Nurul Husna Wan Shukri Dinobatkan Tokoh Tahfiz 2015

By Zahirah Dzahir - 12/28/2015 01:54:00 PTG

Assalamualaikum..


Alhamdulillah..sejuk hati perut dengaq..Nurul Husna Wan Shukri, 16, dinobatkan Tokoh Tahfiz 2015 serta pelajar terbaik keseluruhan sempena Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan Kali ke-6.

Husna berjaya peroleh 5A dalam UPSR dan 8A dalam PT3 akui bukan mudah untuk menghafal 30 juzuk dan ulangkaji pelajaran pada masa yang sama, tetapi dia berjaya


- Mummy Ira -


Kota Bharu: “Bukan mudah untuk menghafal 30 juzuk al-Quran dan pada masa sama menelaah pelajaran. Bagaimanapun, berkat disiplin serta doa, Alhamdulillah saya berjaya melakukannya,” kata Wan Nurul Husna Wan Shukri, 16, yang dinobatkan Tokoh Tahfiz 2015 serta pelajar terbaik keseluruhan sempena Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan Kali ke-6 di Balai Islam Lundang di sini, semalam.

Wan Nurul Husna memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 8A dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun lalu.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob. Seramai 370 pelajar daripada sembilan sekolah tahfiz menerima sijil penghargaan di atas kecemerlangan masing-masing.

Wan Nurul Husna membawa pulang wang tunai RM1,000, pakej umrah, komputer riba dan sijil penghargaan.

Menurut pelajar tingkatan empat Maahad Tahfiz Sains, Tanah Merah itu, dia aktif menyertai beberapa pertandingan menghafal al-Quran dan meraih tempat kedua melalui Majlis Menghafal al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Kategori 10 Juzuk, tahun lalu.

“Selain menghafal al-Quran, saya berusaha untuk berjaya dalam bidang akademik. Saya mahu berjaya dalam kedua-dua bidang ini demi mencapai cita-cita sebagai arkitek.

“Walaupun sibuk dan jadual padat namun saya bersyukur kerana dapat membahagikan masa dan memperuntukkan dua jam sehari untuk menghafal al-Quran serta dua jam lagi untuk akademik.

“Ia penting demi masa depan dan saya tidak mahu menoleh ke belakang kerana banyak persaingan pada masa akan datang,” katanya.

Wan Nurul Husna anak bongsu daripada enam beradik kepada pasangan Wan Shukri Wan Hussein, 52, dan Nisah Zakaria, 55, berkata, dalam tempoh tiga tahun, dia berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran berserta terjemahannya.

Sementara itu, pelajar terbaik menghafal al-Quran di bawah tempoh tiga tahun, Mohamad Murabbi As Solihin Kayati, 15, berkata, untuk melakukannya, dia menjaga pemakanan dan tidak mengambil makanan segera.

“Sebaik bangun tidur, saya akan mengambil kismis dan buah kurma untuk menguatkan daya ingatan.

“Saya amalkan disiplin ini demi mencapai impian untuk menjadi penghafal al-Quran berjaya dan melanjutkan pelajaran di Madinah, Arab Saudi,” katanya.

harian metro

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!