Assalamualaikum..
Mahu rapat dengan mentua tetapi kebanyakan menantu 'tidak
ngam'. Agaknya walau di wajah tersenyum manis, dalam hati masih ada duri yang
tersusuk, siapa tahu?
Menantu perempuan selalunya sangat susah untuk ungkapkan
pandangan walau hati tidak setuju tentang sesuatu yang dilakukan mentua. Takut
dan rasa hormat seringkali dijadikan alasan yang akhirnya akan mempengaruhi
suasana di dalam keluarga tersebut.
Kalau mampu meluah, pasti kata-kata ini selalu akan muncul
dalam kepala seorang menantu...
1. "Saya juga tahu cara didik anak..."
Cara menjaga anak selalu berbeza. Ya, ibu marah anak kerana
mahu mendisiplinkan si kecil, tetapi mentua pula akan muncul sebagai 'hakim'
dengan menegur perbuatan yang dilakukan menantu pada si anak salah depan
anak-anak. Alahai... mesti wujud sedikit rasa kekok dalam diri, bukan? Timbul
pula isu bandingkan cara mentua jaga anak dulu bukan seperti menantu buat.
2. "Janganlah tiba-tiba datang mengejut ke rumah..."
Menantu mungkin rasa terganggu dengan kehadiran mertua
secara tiba-tiba ke rumah kerana belum sempat kemas dan masak. Takut juga
tiba-tiba rumah berselerak, mentua fikir menantunya pemalas. Dalam kes ini si
suami boleh jernihkan keadaan dengan meminta si ibu agar menghubungi sebelum
datang atas alasan risau tiada di rumah. Senang, bukan?
3. "Jangan tegur cara kemas rumah..."
Kadang mak mentua datang rumah, perabot yang ada dialihkan.
Baju yang belum sidai, mak mentua dah selesaikan. Anda mesti rasa terkilan.
Sebenarnya ibu mertua berniat mahu membantu, tetapi anda sendiri fikir negatif
merasakan gagal menguruskan rumah. Tetapi sesekali kalau mentua tolong buat,
apa salahnya.
4. "Jangan bandingkan saya dengan perempuan lain..."
Ada juga mentua yang bersikap dingin dengan menantu hanya
disebabkan layanan menantu tidak begitu sempurna pada suami anda. Wajarlah jika
anda tak suka dibanding dengan perempuan yang pernah hadir dalam hidup suami.
Nak-nak pula bekas tunang atau isteri, konon pandai masak menu kegemarannya
atau apa sahaja yang berkait. Tetapi jika anda yakin dengan cinta suami,
abaikan apa yang didengar.
5. "Jangan timbulkan isu ibu bekerja tiada masa untuk anak dan suami..."
Sesetengah mentua lebih suka jika menantunya jadi suri rumah
uruskan hal anak dan cucu dengan sempurna. Tetapi mungkin kewangan kurang
mencukupi, jadi anda terpaksa bekerja. Jangan melawan apa yang mentua buat,
cuba kongsikan rasa dengan suami untuk jelaskan keadaan.
6. "Jangan buat suamiku macam anak kecil..."
Anda mungkin cemburu melihat ibu mertua anda selalu masak
makanan kegemaran untuk suami. Baru niat nak buatkan air, tengok-tengok semua
sudah terhidang di atas meja. Hmmm... Kadang rasa seolah-olah mentua ambil alih
tugas di rumah hanya kerana anda bekerja. Sebenarnya anda boleh fikir positif,
ibu mestilah sayangkan anak. Bukan mahu 'merampas' tugas anda sebagai isteri,
mungkin nak membantu apa yang mampu.
Adakah betul anda ingin sangat meluah dan
berkata seperti itu kepada mentua? Nampaknya suami juga perlu tahu apa yang
terbuku di hati seorang wanita sebagai menantu. Untuk elak keadaan jadi lebih
keruh, seeloknya suami kena pandai ambil peranan jaga dua hati insan tersayang.
Kena pandai tutup kekurangan dan kena bijak cari alasan demi damaikan suasana
dalam rumah tangga.
mingguan wanita
- Mummy Ira -