Bahaya Hipertensi Semasa Hamil

By Zahirah Dzahir - 2/22/2014 05:31:00 PTG

SEKIRANYA anda pernah mendengar bahawa tekanan darah tinggi berbahaya pada jantung, otak mahupun buah pinggang, anda juga harus berwaspada sekiranya merancang untuk hamil.
Ini kerana salah satu ancaman kesihatan paling serius dan kerap berlaku sepanjang tempoh kehamilan ialah tekanan darah tinggi atau juga dikenali sebagai hipertensi.
Sehubungan itu, pemeriksaan berkala penting bagi memastikan tahap kesihatan ibu dan janin dalam keadaan baik sepanjang tempoh kehamilan sehinggalah proses kelahiran.
Ketua Jabatan Pertumbuhan dan Pembangunan Manusia dan Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi (O&G), Universiti Putra Malaysia - Hospital Kuala Lumpur (UPM-HKL), Prof. Madya Dr. Noraihan Mohd. Nordin berkata, pemeriksaan berkala yang dilakukan sepanjang tempoh kehamilan adalah untuk mengesan sama ada wanita terbabit menghidap hipertensi atau sebaliknya.
 Ini kerana hipertensi yang tidak terkawal atau dibiarkan tanpa rawatan boleh menimbulkan pelbagai komplikasi.
``Komplikasi yang membahayakan nyawa ini boleh berlaku pada kedua-duanya sekali iaitu ibu dan juga janin dalam kandungan,'' katanya.
Tekanan yang tinggi pada pembuluh darah dimanifestasikan sebagai tekanan darah tinggi.
Kehamilan yang menyebabkan hipertensi (Pregnancy Induced Hypertension - PIH) berlaku apabila tekanan darah diastolik (bacaan bawah) mencecah lebih 90mm Hg. Adakalanya keadaan ini disertai dengan protein dalam air kencing.
Menurut beliau, hipertensi yang disertai dengan protein dalam air kencing semasa hamil yang dikenali sebagai preeklampsia ini biasanya berlaku pada trisemester kedua kehamilan iaitu selepas 20 minggu kehamilan.
Preeklampsia atau PE biasa berlaku pada wanita hamil dalam usia yang terlalu muda atau wanita yang telah berusia.
Apa yang membimbangkan, PE ini tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal.
``Sebaliknya gejala PE akan timbul apabila ia telah berada di tahap yang serius,'' ujarnya.
Menurut Dr. Noraihan, hipertensi yang tidak dikawal sepanjang tempoh kehamilan boleh meningkatkan risiko seseorang ibu mengalami beberapa gejala tertentu.
``Ini termasuklah tekanan darah tinggi, bengkak pada pergelangan kaki dan kehadiran protein dalam air kencing (protenuria) atau juga dikenali sebagai kencing kotor.
``Keadaan atau gejala ini yang juga dikenali sebagai PE biasanya berlaku pada tiga bulan kedua tempoh kehamilan,'' katanya.
PE boleh menyebabkan tekanan darah meningkat agak tinggi dan akhirnya menyebabkan masalah pada sistem peredaran darah.
Malah, ia juga boleh menyebabkan gangguan pengaliran darah pada uri.
``Kekurangan bekalan darah ke uri menyebabkan janin kurang mendapat zat makanan, bayi menjadi kecil dan masalah-masalah lain,'' ujarnya. Pada peringkat yang serius, pertumbuhan bayi terencat dan akhirnya menyebabkan kematian pada janin.
Sehubungan itu, penting supaya PE dipantau dan dirawat dengan teliti.
 
