Pilih Beg Sekolah Yang Sesuai Dengan Saiz Badan Anak Kita

12/27/2018 03:18:00 PTG


Assalamualaikum..

Persekolahan akan bermula tidak lama lagi dan paling teruja semestinya kanak-kanak yang bakal melangkah ke darjah satu.

Selain kanak-kanak, ibu bapa antara individu yang paling sibuk melakukan persiapan keperluan sekolah. Dalam menyiapkan pakaian baharu, ibu bapa perlu menyenaraikan semua keperluan lain termasuklah melengkapkan alat tulis selain beg sekolah bagi menyimpan buku untuk sesi pembelajaran tahun depan.


Biarpun ia tampak satu rutin biasa bagi kebanyakan murid untuk memiliki beg galas dan mengusung buku setiap hari, beban yang dibawa oleh kanak-kanak ini antara topik yang sering menjadi perbualan umum.

Ramai berpendapat buku yang diusung kanak-kanak ketika ini membebankan dan pada akhirnya dikhuatiri akan mendatangkan kesan buruk terhadap kesihatan pelajar berkenaan.

Satu saranan menarik daripada Pakar Perunding Ortopedik Dr Mohammad Nawar Ariffin, apabila beliau mencadangkan ibu bapa membuat pemilihan beg galas yang sesuai bagi kanak-kanak sebagai langkah pencegahan masalah sakit belakang.

Beliau berkata, isu ‘bermusim’ yang sering terjadi pada kanak-kanak yang baru memasuki alam persekolahan boleh diatasi dengan sikap prihatin ibu bapa supaya memantau jadual pengajian anak mereka setiap hari.


“Sebenarnya untuk kanak-kanak yang baru masuk sekolah rendah, ibu bapa perlu pantau jadual anak untuk mengenal pasti buku yang perlu saja dibawa. Tetapi disebabkan pelbagai faktor termasuk sibuk, ibu bapa membiarkan anak mereka membawa semua buku yang tidak diperlukan dan mengusung beban tidak sepadan dengan tubuh kecil itu.

“Namun, ia bukanlah isu besar kerana bagi kanak-kanak sihat, kejadian tulang belakang cedera akibat mengangkat beg sekolah belum lagi terjadi. Kalau adapun ia berlaku terhadap pesakit yang sudah mempunyai sejarah penyakit tulang seperti skoliosis.

“Skoliosis merujuk masalah tulang belakang yang bengkok disebabkan pelbagai faktor termasuklah dilahirkan bersama penyakit terbabit, masalah otot dan tulang selain komplikasi kemalangan dan sebagainya.

“Bagi pesakit ini, membawa beban berat seperti beg galas dengan muatan buku boleh menjejaskan kualiti kesihatan tulang mereka. Lagi lama dan lagi berat, lebih serius masalah tulang bengkok dihadapi pesakit jika tidak dirawat,” katanya.


Tambah Dr Nawar, rutin mengusung beg dalam kalangan kanak-kanak tidak menjejaskan tulang itu sebaliknya berkait dengan sakit belakang akibat masalah ketidakseimbangan ton otot.


“Di sini saya perlu betulkan persepsi mengenai isu beg berat boleh menyebabkan masalah tulang belakang. Kes seperti itu jarang berlaku berbanding kesakitan akibat otot.

“Biasanya beban berat akan menyebabkan tekanan kepada otot dan selalunya dikaitkan dengan ketidakseimbangan ton otot. Ini disebabkan komplikasi lain iaitu postur yang salah ketika membawa beg selain saiz beg tidak sesuai dengan jisim badan kanak-kanak berkenaan,” katanya.


Langkah terbaik mengatasi masalah sakit belakang atau ketegangan otot itu, kata Dr Nawar, ia boleh diatasi dengan pencegahan awal termasuklah kepekaan ibu bapa dalam menyediakan beg yang bersesuaian dengan saiz badan anak mereka.


“Kanak-kanak yang sering mengadu sakit belakang akibat mengendong beban seperti beg sekolah biasanya terjadi kepada mereka yang tidak aktif. Kanak-kanak aktif dan lasak jarang menghadapi masalah ini kerana otot mereka biasa dengan tekanan atau aktiviti berat.

“Saya selalu nasihatkan ibu bapa agar menyediakan saiz beg yang betul untuk anak mereka. Sebagai panduan, jangan beli beg yang panjangnya melangkaui bawah paras pinggang atau labuhnya sampai ke bahagian punggung. Manakala lebar juga tidaklah melebihi bahu mereka.

“Beg terlalu besar juga akan menyebabkan mereka sukar mengawal beban yang dibawa. Mereka ini lebih terdedah kepada kemalangan kerana saiz beg yang tidak sepadan dengan badan. Lebih membebankan apabila kanak-kanak ini perlu mendaki tangga untuk sampai ke kelas mereka,” katanya.


Menyentuh kepada rawatan, kata Dr Nawar ia berbeza mengikut kepada keadaan pesakit. Sebaiknya apabila kanak-kanak ini mengadu sakit sehingga menjejaskan tidur, rujuklah kepada doktor.

kredit Nurul Husna Mahmud@ Harian Metro

2 ulasan:

  1. memang penah nampak kanak2 bawak beg sampai terbongkok2. adoiyai..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tu la mmg nampak pun berat..tapi la banyak dah guna beg roda..tapi beg roda pun berat jugak..selalunya balik sekolah parent yg tolong bawakkan. .

      Padam

Dikuasakan oleh Blogger.