Assalamualaikum..
Ada bayi yang dapat mengeluarkan najis dengan senang walaupun keras dan banyak dan ada juga bayi yang bukan sahaja sukar mengeluarkan najisnya yang keras dan besar tetapi mendapat kelukaan di bahagian dubur menyebabkan pendarahan pada bahagian itu.
Dicegah Perkara seperti ini perlulah dicegah daripada berlaku kerana mungkin menimbulkan masalah pembuangan najis bagi bayi itu sampai dia dewasa kelak. Sembelit adalah salah satu daripada masalah pemberian makanan yang biasa di kalangan kanak-kanak dan ia menyebabkan ketidakselesaan dalam kalangan bayi.
Sembelit bukan sekadar berapa kali bayi membuang air besar dalam sehari kerana kekerapan membuang air besar amat berbeza antara seseorang bayi dengan yang lain. Yang lebih penting ialah bentuk najis yang dihasilkan. Tanda-tanda sembelit termasuklah ketulan najis yang amat keras dan kekerapan membuang air besar yang kurang daripada biasa. Bayi anda dikatakan mengalami sembelit jika dia kelihatan sakit atau perlu menggunakan daya yang kuat untuk membuang air besar. Semasa membuang najis yang keras, dubur bayi mungkin rekah dan berdarah. Bayi yang mempunyai luka pada duburnya akan enggan membuang air besar untuk mengelakkan kesakitan. Ini memburukkan lagi keadaan sembelit.
Sembelit jarang berlaku di kalangan bayi yang diberi susu ibu. Namun, bayi boleh mengalami sembelit apabila dietnya berubah, misalnya apabila makanan pejal diperkenalkan kepadanya seperti yang dialami oleh bayi puan. Sembelit juga disebabkan oleh dehidrasi seperti yang puan maklum bahawa anak puan tidak suka minum air masak. Pembancuhan susu formula yang tidak mengikut sukatan betul juga boleh mengakibatkan sembelit. Sembelit boleh juga disebabkan oleh masalah perubatan yang serius tetapi ini jarang berlaku.
Anda boleh mengambil beberapa langkah yang mudah untuk melegakan bayi anda dan mencegah sembelit daripada berulang seperti mengalakkan bayi lebih bergerak, misalnya anda boleh membaringkan bayi lalu menggerakkan kakinya seolah-olah mengayuh. Ataupun galakkan dia lebih merangkak. Kekurangan aktiviti fizikal akan menyebabkan sembelit, perlahan-lahan urutkan perut bayi dengan pergerakan bulatan selama beberapa minit selain tambahkan serat dalam diet bayi. Misalnya, anda boleh memberikannya jus buah-buahan. Tetapi jangan beri terlalu banyak kerana ia akan mengurangkan pengambilan susu.
Jika bayi anda telah diperkenalkan makanan pejal, anda boleh meningkatkan pengambilan bran, bijiran, buah-buahan segar (contohnya prun, pisang dan aprikot) serta sayuran. Pastikan bayi anda diberi cecair yang mencukupi. Berikannya air masak atau sedikit jus buah-buahan (terutama epal, pir atau prun) di antara penyusuan terutamanya apabila cuaca panas.
Jika bayi mengalami sembelit untuk jangka masa yang panjang atau terdapat tanda-tanda kesakitan yang berulang, maka anda mesti meminta nasihat doktor atau profesional perubatan.
Jangan cuba selesaikan masalah tersebut secara sendiri dengan menggunakan laksatif dan rawatan herba. Ubat-ubatan tidak patut digunakan tanpa nasihat doktor. Susu yang paling baik bagi mengurangkan sembelit adalah susu ibu. Susu ibu adalah makanan terbaik untuk bayi anda.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130217/kn_01/Mengatasi-sembelit-bayi#ixzz2LZai7wDv
© Utusan Melayu (M) Bhd
----------------------------------------
Assalamualaikum..
