Panduan Buat Mereka Yang Nak Jadi Ibu Susuan

By Zahirah Dzahir - 11/04/2018 09:44:00 PTG

Assalamualaikum..


Penyusuan anak angkat bukan sesuatu yang mudah. Biarpun begitu ia bukanlah mustahil. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Memberikan susu ibu kepada anak angkat bukan semata-mata bertujuan menjadikan anak itu muhrim kepada ibu bapa angkatnya. Ia lebih bertujuan memberikan makanan terbaik untuk bayi. Susu ibu tetap paling baik berbanding susu formula! 

Itulah yang dinyatakan oleh Dr. Jack Newman di dalam bukunya, The Ultimate Breastfeeding Book of Answers. Menurut beliau, susu formula bukanlah pilihan kedua terbaik selepas susu ibu. Sebaliknya, ia adalah pilihan keempat selepas susu perahan ibu dan susu ibu daripada ibu susuan.

Langkah pertama yang perlu anda dan suami lakukan ialah menjalani proses kaunseling penyusuan sebelum mengambil anak angkat. Tujuan kaunseling ini adalah untuk menyediakan anda berdua daripada segi mental dan fizikal sebelum menerima tanggung jawab besar memelihara anak angkat. Persediaan mental amat penting kerana proses penyusuan yang bakal dilalui bukanlah sesuatu yang biasa tetapi memerlukan proses adaptasi.

Setelah bersedia daripada segi mental, seterusnya anda berdua perlu melakukan persediaan fizikal termasuk memulakan rangsangan dengan kaedah yang betul. Anda juga perlu menyediakan peruntukan kewangan yang cukup bagi menyara kehidupan bayi termasuklah perbelanjaan rawatan penghasilan susu.

Selanjutnya, bagi anda yang sudah bersedia mencetuskan susu ibu, adalah lebih baik melakukannya seawal yang boleh. Disarankan untuk mula melakukannya seawal 6 bulan sebaik sahaja keinginan anda untuk mengambil anak angkat dimuktamadkan. Walau bagaimanapun, jika kesuntukan masa, anda masih boleh melakukannya asalkan mempunyai keazaman yang tinggi untuk terus berusaha menghasilkan susu untuk diberi kepada anak angkat yang bakal diterima.

Persediaan dalam masa 6 bulan

1. 6 bulan sebelum jangkaan menerima bayi angkat, makan pil perancang (Yasmin atau Microgestin) setiap hari bersama 10 mg Domperidone, 4 kali sehari selama 1 minggu. Penggunaan pil perancang pada peringkat awal ini bertujuan merencatkan penghasilan susu ibu sebagaimana proses yang berlaku di awal kehamilan.

2. Selepas seminggu, tingkatkan dos Domperidone kepada 20 mg 4 kali sehari. Payu dara akan mengalami sedikit perubahan saiz namun hal ini adalah normal.

3. Teruskan kekalkan dos yang sama sehingga 6 minggu sebelum tarikh jangkaan menerima kehadiran bayi.

4. 6 minggu sebelum mahu mengambil bayi, hentikan pengambilan pil perancang tetapi teruskan dos 20 mg Domperidone 4 kali sehari. Menghentikan pil perancang pada peringkat ini akan mengurangkan aras progesteron dan meningkatkan penghasilan prolaktin sebagai persediaan mencetuskan susu ibu.

5. 2 minggu selanjutnya, anda boleh mula mengepam setiap 3 jam. Sebaik-baiknya gunakan pam elektrik berganda. Apabila mula mengepam, anda boleh mengamalkan memakan makanan penggalak susu ibu seperti halba dan oat. Anda juga perlu minum banyak air tetapi kurangkan pengambilan minuman berkafein. Hal ini kerana kafein boleh mengurangkan kandungan air dalam tubuh.

6. Pada peringkat ini susu ibu sepatutnya sudah hadir tetapi dalam kuantiti yang sedikit dan warnanya putih jernih. Selepas beberapa hari atau minggu, susu sebenar akan terhasil.

Persediaan kurang daripada 6 bulan

1. Makan pil perancang (Yasmin atau Microgestin) setiap hari selama 30 hingga 60 hari bersama 20 mg Domperidone 4 kali sehari. Penggunaan pil perancang pada peringkat awal ini adalah bertujuan merencat penghasilan susu ibu sebagaimana proses yang berlaku di awal kehamilan.

2. Selepas 30 hari, jika berlaku perubahan pada payu dara (saiz bertambah, tegang dan penuh) hentikan pengambilan pil perancang tetapi kekalkan dos Domperidone 20 mg 4 kali sehari.

3. Seterusnya anda boleh mula mengepam. Gunakan pam elektrik berganda. Makan makanan penggalak susu ibu seperti halba, oat da minum banyak air.

Syarat Menjadi Ibu Susuan Mengikut Lunas Islam
 

1. Wanita yang menyusukan. Disyaratkan wanita tersebut telah mencapai usia sembilan tahun.

2. Anak yang disusukan. Disyaratkan umur anak angkat tidak melebihi dua tahun.

3. Susu ibu. Disyaratkan susu ibu yang diberi kepada bayi membantu pertumbuhannya.

Had penyusuan perlulah tidak kurang daripada 5 kali (dalam waktu berasingan dengan kadar penyusuan mengikut kebiasaan). Maksud penyusuan mengikut kebiasaan ialah anda menyusukan anak angkat sehingga kenyang. Proses sedemikian dikira sebagai 1 kali susuan.

Jika proses penyusuan itu diselangi dengan keadaan tertentu yang tidak lama seperti anak berhenti menyusu kerana bernafas, keletihan, termengah-mengah atau tersedak dan kemudian kembali menyusu, maka penyusuan itu masih dikira sebagai 1 kali susuan. Sama juga halnya apabila anak itu dipindahkan daripada payu dara kanan ke sebelah kiri.

sumber Majalah Pa&Ma keluaran Februari 2011

  • Share:

You Might Also Like

2 orang berborak di sini!