Makanan Seimbang Bekal Tenaga Untuk Pesakit Kanser

By Zahirah Dzahir - 2/18/2014 04:32:00 PTG

Pesakit kanser memerlukan makanan seimbang bagi memenuhi segala keperluan badan untuk kekal bertenaga. Tiada makanan yang dapat menyembuhkan kanser.
Malah, tiada jenis makanan tertentu yang perlu dimakan atau dielak jika seseorang itu mendapat kanser.Namun, pemakanan faktor penting yang perlu diambil berat oleh pesakit kanser kerana jenis rawatan yang diambil meningkatkan keperluan badan.
Corak pengambilan makanan juga akan terganggu. Justeru, amalan pemakanan yang baik sebelum, semasa dan selepas rawatan penting untuk memastikan tubuh berasa lebih sihat serta bertenaga.

Terdapat beberapa panduan dikongsi portal rasmi MyHealth Kementerian Kesihatan Malaysia yang mungkin boleh membantu pesakit kanser menjalani kehidupan lebih sihat.
Kepentingan amalan pemakanan yang baik 
• Membantu mempercepatkan penyembuhan luka dan tisu yang rosak terutama selepas pembedahan, radioterapi, kemoterapi atau rawatan perubatan lain. 
• Membantu menghadapi kesan sampingan rawatan dengan lebih baik dan sembuh dengan cepat. 
• Membantu meningkatkan sistem imun atau ketahanan badan bagi membolehkan pesakit melawan jangkitan. 
• Membantu mencapai dan mengekalkan berat badan ideal. 

Pemakanan sebelum rawatan 
Makan pelbagai jenis makanan akan membantu pesakit mendapat semua nutrien atau zat diperlukan. Badan akan menukar makanan kepada bentuk tenaga. Pesakit kanser memerlukan tenaga walaupun mereka tidak aktif seperti biasa. Justeru, pengambilan makanan bertenaga daripada sumber karbohidrat dan lemak perlu mencukupi. 

Makanan yang mengandungi sumber protein juga penting untuk membantu memperbaiki tisu yang rosak dan mengekalkan sistem imun badan bagi melawan jangkitan kuman. Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran kaya dengan vitamin, mineral dan serat yang diperlukan badan sangat penting. 

Justeru, pengambilan pelbagai jenis makanan mengikut piramid makanan Malaysia sememangnya disarankan. 

Masalah pemakanan semasa rawatan dan cara mengatasi 
Rawatan kanser diperlukan untuk membunuh sel kanser, namun ia juga akan merosakkan sel yang sihat. Pelbagai kesan sampingan akan dialami pesakit. Kesan sampingan berbeza bagi setiap individu dan ia bergantung kepada bahagian badan yang dirawat, tempoh dan dos rawatan. Kebanyakan kesan sampingan bersifat sementara dan berakhir selepas rawatan selesai. 

Masalah pemakanan dan cara mengatasi 

1. Hilang selera makan
 
• Makan sedikit tetapi kerap untuk mendapatkan tenaga. 
• Tingkatkan kalori dan protein dalam makanan. 
• Ambil minuman atau makanan tambahan yang tinggi kalori dan protein. 
• Senaman yang tetap jika anda mampu meningkatkan selera makan. 
• Kurangkan pengambilan air pada waktu makan. 
• Makan di tempat persekitaran yang sesuai. 
• Pastikan mulut sentiasa bersih. Elakkan merokok kerana ia boleh mengurangkan selera makan dan mengubah rasa makanan. 

2. Kesukaran mengunyah dan menelan akibat luka dalam mulut serta tekak. 
• Makan sedikit tetapi kerap. 
• Tingkatkan kalori dan protein dalam makanan. 
• Ambil minuman atau makanan tambahan yang tinggi kalori dan protein. 
• Makan makanan sejuk atau pada suhu bilik. 
• Tingkatkan pengambilan cecair. 
• Makan dan minum secara perlahan. 
• Pilih makanan yang lembut dan senang dikunyah atau campur kuah di dalam makanan. 
• Elakkan makanan yang pedas dan berasid atau masam. 

