KOTA SETAR- Keluarga mangsa insiden jatuh bangunan di pusat bandar Alor Setar, dekat sini, meminta ‘keyboard warrior’ menghentikan spekulasi berhubung kematian anak mereka.

Bapa mangsa, Hamdan Salleh, 45, berkata, mereka sekeluarga keluar bersama kira-kira jam 6.30 petang pada hari berkenaan selepas anak lelakinya, Muhd Nur Hadi, 18, selesai bekerja sambilan.

Menurutnya, Hadi bersama kakaknya, Siti Nor Hidayah, 20, dan adiknya, Mohd Nor Mahfuz, 16, meminta izin untuk menangkap gambar di tingkat atas.


“Saya tidak tahu keadaan sebenar yang membawa insiden tersebut.


"Bagaimanapun, kami menganggap kejadian menimpa kami sekeluarga adalah takdir,” katanya.

Bapa mangsa berkata demikian selepas rakaman litar tertutup (CCTV) berhubung insiden remaja terjatuh dari sebuah bangunan lewat petang Ahad lalu, didakwa tersebar meluas di laman sosial Facebook.


Dalam video berdurasi 29 saat berkenaan, mangsa dipercayai berlari sebelum melompat dari kawasan tempat meletakkan kenderaan di tingkat enam bangunan berkenaan.


Beberapa kumpulan dilihat berkongsi beberapa video berkenaan, namun menyedihkan tindakan sebilangan individu memberi komen negatif didapati boleh mengguris perasaan keluarga mangsa.


Hamdan berkata, dia yang sedang memilih buku di kedai berkenaan, hanya mengetahui kejadian menimpa anak lelakinya daripada Hidayah sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Jelasnya, Hadi kemudian dikejarkan ke unit kecemasan sebelum dibawa masuk ke bilik pembedahan pada jam 12 tengah malam dan ICU kira-kira jam 4 pagi.


"Hadi langsung tidak menunjukkan perubahan pelik, malah dia bekerja sambilan mencuci kenderaan seperti biasa pada hari berkenaan.


"Anak kedua daripada lima beradik itu agak pendiam dan tidak banyak bercakap, namun amat rajin, baik serta rapat dengan adik beradik lain," katanya.

Hamdan meminta orang ramai menghentikan sebaran fitnah dan gambar CCTV insiden berkenaan.


"Janganlah. Tidak perlu kongsi sedemikian,” katanya.


Ahad lalu, seorang penuntut Universiti Malaysia Perlis (Unimap) parah selepas didakwa terjatuh dari tingkat enam ke tingkat dua sebuah bangunan.


Mangsa dilaporkan kritikal dan koma akibat kecederaan di bahagian kepala, hidung dan telinga sebelum disahkan meninggal dunia malam kelmarin.


Terima panggilan mangsa meninggal dunia

Manakala Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, mangsa terjatuh dari sebuah bangunan di pusat bandar Alor Setar pada Ahad lalu.


Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam kelmarin, pihak polis menerima panggilan dari wad unit rawatan rapi (ICU) hospital memaklumkan remaja berkenaan sudah meninggal dunia.


“Hasil siasatan mendapati mangsa  keluar bersama ahli keluarganya ke premis berkenaan sekitar jam 6 petang pada 3 Mei lalu,” katanya.


Difahamkan, mangsa dipercayai melompat dari tingkat berkenaan kerana menyangka ada bumbung ataupun tanah rata, sebaliknya dia terus terjatuh ke tingkat dua.


"Hadi yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, hidung dan telinga dimasukkan ke ICU, manakala dia koma sebelum disahkan meninggal dunia malam kelmarin," katanya.


Unimap bantu uruskan jenazah pelajar

Kejadian yang menimpa remaja berkenaan mendapat perhatian Universiti Malaysia Perlis (Unimap) yang membantu keluarga mangsa menguruskan jenazahnya.


Muhd Nur Hadi merupakan penuntut jurusan Kejuruteraan Mikroelektronik universiti berkenaan.


Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Unimap, Prof Madya Dr Mohd Fo’ad Sakdan berkata, mangsa disifatkan sebagai seorang pelajar rajin.


Menurutnya, Hadi menerima keputusan cemerlang berdasarkan keputusan peperiksaan lalu.


"Jadi, kami merasa kehilangan seorang pelajar pintar di universiti ini," katanya ketika ditemui di Masjid Permatang Bonggor, dekat sini, semalam.


Ahli keluarga, saudara mara dan sahabat handai termasuk dari Unimap menghadiri majlis pengebumian arwah Muhd Nur Hadi.


Jenazah arwah Muhd Nur Hadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Permatang Bonggor, Sala Kecil, dekat sini, kira-kira 11 pagi, semalam.


'Berhenti sebar fitnah kematian anak' 
 Lokasi kejadian remaja maut terjatuh bangunan di pusat bandar Alor Setar.
'Berhenti sebar fitnah kematian anak' 
Hamdan menyiram air mawar di pusara anaknya.

sumber : sinarharian.com.my