Kesan Berbahaya Produk Jamu

By Zahirah Dzahir - 10/29/2014 12:35:00 PTG

Assalamualaikum..


Produk jamu atau maajun diklasifikasikan sebagai produk tradisional dan perlu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan. Ia hanya dibenarkan mengandungi bahan semula jadi dan tidak boleh dicampurkan dengan ubat terkawal.

Secara umumnya, penggunaan produk tradisional memerlukan tempoh masa lebih lama untuk memberi kesan kepada pengguna berbanding ubat terkawal.

Ujian dibuat ke atas produk tradisional ketika proses pendaftaran produk menjurus ke arah kualiti dan keselamatannya kepada pengguna saja berbanding produk berdaftar kategori lain yang diuji keselamatan, kualiti dan keberkesanannya.

Oleh itu pengguna tidak boleh mengharapkan kesan segera dengan penggunaan produk tradisional. Kecenderungan pengguna mengambil suplemen kesihatan atau produk tradisional untuk meningkatkan taraf kesihatan mendorong segelintir pengeluar produk tidak bertanggungjawab mencampurkan bahan terlarang ke dalam produk mereka.

Aktiviti itu dilakukan bagi meyakinkan pengguna kononnya produk berkenaan berkesan sebagaimana tuntutan dibuat. Hal ini berlaku akibat kerakusan sesetengah pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan mengambil kesempatan terhadap golongan yang ada keinginan untuk meningkatkan taraf kesihatan mereka.

Sikap penguna yang inginkan kesan cepat tanpa mempedulikan akibatnya turut menyumbang kepada kewujudan gejala ini.

Pemantauan Bahagian Penguatkuasa Farmasi mengesan kewujudan produk tradisional seperti jamu dan maajun menggunakan nombor pendaftaran milik produk lain dan melekatkan hologram palsu untuk menunjukkan seolah-olah produk itu berdaftar dan diluluskan.

Pengguna terpedaya dengan muslihat ini dan membeli produk yang tidak diketahui statusnya. Ada juga produk didapati menggunakan alamat palsu dan tidak dapat dikesan sumber sebenarnya.

Pengguna boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari www.pharmacy.gov.my. Nombor pendaftaran atau nama produk yang tidak wujud dalam sistem dikhuatiri palsu dan harus dielak.

Bahan larangan yang biasa dikesan dalam produk tradisional seperti maajun atau jamu tidak berdaftar adalah bahan aktif bagi ubat terkawal yang hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar atau oleh ahli farmasi.

Antara bahan larangan yang dikesan adalah ubat tahan sakit seperti phenylbutazone, ibuprofen dan diclofenac, steroid seperti dexamethasone dan prednisolone, ubat rawatan kencing manis seperti metformin dan glibenclamide.

Bahan larangan ini bergantung kepada tuntutan perubatan yang diisytiharkan pada produk itu. Antara tuntutan lazim bagi produk tradisional adalah rawatan sakit tulang, sendi, menambah tenaga dan meningkatkan selera makan.

Pengguna yang mengambil produk tradisional yang dicampur racun terdedah kepada risiko kesan sampingan kerana kuantiti yang dimasukkan ke dalamnya adalah tidak konsisten dan boleh menjadi terlalu tinggi atau rendah. Ini kerana produk itu tidak dikilangkan di premis mengikut piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP).

Pada awalnya pengguna akan merasakan produk itu berkesan dan memberi kesan diingini, namun akhirnya mengalami kesan buruk pengambilan produk.

Kesan sampingan dialami mungkin berbeza antara seorang pengguna dengan pengguna lain bergantung kepada faktor seperti taraf kesihatan, gaya hidup dan pemakanan. Tempoh masa untuk pengguna itu menunjukkan kesan sampingan dan tahap keseriusannya juga berbeza.

Kesan sampingan dialami akibat pengamblan steroid seperti selera makan yang luar biasa, sembab yang ketara (oedema), luka lambat sembuh, meningkatkan tekanan darah, kerosakan buah pinggang dan Cushing's Syndrome.

Kesan pengambilan Phenylbutazone pula menyebabkan pendarahan dalam perut, kesan melecur pada kulit, kabur penglihatan, kegagalan buah pinggang dan Steven-Johnson Syndrome. Pengambilan ubat Anti-Inflamatori Bukan Steroid (NSAIDS) pula menyebabkan gastrik, pendarahan dalam perut dan kerosakan buah pinggang

Pengguna yang mengalami kesan sampingan seperti di atas atau mengalami kesan segera apabila menggunakan produk maajun atau jamu tradisional dinasihatkan berhenti menggunakan produk dan mendapatkan nasihat dan rawatan pengamal perubatan berdaftar.

Sila bawa bersama produk diambil untuk memudahkan pengesanan. Pengguna juga boleh melaporkan salah laku berhubung penjualan produk tidak berdaftar kepada pejabat Cawangan Penguatkuasa Farmasi di negeri masing-masing sama ada dengan datang sendiri, melalui surat atau telefon ke Bahagian Perkhidmatan Farmasi.

Semua maklumat diterima adalah rahsia dan tidak akan disebarkan kepada pihak lain. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat-ubatan, boleh hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800 88 6722.

http://www.hmetro.com.my/ 

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!