Secara umumnya, penggunaan produk tradisional memerlukan tempoh masa lebih lama untuk memberi kesan kepada pengguna berbanding ubat terkawal.
Ujian dibuat ke atas produk tradisional ketika proses pendaftaran produk menjurus ke arah kualiti dan keselamatannya kepada pengguna saja berbanding produk berdaftar kategori lain yang diuji keselamatan, kualiti dan keberkesanannya.
Oleh itu pengguna tidak boleh mengharapkan kesan segera dengan penggunaan produk tradisional. Kecenderungan pengguna mengambil suplemen kesihatan atau produk tradisional untuk meningkatkan taraf kesihatan mendorong segelintir pengeluar produk tidak bertanggungjawab mencampurkan bahan terlarang ke dalam produk mereka.
Aktiviti itu dilakukan bagi meyakinkan pengguna kononnya produk berkenaan berkesan sebagaimana tuntutan dibuat. Hal ini berlaku akibat kerakusan sesetengah pihak yang cuba mengaut keuntungan dengan mengambil kesempatan terhadap golongan yang ada keinginan untuk meningkatkan taraf kesihatan mereka.
Sikap penguna yang inginkan kesan cepat tanpa mempedulikan akibatnya turut menyumbang kepada kewujudan gejala ini.
Pemantauan Bahagian Penguatkuasa Farmasi mengesan kewujudan produk tradisional seperti jamu dan maajun menggunakan nombor pendaftaran milik produk lain dan melekatkan hologram palsu untuk menunjukkan seolah-olah produk itu berdaftar dan diluluskan.
Pengguna terpedaya dengan muslihat ini dan membeli produk yang tidak diketahui statusnya. Ada juga produk didapati menggunakan alamat palsu dan tidak dapat dikesan sumber sebenarnya.
Pengguna boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk dengan melayari www.pharmacy.gov.my. Nombor pendaftaran atau nama produk yang tidak wujud dalam sistem dikhuatiri palsu dan harus dielak.
Bahan larangan yang biasa dikesan dalam produk tradisional seperti maajun atau jamu tidak berdaftar adalah bahan aktif bagi ubat terkawal yang hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar atau oleh ahli farmasi.
Antara bahan larangan yang dikesan adalah ubat tahan sakit seperti phenylbutazone, ibuprofen dan diclofenac, steroid seperti dexamethasone dan prednisolone, ubat rawatan kencing manis seperti metformin dan glibenclamide.
Bahan larangan ini bergantung kepada tuntutan perubatan yang diisytiharkan pada produk itu. Antara tuntutan lazim bagi produk tradisional adalah rawatan sakit tulang, sendi, menambah tenaga dan meningkatkan selera makan.
Pengguna yang mengambil produk tradisional yang dicampur racun terdedah kepada risiko kesan sampingan kerana kuantiti yang dimasukkan ke dalamnya adalah tidak konsisten dan boleh menjadi terlalu tinggi atau rendah. Ini kerana produk itu tidak dikilangkan di premis mengikut piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP).
Pada awalnya pengguna akan merasakan produk itu berkesan dan memberi kesan diingini, namun akhirnya mengalami kesan buruk pengambilan produk.
Kesan sampingan dialami mungkin berbeza antara seorang pengguna dengan pengguna lain bergantung kepada faktor seperti taraf kesihatan, gaya hidup dan pemakanan. Tempoh masa untuk pengguna itu menunjukkan kesan sampingan dan tahap keseriusannya juga berbeza.
Kesan sampingan dialami akibat pengamblan steroid seperti selera makan yang luar biasa, sembab yang ketara (oedema), luka lambat sembuh, meningkatkan tekanan darah, kerosakan buah pinggang dan Cushing's Syndrome.
