6 Amalan Menyambut Kelahiran Bayi Dalam Islam

By Zahirah Dzahir - 10/06/2014 09:33:00 PTG

Assalamualaikum


1. AZAN DAN IQAMAT

Dari al-Hasan bin Ali dari Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam, baginda bersabda: Sesiapa yang anaknya baru dilahirkan, kemudian dia mengumandangkan azan ke telinga kanannya dan iqamat di telinga kirinya, maka anak yang baru lahir itu tidak akan terkena bahaya `ummu shibyan’. `Ummu shibyan’ ialah angin yang dihembuskan kepada anak, jadi anak itu takut kepadanya. Ada juga yang berkata bahawa ia adalah `qarinah’, iaitu jin.

Mengapa azan? Adalah wajar anak ini diazan dan diiqamatkan agar kalimah pertama yang didengarnya dan tembus ke gegendang telinganya adalah kalimah seruan Yang Maha Agung. Kalimah yang mengandungi persaksian (syahadah) terhadap keesaan Allah dan persaksian terhadap kerasulan Muhamad bin Abdullah shallaAllahu `alaihi wa sallam. Anak yang baru menghirup udara dunia ini telah diajarkan dengan aqidah dan syariat Islam, sebagaimana seseorang yang akan mati diajarkan dengan kalimah tauhid `La ilaha illallah’. Agar pengaruh azan ini dapat meresap ke dalam diri anak ini.

Azan ini ialah untuk mengusir syaitan yang memang menanti-nanti kelahiran bayi ini. Azan dikumandangkan ke telinga bayi agar seruan dakwah kepada Allah dan agamanya dapat mendahului seruan jahat syaitan.

Azan dan iqomah yang diperdengarkan akan dirakam oleh bayi berkenaan yang menjadi sebahagian dari pendidikan tauhid, syariat dan akhlak.

2. TAHNIK ANAK

Tahnik digalakkan selepas anak itu dilahirkan. Caranya: Kurma yang dikunyah diletakkan di atas jari, kemudian memasukkan jari berkenaan ke dalam mulut bayi. Gerak-geraknya ke kanan dan ke kiri dengan lembut hingga rata.

Jika sukar untuk memperoleh kurma, boleh diganti dengan manisan lain.

Dan yang lebih utama, `tahnik’ ini hendaklah dilakukan oleh seseorang yang mempunyai sifat taqwa dan soleh. Ini adalah sebagai suatu penghormatan dan harapan agar anak ini juga akan menjadi seorang yang taqwa dan soleh.

Hadis Rasulullah shallaAllahu `alaihi wa sallam dari Abu Burdah, dari Abu Musa r.a., katanya: Aku telah dikurniakan seorang anak. Lalu aku membawanya kepada Nabi dan baginda menamakannya dengan Ibrahim, men`tahnik’nya dengan kurma serta mendoakannya dengan keberkatan. Kemudia baginda menyerahkannya kembali kepadaku. (HR Bukhari & Muslim)

3. MENCUKUR RAMBUT BAYI

Sunat dicukurkan rambut bayi secara licin pada hari ketujuh kelahirannya. Kemudian ditimbang rambut tersebut dan disedekahkan nilai beratnya berbanding perak kepada faqir miskin. Ada dua hikmah galakan mencukur rambut bayi. Pertamanya, untuk menguatkan kepala si anak, dengan cara membuat lubang rambutnya dan sekaligus mengukuhkan panca indera berhampiran. Keduanya, ialah hikmah sosial iaitu bersedekah dan saling bantu-membantu kepada yang memerlukan.

Satu perkara yang perlu diberi perhatian ketika menggunting rambut anak ialah larangan qaza’. Qaza’ bermaksud mencukur atau memendekkan sebahagian rambut dan membiarkan sebahagian yang lain panjang. Contoh qaza’ ialah rambut punk.

4. MEMBERIKAN NAMA ANAK

Ibu dan bapa disunatkan memberikan nama anak sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh.

Digalakkan untuk memberikan nama anak dengan makna yang baik. Antara cadangannya ialah berdasarkan hadith riwayat Abu Daud:

Berikanlah nama anak dengan nama para nabi. Sebaik nama di sisi Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Yang bagus ialah Harith (حارث) dan Hammam (همام) manakala yang buruk ialah Harb dan Murrah.

Diharamkan memberi nama anak dengan nama hamba selain Allah, seperti Abdul Nabiy. Haram juga memberikan nama Allah tanpa didahulukan Abdul sebelumnya. Begitu juga memberikan nama yang buruk maknanya. Dimakruhkan memberi nama anak sempena orang Islam terkenal yang fasiq.

5. AQIQAH

Majoriti ulamak termasuk mazhab Shafie menggalakkannya (sunat). Majoriti ulamak menyatakan untuk anak lelaki, dua ekor kambing, sementara anak perempuan seekor kambing.

Masa untuk aqiqah disunatkan pada hari ketujuh. Akan tetapi boleh dilanjutkan sehingga mampu. Sunat hukumnya aqiqah ini tertakluk kepada kemampuan. Sekiranya kemampuan itu sampai ketika usia dewasa, maka pahala galakan aqiqah akan tetap diperolehi.

6. KHITAN / SUNAT

Di dalam mazhab Shafie, Hanbali dan Maliki, hukumnya adalah wajib bagi anak lelaki. Imam Ahmad turut mewajibkannya untuk anak perempuan. Mengenai waktu berkhitan, digalakkan untuk melakukannya sama ada pada hari pertama atau hari ketujuh kelahiran. Akan tetapi ianya boleh dilaksanakan sehinggalah ke umur mukallaf. Berkhitan mempunya hikmah yang pelbagai, antaranya ialah sebagai tanda keseriusan Islam terhadap kesucian anak.
-sumber dari google-

-Mummy Ira-

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!