Jika Tidak Mampu Senangkan, Jangan Disusahkan Ibu Tuamu

By Zahirah Dzahir - 6/17/2020 03:03:00 PTG

Assalamualaikum..

Jika tidak mampu senangkan, jangan disusahkan ibu tuamu



Pagi itu, seorang anak cerebral palsy berusia 5 tahun dimasukkan ke wad. Keadaannya agak tenat disebabkan masalah jangkitan paru-paru. Wajahnya pucat, nafasnya laju dan berat, badannya kurus dan sendi-sendinya keras.

 Mukanya dilitupi topeng oksigen, badannya penuh berselirat dengan wayar pemantauan, tiub pemakanan disambung melalui mulut, manakala tangan dan kaki dipenuhi kesan tusukan jarum.
Disebelahnya, duduk seorang wanita warga emas tersengguk menahan mengantuk.  Keletihan jelas di wajahnya walaupun tangannya kelihatan mengusap dada anak itu perlahan-lahan. Saya memeriksa anak itu dan memaklumkan keadaannya yang tenat.

Wanita ini adalah nenek kepada kanak-kanak itu. Anak itu dijaga nenek sejak lahir sehingga kini. Kedua ibu bapanya telah berpisah dan ibunya kini berkahwin lain dan menetap di bandar yang lain. Saya memaklumkan bahawa kedua ibu bapanya perlu tahu tentang keadaannya yang tenat.
 Nenek ini mendiamkan diri, saya lihat dia perlahan menyeka air mata yang jatuh. Terdapat konflik yang terjadi semasa anak ini dimasukkan ke wad, nenek dipersalahkan ibu kerana tidak menjaga dengan baik sehingga anak itu jatuh sakit. Sudahlah anak itu tidak dijaga ibunya, keperluan asasnya ditanggung oleh datuk yang masih berkerja pada umur 70an.

Anak cerebral palsy ini bukanlah mudah untuk dijaga, banyak keperluannya melebihi kanak-kanak biasa. Jangankan mengharapkan boleh berjalan dan bercakap, meniarap pun tidak boleh, makan minum melalui tiub, kencing dan berak pun masih bergantung pada lampin. Saya menyaksikan kudrat tangan tua itu menukar lampin anak seberat 15kg. Membancuh susu dan memberi minum melalui tiub. Biarpun begitu,keadaannya terjaga rapi, kuku yang pendek dan bersih, gigi tidak banyak karies dan kawasan lampin yang bebas ruam.


وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ

“Dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim dan orang-orang miskin”.   (Surah al-Baqarah : 83)

Firman Allah SWT:


وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا al-Isra’:23

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Fenomena datuk dan nenek menjaga cucu bukanlah sesuatu yang asing sekarang. Tidak ada salahnya jika atas permintaan mereka. Tetapi yang menjadi masalah ialah bila mereka ‘terpaksa’ menjaga cucu disebabkan kurangnya rasa bertanggungjawab anak-anak. Sudahlah masa muda sudah dihabiskan untuk keluarga dan anak-anak, masa tua yang tidak panjang juga perlu dihabiskan untuk menjaga cucu. Ada juga yang membiarkan datuk nenek mengasuh cucu tanpa memberikan sedikit pun wang penghargaan. Lebih parah lagi jika sara hidup makan pakai cucu-cucu juga ditanggung oleh datuk dan neneknya!

Dari Umar bin al-Khattab R.A, iaitu hadith yang menyaksikan malaikat Jibril datang kepada Nabi SAW dan para sahabat untuk mengajarkan tentang Islam, Iman dan Ihsan, dan antara lain terkandung juga soal jawab di bahawa:


قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنِ السَّاعَةِ ‏.‏ قَالَ ‏"‏ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنَ السَّائِلِ ‏"‏ ‏.‏ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا ‏.‏ قَالَ ‏"‏ أَنْ تَلِدَ الأَمَةُ رَبَّتَهَا

Maksudnya: Jibril bertanya: Khabarkan kepadaku tentang hari kiamat. Nabi SAW menjawab: Tidaklah yang ditanya itu lebih mengetahui daripada yang bertanya. Maka Jibril bertanya lagi: Khabarkan kepadaku tentang tanda-tanda kiamat. Maka Nabi SAW menjawab: (Antara tandanya ialah) apabila seorang hamba wanita melahirkan tuannya...Sahih Muslim (8)

Ingatlah, Rasulullah SAW pernah bersabda:


كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ

Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.” [Riwayat al-Hakim (7263)]

Beruntunglah antara kalian yang masih mempunyai kedua ibu bapa. Berbuat baiklah dan berbaktilah sebanyak yang mampu. Cukupkanlah makan pakai dan tempat tinggal mereka. Hulurkanlah sedikit wang disetiap pendapatanmu. Bukan nilai wang yang banyak ditagih tetapi ingatan yang datang pada setiap rezeki yang diterima. Jika itu tidak mampu, janganlah mereka dibebankan dengan tugas-tugas fizikal, hutang-hutang personal, PTPTN, kereta dan rumah yang dicipta oleh anak-anak.

Pada saat mereka menjadi tua, tika ini kita diuji. Ujian untuk samada mendahulukan mereka atau mendahulukan hidup kita, kerjaya kita, anak-anak dan keluarga kita. Pada ketika ini, pilihlah mereka walau seribu kali pun kerana tatkala mereka telah tiada, hilanglah pintu tengah syurga kita. Hilanglah juga jaminan syurga kita. Tatkala hati berbolak balik, kenanglah saat mereka menjaga kita diwaktu kecil, diwaktu sakit, saat dimana mereka mendoakan kita sebelum peperiksaan, saat pada wajah itu berseri kegembiraan meraikan kejayaan, saat tubuh itu memeluk di kala hati dikecewakan. Ingatlah juga disaat lautan manusia lain membenci, menyakiti, memulaukan, 2 insan ini pastinya akan mempertahan dan menerimamu tanpa syarat.




رَبِّ اغْفِرْ لِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِيْ صَغِيْرًا

Ya Allah, ampunilah aku dan kedua orang tuaku (ABD GHANI HARON dan CHE SU DESA, serta berilah rahmat kepada kedua-duanya, sebagaimana mereka mendidikku pada waktu kecil.

Alfatihah untuk ayahanda yang sangat dirindui HJ ABD GHANI HARON

ADMIN #NAAG

sumber fb ABD GHANI HARON

  • Share:

You Might Also Like

1 orang berborak di sini!

  1. kena doa sentiasa kita ni jadi anak yang menyenangkan..
    betul kalo x mampu beri kesenangan jgn kita susahkan..

    BalasPadam