Kesan pengambilan Phenylbutazone pula menyebabkan pendarahan dalam perut, kesan melecur pada kulit, kabur penglihatan, kegagalan buah pinggang dan Steven-Johnson Syndrome. Pengambilan ubat Anti-Inflamatori Bukan Steroid (NSAIDS) pula menyebabkan gastrik, pendarahan dalam perut dan kerosakan buah pinggang
Pengguna yang mengalami kesan sampingan seperti di atas atau mengalami kesan segera apabila menggunakan produk maajun atau jamu tradisional dinasihatkan berhenti menggunakan produk dan mendapatkan nasihat dan rawatan pengamal perubatan berdaftar.
Sila bawa bersama produk diambil untuk memudahkan pengesanan. Pengguna juga boleh melaporkan salah laku berhubung penjualan produk tidak berdaftar kepada pejabat Cawangan Penguatkuasa Farmasi di negeri masing-masing sama ada dengan datang sendiri, melalui surat atau telefon ke Bahagian Perkhidmatan Farmasi.
Semua maklumat diterima adalah rahsia dan tidak akan disebarkan kepada pihak lain. Sebarang pertanyaan lanjut mengenai ubat-ubatan, boleh hubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (National Pharmacy Call Centre-NPCC) di talian 1800 88 6722.
http://www.hmetro.com.my/
Assalamualaikum..
SOAL Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bakal disentuh dalam Bajet 2014 menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini.
Bagi mendapatkan gambaran jelas berhubung GST, Sinar Harian Online berpeluang menemu bual Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.
Ikuti temu bual kami bersama beliau bagi memberi sedikit pemahaman kepada orang awam berhubung GST.
SINAR HARIAN ONLINE: Apakah GST itu sebenarnya?
WAN SAIFUL: GST adalah satu bentuk cukai yang dikenakan ke atas setiap barang dan perkhidmatan yang kita beli. Ia bukan satu perkara baru sebenarnya. Lama dah ada tapi kita tak perasan. Kita panggil sebagai cukai jualan dan cukai perkhidmatan.
Apa yang dicadangkan oleh pihak kerajaan, ialah untuk menyatukan dua bentuk cukai menjadi Goods and services tax (GST).
Sebelum ini, kadar yang dikenakan sebenarnya agak tinggi juga. Satu 6 peratus (%), satu lagi 10%. Tapi apabila GST diperkenalkan ataupun jika GST diperkenalkan, kalau tak silap saya, kadar cukai yang sedang dibicarakan sekarang 4% lebih kurang. Jadi, kalau satu lagi cara kerajaan nak mempelbagaikan sumber pendapatan, yang mana semua orang sepatutnya kena bayarlah.
SINAR HARIAN ONLINE: Jadi, berapa sebenarnya kadar yang sesuai dikenakan jika ia mahu dilaksanakan?
WAN SAIFUL: Untuk menentukan kadar cukai ini sebenarnya, bukan satu proses yang mudah, yang boleh kita kata, okey 5%. Ia bukan seperti itu. Yang pastinya, banyak perkiraan. Kadang-kadang bukan perkiraan ekonomi semata-mata. Ada juga perkiraan politik yang perlu diambil kira. Contohnya, katalah kadar yang sepatutnya bila dikira dari segi ekonomi sepatutnya 10%. Kemudian, timbul persoalan dari segi politik. Adakah 10% ini akan menyebabkan rakyat marah kepada kerajaan kerana tiba-tiba mengenakan cukai tersebut. Maka, kerajaan kena ambil kira dua-dua perkara. Jadi, hubungan antara politik dengan ekonomi tidak dapat dinafikan dan ia satu fakta.
Saya rasa, mahu atau tidak mahu ia akan bermula dengan satu kadar yang rendah. Tetapi jika dilihat dari negara-negara yang lain, sebenarnya kadarnya lebih tinggi. Di UK sekarang tak silap saya lebih kurang 20%, di AS kadarnya berbeza mengikut negeri. Kadar itu suatu perkara yang berbeza-beza antara satu negara dengan negara lain.