3. Mulut kering 
• Tingkatkan pengambilan cecair. Lebihkan pengambilan air semasa makan. 
• Pilih makanan yang lembut dan senang dikunyah seperti bubur nasi atau campurkan kuah dalam makanan. 
• Ambil makanan yang merangsang pengeluaran air liur seperti lemon atau gula-gula getah. 
• Hisap ketulan ais untuk menyejukkan mulut. 

4. Perubahan rasa dan bau makanan 
• Elakkan makanan yang berbau kuat. 
• Makan makanan sejuk atau pada suhu bilik. 
• Gunakan perisa seperti garam, rempah, herba, gula atau bawang putih bagi menambahkan rasa makanan. 
• Jauhkan diri daripada dapur semasa makanan dimasak. Minta kawan atau keluarga masak untuk anda. 

5. Loya dan muntah 
• Makan sedikit tetapi kerap. Elak makanan yang akan menyebabkan loya bertambah teruk. 
• Makan snek seperti biskut kering atau roti bakar. 
• Makan makanan masam dan masin. 
• Makan makanan sejuk atau pada suhu bilik seperti puding dan salad. 
• Elakkan makan terlalu banyak lemak atau minyak. 
• Makan dan minum secara perlahan. 
• Kurangkan pengambilan air pada waktu makan. 
• Elakkan makanan yang terlalu banyak perisa seperti rempah. 
• Jangan baring dalam tempoh satu jam selepas makan. 
• Ambil ubat tahan muntah atas saranan doktor. 

6. Sembelit 
• Tingkatkan pengambilan cecair sekurang-kurangnya enam hingga lapan gelas sehari seperti jus buah, sup dan minuman susu. 
• Tingkatkan pengambilan serat seperti buah, sayur dan makanan gandum penuh. 
• Lakukan senaman yang tetap jika mampu seperti berjalan. 
• Ambil ubat atas saranan doktor. 

7. Cirit-birit 
• Ambil ubat atas saranan doktor. 
• Tingkatkan pengambilan cecair untuk menggantikan cecair yang hilang. 
• Makan sedikit tetapi kerap. Jangan lupa untuk mengamalkan pengambilan makanan pada tiga waktu utama iaitu sarapan, makan tengah hari dan makan malam serta tiga snek. 
• Elakkan mengambil alkohol, hadkan kafein dan makanan pedas. 
• Elakkan makanan bergoreng dan berminyak. 
• Elakkan pengambilan susu jika anda mengalami tidak toleransi terhadap gula dalam susu (laktosa). 
• Kurangkan pengambilan makanan tinggi serat. Pilih buah yang dimasak lembut dan tanpa kulit atau buah dalam tin. 

8. Pedih ulu hati (heartburn) 
• Makan sedikit tetapi kerap. Makan pada tiga waktu utama dan tiga snek. 
• Minum air 30 minit selepas makan. 
• Duduk sebentar selepas makan (30 minit) dan jangan baring. 
• Makan perlahan. 
• Elakkan pakaian terlalu ketat. 
• Elakkan makanan seperti coklat, kopi, teh, minuman ringan, alkohol, makanan tinggi lemak, buah sitrus dan tomato. 

Pemakanan selepas rawatan 
Selepas rawatan, kesan sampingan yang dialami akan beransur hilang dan selera makan mungkin meningkat. Pesakit masih perlu menjaga pengambilan makanan agar sentiasa cergas dan sihat. 

Antara amalan pemakanan yang disarankan adalah: 
• Makan makanan seimbang dan berkhasiat. Pelbagaikan makanan anda. 
• Makan lima atau lebih pelbagai hidangan sayur dan buah setiap hari. 
• Pilih karbohidrat kompleks dan bijirin penuh bagi meningkatkan pengambilan serat dalam diet anda. 
• Kurangkan pengambilan lemak dan garam dalam makanan. 
• Pilih makanan yang boleh mengekalkan berat badan sihat. Seimbangkan pengambilan makanan dengan aktiviti fizikal
harian metro

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!