Menurut healthAtoZ.com., kadar kejadian PE semakin meningkat di Amerika Syarikat berikutan dua faktor utama iaitu lebih ramai wanita yang merancang untuk mendapat anak lewat dan kelahiran berganda.
Dr. Noraihan memberitahu, PE yang tidak dipantau, menyebabkan ia boleh melarat dan wanita terbabit mendapat penyakit eklampsia.
``Eklampsia menyebabkan seseorang itu mendapat serangan sawan dan meningkatkan risiko kematian kepada ibu dan bayi dalam kandungan,'' katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan, mereka yang mempunyai hipertensi tidak semestinya mempunyai PE.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan mereka yang ingin hamil dalam lingkungan usia yang agak lanjut supaya berbincang dengan pakar perubatan.
``Sebaik-baiknya pastikan kesihatan anda dalam keadaan baik sebelum memutuskan untuk hamil kerana risikonya agak tinggi,'' ujarnya.
Janin yang sedang membesar mendapat seluruh sumber keperluan termasuk zat makanan, oksigen dan sebagainya daripada ibunya.
Sehubungan itu, jumlah darah dan zat makanan mencukupi yang melalui uri dan tali pusat diperlukan.
Bagaimanapun, PE boleh menjejaskan proses ini daripada berjalan dengan sempurna.
Menurut Persatuan Perubatan Amerika, PE biasanya berlaku di kalangan kehamilan kali pertama.
Malah, mereka yang mempunyai sejarah pernah menghidap hipertensi berisiko tinggi untuk menghidap penyakit ini.
Justeru, sepanjang tempoh kehamilan wanita terbabit dinasihatkan supaya menjalani pemeriksaan berkala air kencing dan memantau tekanan darah mereka.
Klasifikasi hipertensi
Kehamilan yang menyebabkan berlakunya hipertensi boleh diklasifikasikan dalam beberapa kategori:
* Gestasi hipertensi
Hipertensi yang berlaku pada separuh akhir tempoh kehamilan atau 24 jam pertama selepas kelahiran tanpa sebarang tanda-tanda preeclampsia atau hipertensi kronik.
* PE
Peningkatan tekanan darah sehingga bacaan darah mencecah sehingga 140/90mm Hg atau lebih tinggi disertai dengan beberapa gejala seperti kandungan protein berlebihan dalam air kencing (kencing kotor). Ia biasanya berlaku selepas 20 minggu kehamilan.
PE juga terbahagi kepada beberapa peringkat seperti sedikit, sederhana dan teruk. Pada peringkat yang serius, terdapat gejala yang boleh membawa kepada eklampsia. Apabila ini berlaku ia boleh membawa maut.
* Eklampsia
Diertikan sebagai berlakunya serangan sawan di kalangan wanita yang tidak menghidap epilepsi tetapi mempunyai ciri-ciri eklampsia. PE yang tidak dipantau dengan teliti boleh membawa kepada keadaan ini. Apabila ini berlaku, wanita akan berdepan dengan komplikasi seperti kegagalan buah pinggang, paru-paru berair, darah tidak beku, kegagalan hati berfungsi dan sebagainya.
* Kronik hipertensi
Kronik hipertensi iaitu mereka yang sememangnya menghidap hipertensi. Mereka yang mempunyai kronik hipertensi semasa hamil berisiko mendapat PE.
Gejala
PE tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal. Manifestasi awalnya adalah hipertensi, yang diikuti dengan kencing kotor.
Bagaimanapun, ia hanya boleh dikesan melalui gejalanya pada peringkat lanjut iaitu:
* Sakit kepala yang tidak berkurangan
* Loya
* Muntah-muntah
* Pening
* Penglihatan kabur
* Sakit pada perut
Ini adalah peringkat yang berbahaya. Sekiranya bayi tidak dilahirkan ia boleh membawa kepada eklampsia.
Wanita yang berisiko mendapat PE
* Wanita yang hamil buat kali pertama. Dianggarkan 10 peratus wanita yang hamil kali pertama mendapat PE.
* Wanita yang berusia
* Sejarah keluarga
* Menghidap penyakit buah pinggang, diabetes, reumatoid artritis, lupus dan sebagainya.
* Borderline hipertensi
* Mereka yang tidak menjalani pemeriksaan prenatal secara tetap.
* Mereka yang sememangnya menghidap hipertensi sebelum hamil
Punca
Sehingga hari ini, punca berlakunya PIH ini masih tidak diketahui.
Pencegahan
Menjalani pemeriksaan dari masa ke masa dan mengawal hipertensi semasa hamil. Wanita yang berumur, mempunyai hipertensi dan berisiko tinggi perlu mendapat kaunseling sebelum hamil.
Rawatan
Satu-satunya rawatan untuk PE ialah dengan melahirkan bayi. Ini kerana sebelum ibu mendapat serangan sawan, ia boleh mengancam nyawa kedua-duanya.
Bagaimanapun, kelahiran ini hanya boleh dilakukan sekiranya janin telah mencecah usia 32 minggu atau matang atau terdapat kemudahan yang lengkap di unit neonatal.
sesetengah unit neonatal yang dilengkapi dengan kemudahan canggih boleh menyelamatkan bayi yang tidak cukup bulan.
Sekiranya janin tidak cukup bulan, doktor akan memantau kesihatan ibu dan janin sehinggalah janin tersebut berada di tahap yang selamat untuk dilahirkan.
Bagaimanapun, jika terdapat tanda-tanda kesihatan ibu berada pada tahap berbahaya, maka bayi terpaksa dilahirkan walaupun tidak cukup bulan.
Komplikasi PE
* Kematian bayi
* Bayi yang dilahirkan kecil atau terencat
* Mengalami masalah terencat akal
* Uri yang tercerai daripada rahim
* Bayi lemas semasa kelahiran
* Bayi yang tidak cukup bulan.
Pada peringkat yang lewat, ibu pula akan mengalami komplikasi seperti:
* Kegagalan buah pinggang
* Paru-paru berair
* Kegagalan hati berfungsi
* Pengumpulan cecair pada otak
* Eklampsia
* Darah tidak boleh membeku
* Kematian.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm#ixzz2zm1GDlYk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

 

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!