Yang hampir pasti adalah sekali dimulakan, setiap tahun pasti akan naik. Kalau tak naik tahun ini, pasti naik tahun depan. Cukai ini, sekali wujud mesti akan naik. Jadi, saya jangkakan apabila dimulakan, saya hampir pasti akan dimulakan, ia akan bermula dengan kadar yang rendah. Yang sekarang disebut-sebut oleh orang ramai adalah 4%.
SINAR HARIAN ONLINE: Apa impak pelaksanaan GST kepada kerajaan?
WAN SAIFUL: Dari segi pelaksanaan GST, yang pastinya harga barangan akan menjadi berbeza daripada sekarang. Jadi, yang pastinya, jika harga sekarang RM10, apabila dikenakan GST sebanyak 4%, maka harga pasti akan naik sebanyak 4%. Itu tidak dapat dielak sebab ada cukai baru. Tetapi ia boleh diseimbangkan. Sekiranya kerjaan mengatakan bahawa mereka menghapuskan cukai jualan dan perkhidmatan, jadi, mungkin akan berlaku proses penyeimbangan di situ, di mana apabila cukai diperkenalkan, ada cukai dihapuskan. Jadi, mungkin ia akan turun jadi tengah-tengah balik. Akibatnya, kalau naik pun, akan naik sedikit. Malahan ada juga ahli ekonomi yang kata apabila kajian dibuat, sekiranya GST diperkenalkan, maka harga barang akan turun dulu sedikit. Kerana GST diperkenalkan kadarnya lebih rendah daripada gabungan cukai jualan dan pekhidmatan. Jadi, impak kepada harga barangan secara segera kita tak dapat nak jangka sekarang sebab ia bergantung kepada kadar yang ditentukan.
Tapi dari segi kerajaan pula, impak yang pasti akan berlaku adalah kerajaan akan dianggap tidak popular sebab rakyat akan mula mengatakan bahawa kerajaan mengenakan cukai. Sebelum ini tak ada cukai. Itu tak betul. Sebelum ini dah ada cukai, sekarang ini ditukar dalam bentuk cukai yang lain.
Tapi saya sebenarnya secara prinsipnya, secara umumnya, saya agak tidak menyukai cukai-cukai baru. Sebab bagi saya, rakyat bekerja keras untuk mendapatkan sumber pendapatan masing-masing, tiba-tiba kerajaan mengenakan cukai sebab kerajaan tak cukup duit. perkara ini pada saya agak janggal berlaku. Kerajaan belanja berlebihan, rakyat pula kena bayar. Tapi walau bagaimanapun, dalam hal GST ini ada sedikit pengecualian yang mana saya rasa GST ini bagus dilaksanakan. Sebab, orang ramai bercakap mengenainya. Sebelum ini, istilah yang sering kita gunakan ialah duit kerajaan. Sedangkan duit kerajaan itu tak wujud. Sebenarnya ia duit rakyat. Apabila rakyat merasakan mereka membayar cukai dan dia sedar bahawa kerajaan mengenakan cukai maka, bagi saya, apa yang akan berlaku ialah rakyat menuntut lebih banyak akauntabiliti daripada kerajaan. Walaupun secara umumnya, saya tidak menyukai pengenaan cukai pada rakyat tapi dalam hal ini, saya rasa ada faedah dari segi jangka panjang, demokrasi dan akauntabiliti dalam negara, ia agak positif.
SINAR HARIAN ONLINE: Implikasi pelaksanaan GST terhadap golongan pertengahan ke bawah dan tidakkah GST ini akan menambah beban rakyat berpendapatan rendah?
