa yang melebihi orang normal. Rasa diri sangat kuat dan tak perlukan tidur walaupun secara realitinya fizikal kita dah sangat lemah dan perlukan rehat tapi otak kita tak mampu berhenti berfikir

+ merasakan ingatan, hafalan dan fokus makin tumpul. Kita susah nak fokus buat sesuatu perkara. Contohnya kita dah lupa resepi masakan yang biasa kita buat selama ni ataupun kita dah mula lupa jalan yang biasa kita gunakan untuk ke pasaraya ataupun pejabat

+ kita merasakan masa bergerak terlalu pantas ataupun terlalu perlahan. Kita dah tak tahu tarikh, waktu dan tempat kita berada sekarang

+ kadang-kadang kita merasakan ada sesuatu yang selalu merayap rayap di seluruh permukaan kulit kita

+ kita perasan yang orang terdekat kita mengatakan kita berkelakuan aneh padahal kita rasa normal je. Boleh jadi kita tak sedar pun apa yang kita dah buat

+ kita merasakan yang kita takkan boleh sembuh daripada penyakit Meroyan ni dan jalan keluar yang terbaik adalah dengan membunuh diri

Bila kita ataupun suami kita perasan yang kita dah ada tanda-tanda Meroyan ni jangan cepat panik! Kebanyakan orang yang mengalami Postpartum Psychosis ni boleh sembuh secara sempurna. Kebanyakan yang meroyan ni pun biasanya mengalami delusi ataupun halusinasi yang tak memudaratkan diri dan bayi. Hanya 5% je yang dikaitkan dengan bunuh diri  
( suicide rate ) dan hanya 4% je yang melakukan pembunuhan anak kandung sendiri 
( infanticide ).

Suami pulak bila isteri dah ada tanda-tanda meroyan ni jangan la pulak buat tak tahu je. Meroyan tahap dah rasa nak bunuh diri ataupun rasa nak bunuh anak sendiri perlu segera dibawa ke kecemasan. Sila jumpa doktor di bahagian kecemasan ( Emergency Department ) dan ceritakan simptom dan perkara yang dialami isteri.

Ingat! Sokongan suami sangat diperlukan oleh si isteri. Lebih-lebih lagi masa dalam tempoh berpantang. Saya percaya sikap suami masa merawat isteri dalam pantang la yang akan menentukan tahap meroyan si isteri. Saya percaya suami yang tak meminggirkan isteri dan merawat isteri dengan penuh cinta dan kasih sayang semasa dalam tempoh berpantang akan membuatkan hati isteri menjadi tenang dan sekaligus akan menjauhkan isteri daripada penyakit meroyan yang dasyat ni.
P/ S : Saya Taufiq Razif doktor biasa je tapi isteri saya yang sekarang doktor kat Bahagian Kecemasan pesan, "Kalau ada tanda-tanda meroyan ringan macam mood swing yang teruk dan menangis tak berhenti tanpa sebab boleh la ke Klinik Kesihatan yang berdekatan dulu. Nanti doktor di sana akan rujuk pada kaunselor untuk sesi terapi ye". Sila tag dan share pada pasangan masing-masing ye. Bagi saya semua suami kat dunia ni kena tahu ilmu tentang meroyan ni. Baru la hati isteri tenang bila dapat suami yang ada ilmu untuk merawat dan membantu isteri masa tempoh berpantang kan.

Jom bantu isteri kita melalui tempoh berpantang dengan penuh tenang dan tenteram ye.

kredit fb Dr Taufiq Razif

Tiada ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.