Selamat Hari Guru | Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baru

By Zahirah Dzahir - 5/16/2020 05:16:00 PG

Assalamuakaikum..

Selamat Hari Guru | Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baru


Menjadi guru itu, bukan kerana hendak kaya. Kerana belum ada mana-mana guru menjadi jutawan asbab dengan gaji bersih sahaja.

Menjadi guru itu, bukan untuk jadi ternama. Kerana nama guru tidak disebut-sebut dalam radio dan berita.

Menjadi guru itu, bukan kerana kerjanya mudah. Kerana banyaknya tugas sehingga seringkali perlu bawa balik ke rumah.

Menjadi guru itu tidak lain tidak bukan kerana cita-cita. Kerana minat mendalam tanpa sempadannya. Kerana kasih dan juga cinta.

Guru sejati itu bakal jutawan di alam sana. Banyak ladang pahala terbentang luas di depan mata, hanya perlu menyangkul sahaja.

Murid menangis gurulah yang memujuk menyapa. Tersenyum guru sambil mengelap air mata. Berceloteh agar kembali ketawa.

Murid kelaparan tanpa wang cari saja mana-mana guru. Ceritalah tentang perut yang lapar, nescaya akan ada yang membantu.

Jatuh terluka, menangis berlinangan air mata. Diriba guru duduknya dia. Luka dicuci, dilayan mesra. Umpama anak sendiri lagaknya ia.

Pensel, pemadam dan segala kelengkapan. Usah dirisau jika hilang. Guru-guru sentiasa ada lebihan, yang sengaja disimpan untuk kes kecemasan. Namun sebelum itu, hadaplah seketika bebelan sayang.

Kadang ada yang masih belum matang, terkencing dan terberak dalam seluar tanpa sempat ke tandas. Pasti ada guru bantu bersihkan segala kotoran, bahkan diberi persalinan pakaian.

Ajar tulis ajar mengeja. Ajar membaca ajar mengira. Itu tugas sepanjang masa. Walau terkadang marah, namun sabar dan kasih itulah yang utama.

Di meja guru sentiasa ada hadiah. Sebagai pembangkit semangat murid yang lemah. Supaya mereka terasa dihargai. Supaya yang degil dilembutkan hati. Supaya yang malas rajin kembali.

Jika hendak ditulis segala jasa. Tidak akan habis walau sepurnama.

Bukan mengungkit setiap pengorbanan. Namun benda yang baik mesti diceritakan. Agar jasa guru tidak tenggelam. Agar hormat murid takkan pernah padam. Kerana antara ilmu dan kefahaman, perlu ada keberkatan.

Dan agar sentiasa ada doa yang diutuskan.

"Berguru demi ilmu, bina generasi baru".

Buat semua yang bergelar enCIK GUru, Selamat Hari Guru saya ucapkan.

#MFS
- Memanusiakan manusia adalah satu tugas yang penuh dengan cabaran -

kredit Cikgu Mohd Fadli Salleh

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!