WAN SAIFUL: Saya rasa masih terlalu awal untuk kita nak jangka, ia menambah beban rakyat atau mengurangkan beban rakyat sebab ia amat bergantung kepada kadar yang dikenakan. Jika kadar rendah dan dihapuskan cukai jualan dan perkhidmatan, maka harga barang mungkin turun. Jadi, ia bergantung pada kadar yang dikenakan. Saya rasa kita tak boleh buat judgement awal terhadapnya. Tapi yang pastinya ialah, kalau rendah sekalipun sekarang dalam masa 5, 10, 15 tahun, saya pasti ia akan naik.
SINAR HARIAN ONLINE: Negara Asean yang melaksanakan GST dan bagaimana kesannya kepada negara dan rakyat itu sendiri?
WAN SAIFUL: Biasanya, kebanyakan negara memang ada GST. Di sebelah selatan, di Singapura, memang ada. Banyak juga negara lain yang melaksanakan GST.
Dari segi kesannya kepada sumber kewangan negara sudah tentu ini mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada satu-satu sumber tententu. Contohnya, dalam konteks Malaysia, kalau kita nak mempelajari pengalaman daripada negara lain. Kita amat bergantung kepada pendapatan daripada minyak dan gas. Jadi, dengan adanya, cukai seperti GST, maka diharapkan kebergantungan kita kepada Petronas boleh berkurangan. Petronas boleh menggunakan pendapatan untuk pelaburan dan membangunkan syarikat kepada lebih baik.
Dalam bahasa mudahnya, asas cukai, sumber pendapatan negara akan menjadi lebih luas.
SINAR HARIAN ONLINE: Jika GST mahu dilaksanakan, apa sebenarnya yang kerajaan perlu ambil perhatian?
WAN SAIFUL: Saya rasa pendidikan terhadap rakyat itu amat penting. Sekarang ini, saya juga agak kecewa melihat kualiti perdebatan kita sebab apa-apa isu timbul, terus nak dijadikan isu politik kepartian. Satu parti kata nak buat, satu parti bantah. Satu parti bantah, satu parti kata bantahan itu salah. Ia menyebabkan kualiti perbincangan kita turun kepada satu tahap yang amat rendah sebenarnya. Iaitu sama ada parti aku yang betul atau parti kau yang betul, tak ada cara tengah-tengah. Mungkin sebenarnya, ada fakta yang dilupakan.
Saya rasa dalam proses persediaan ini, kita perlu meningkatkan kualiti penyampaian kita. Saya rasa peranan media sebenarnya amat besar untuk memastikan rakyat faham bahawa GST ini ada kebaikan dan keburukan. Impaknya pasti akan ada. Pada peringkat awal, harga barang mungkin turun. Saya tak pasti. Bergantung kepada kadar. Tapi dalam jangka panjang, ia pasti akan naik.
Jadi, pendidikan itu amat penting. Pendidikan itu perlu disertakan dengan proses menyedarkan rakyat bahawa sekarang apabila anda semua membayar cukai, maka anda perlu menuntut lebih banyak kebertanggungjawaban daripada kerajaan, jangan sambil lewa, seolah-olah duit itu tiada kena mengena dengan kita.
SINAR HARIAN ONLINE: Encik Wan menyebut mungkin kerajaan akan menghapuskan cukai jualan dan perkhidmatan, jadi kemungkinan itu...
WAN SAIFUL: Saya rasa memang tujuan kerajaan mewujudkan GST untuk menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.
SINAR HARIAN ONLINE: Nasihat atau cadangan Encik Wan untuk rakyat sendiri untuk berdepan dengan perkara ini?
WAN SAIFUL: Kita kena sedar bahawa cukai ini ialah satu bentuk pengambilan dana daripada rakyat yang dilakukan oleh kerajaan. Kalau rakyat tidak membayar cukai, maka boleh dikenakan tindakan.
Kalau nak beri dalam bahasa yang mudah, sebenarnya perbezaan antara cukai dengan mencuri sedikit sahaja sebenarnya. Mencuri salah di sisi undang-undang. Cukai halal sebab ada undang-undang yang menghalalkannya. Tapi kedua-duanya adalah proses pengambilan wang daripada A untuk diberi kepada B. Satu berlaku dengan cara paksaan dan satu cara yang dihalalkan oleh Parlimen. Tapi tetap paksaan juga sebab kalau tak bayar, masuk penjara.
