Selain Amerika
Syarikat, warga Jepun juga sering merangkul gelaran manusia tertua di dunia
untuk beberapa kali.
Apabila ditanya pada
warga tua di sini, apakah rahsia kesihatan dan awet muda mereka, ramai yang
menjawab sushi dan amalan berjalan kaki.
Rakyat Jepun sangat
mengutamakan kesihatan mereka, terutama sekali berkenaan makanan.
Tidak hairanlah jika
kebanyakan restoran turut menyenaraikan jumlah kalori terkandung dalam setiap
makanan di dalam menu mereka untuk rujukan pelanggan.
Sukar untuk bertemu
rakyat Jepun yang berbadan gemuk, tambahan lagi kaum wanita yang sentiasa
menjaga bentuk badan dan kecantikan mereka.
Tidak seperti di
Malaysia, jumlah pesakit kencing manis, penghidap darah tinggi dan penyakit
lain di Jepun sangat sedikit.
Makanan tanpa perisa
Warga asing yang
baru tiba di negara ini pasti terperanjat dengan makanan dan masakan Jepun yang
kurang atau kadang kala tidak ada langsung rasa manis dan masinnya.
Apatah lagi dengan
makanan laut yang dimakan mentah begitu saja seperti sushi dan sashimi.
Seperti Malaysia,
makanan utama rakyat Jepun adalah nasi, yang biasanya diambil pada setiap
sarapan, makan tengah hari dan makan malam.
Bagaimanapun, jumlah
nasi dan lauk yang diambil dalam setiap hidangan adalah sedikit, malah tidak
sukar menambah makanan mereka.
Tidak sukar juga
untuk mencari makanan yang tanpa lemak atau kurang lemak di pasar raya dan
kedai serbaguna.
Saban hari, ada saja
keluaran makanan baru yang makin hari makin kurang penggunaan lemak dan gula di
dalam kandungannya untuk membantu rakyatnya menjaga kesihatan mereka.
Harga makanan
organik dan berfiber juga tidak mahal, membolehkan kami sebagai pelajar juga
mampu untuk membelinya.
Jus sayur-sayuran
dan jus buah-buahan yang terdapat dalam puluhan jenis dan rasa, banyak membantu
menambah khasiat dalam makanan harian kami.
Ada juga pepatah
yang bermaksud 'orang Jepun makan menggunakan mata' yang menunjukkan mereka
sangat mengutamakan persembahan dan susunan sesuatu masakan yang dihidangkan.
Ibu pasti menghias
'bento' (bekal) untuk anak mereka dengan pelbagai hiasan untuk menarik minat
terhadap makanan yang berkhasiat.
Bukan saja makanan,
kebanyakan rakyat Jepun juga tidak menggunakan gula atau susu di dalam minuman
mereka.
Teh hijau sudah
menjadi minuman utama yang dihidangkan secara percuma di setiap restoran.
Suka berjalan kaki
Kanak-kanak, remaja
mahupun warga tua, rakyat Jepun memang gemar berjalan kaki setiap hari ke
sekolah, kampus, pejabat atau membeli-belah.
Musim sejuk atau
panas tidak menjadi penghalang untuk berjalan kaki dari rumah ke stesen kereta
api dan dari stesen kereta api ke destinasi.
Saya berasa kagum
apabila melihat nenek dan datuk yang berjalan-jalan setiap petang di kawasan
kediaman walaupun dalam keadaan bongkok tiga.
Mungkin juga
kemudahan awam yang dikhaskan untuk pejalan kaki dan orang kurang upaya
menggalakkan lagi rakyat untuk berjalan kaki.
Sentiasa tepati
waktu
Sikap tidak suka
membazir masa juga mendorong rakyat Jepun sentiasa berjalan laju dan berlari ke
destinasi mereka mahupun ketika bekerja atau belajar.
Kadangkala mereka
menganggap gagal untuk menepati masa ketika temu janji rasmi atau tidak rasmi
adalah satu kegagalan besar yang membuatkan mereka sentiasa bergerak pantas.
Rancangan yang
disiarkan di kaca televisyen juga kebanyakannya berbentuk kuiz dan pengetahuan
walaupun dalam bidang hiburan, pendidikan dan kesihatan.
Tidak hairanlah,
rakyat sangat peka dengan setiap rutin harian dan makanan mereka.
Pada pemerhatian saya,
sifat orang Jepun yang suka berfikir dalam setiap perkara dilakukan turut
menyumbang kepada kesihatan mental dan fizikal mereka.
Sifat suka berfikir
inilah yang mendorong mereka menjadi sebuah negara maju yang terkenal dengan
teknologi dan produk yang tercanggih di dunia.
Bilangan restoran
makanan Jepun dan kemudahan untuk pejalan kaki yang bertambah di negara
Malaysia adalah kemajuan positif bagi saya.
Diharapkan rakyat
Malaysia juga boleh mencontohi gaya hidup sihat rakyat Jepun. Justeru, kita
juga dapat disenaraikan sebagai warga tertua di dunia pada suatu hari nanti.
Oleh Rohaslinda
Ramli
* Penulis pelajar
Kedoktoran Senibina, Universiti Kobe -
0 orang berborak di sini!