Jadi, itu prinsip asal cukai. Sebab itu penting rakyat sedar kita kena ambil peduli bagaimana wang ini dibelanjakan kerana ianya diambil daripada kita secara paksa. Tapi kita kena sedar juga bahawa proses pembayaran cukai ataupun tindakan membayar cukai adalah tanggunjawab sebab sekiranya tidak ada cukai yang dikenakan, semua perkhidmatan awam yang kita nikmati sekarang, tak dapat diberikan.
http://www.sinarharian.com.my
Assalamualaikum
Baru baru ni diumumkan harga minyak
naik 20 sen bagi RON95. Semua pakat kelam kabut. Macam2 reaksi yang kita dengar. Mana taknya bila harga minyak naik, maka naiklah juga harga untuk barang keperluan hidup.
Jadi, kita harus bersiap sedia dan memikirkan cara2 untuk menghadapi kesan dari kenaikan minyak ni. Sekurang kurangnya, kita tak gelabah dan susah hati dalam perbelanjaan harian kita.
Tips Menghadapi Harga Minyak Naik:
1. Mula catatkan pendapatan dan perbelanjaan
Dari catatan ini, kita dapat mengenal pasti berapa besar kesan kenaikan harga minyak dan barangan lain berbanding dahulu. Kita juga dapat mengenal pasti sama ada pendapatan bulanan dapat menampung perbelanjaan yang meningkat.
2. Kurangkan perbelanjaan di mana perlu
Dari catatan keluar masuk, anda boleh tahu di mana perbelanjaan boleh dikurangkan. Dari pengalaman kami, antara perkara yang paling mudah hendak dibuang dari senarai perbelanjaan ialah – rokok, siaran televisyen berbayar, dan langganan suratkhabar dan majalah. Anda juga boleh berjimat dengan menukar pakej telefon dan internet kepada yang lebih murah.
3. Tambahkan pendapatan
Di dalam dunia teknologi sekarang ini, wang boleh didapati di hujung jari. Terdapat pelbagai pilihan untuk menambah pendapatan tanpa atau kurang modal. Antaranya adalah dengan menjual secara dropship, menjadi affiliate, menjadi ajen rumah, sewakan rumah secara sublet, perkhidmatan menggosok, perkhidmatan melipat baju - selain dari di atas, mungkin ada lagi cara2 yang boleh kita dapatkan wang.
4. Mula menabung
Kami tidak bersetuju sekiranya anda menabung hanya sebagai kecemasan, sebaliknya mulalah menabung dengan tujuan membina modal untuk pelaburan. Beri tujuan khusus buat setiap tabungan anda, dan letakkan tabungan ke akaun yang susah hendak dikeluarkan.
5. Melabur untuk pendapatan pasif
Kudrat muda mungkin tidak bertahan sehingga tua. Adalah penting untuk kita memulakan pendapatan pasif agar kita sentiasa beroleh pendapatan sehingga tua. Paip-paip yang boleh dibina antaranya – melalui sewaan dari rumah sewa, dividen tahunan dari saham, menerima elaun bulanan dari syarikat (buat pemilik syarikat), royalti, aset internet dsbnya.
6. Tambah ilmu
Tambah ilmu dari sehari ke sehari, dengan pelbagai guru. Bila satu ilmu dikuasai, pelbagai benda dapat dibuat dengannya!
7. Bertindak
Bertindaklah dan jangan bertangguh. Yakin dan berdoalah kepada Allah. Jangan panggil diri sendiri miskin, kerana miskin itu hanya keadaan sementara. Keputusan untuk keluar dari kepompong kesusahan itu di tangan kita.
Semoga anda berjaya.
credit - the vocket