Tips Penjagaan Kucing Bunting Buat Mereka Yang Pertama Kali Membela Kucing

By Zahirah Dzahir - 10/28/2018 09:18:00 PTG



Assalamualaikum

Mommy ada jumpa 1 artikel dalam fb yang menarik iaitu tentang  cara kita nak jaga kucing bunting, maksud dia kucing tu mengandung. Maybe ada yang dah tahu dan ada yang tak tahu. Macam Mommy sefamily ni 1st time bela kucing. Kucing betina pula tu, lagi tak tahu bab-bab kucing ni.  Kucing Mommy ni nama dia Kitty, ada yang kata muda lagi ni yang bunting. Rasanya baru 11 bulan umoq Kitty. Baru ja bela, baru nak ambik faham tentang kucing, baru Kitty nak galak-galak main manja. Tiba-tiba dah bunting. Tapi nak buat macam mana, dah terlanjur terima je laa. Tapi bagus juga ada artikel camni, sekurangnya dapat info sikit macam mana cara nak jaga Kitty. Jom baca..

  
TIPS PENJAGAAN KUCING BUNTING

Apabila kucing betina berada dalam kitar heat dan berpeluang untuk mengawan, kebarangkalian besar adalah dia akan mengandung. Purata tempoh bunting kucing adalah sekitar 63-65 hari. Beberapa perubahan fizikal akan kelihatan pada kucing betina jika dia mengandung.

Kucing jantan tidak mengambil peranan dalam penjagaan anak kucing dan adakalanya sesetengah kucing jantan akan bertindak agresif terhadap anak kucing. Sebaliknya pula, kucing betina akan menjadi sangat defensif dan melindungi anak-anaknya, termasuk daripada anda sendiri.

Jika anda sedang menjaga kucing betina yang melahirkan anak, anda perlu lebih berhati-hati dalam mengendalikan anak-anaknya kerana ibu kucing mungkin akan menjauhi anak kucing jika bau anda kuat melekat pada badan anaknya. Sesetengah ibu kucing juga akan menjadi agresif terhadap anda jika anda cuba mendekati anaknya semasa kehadiran ibunya.

TANDA – TANDA KUCING BUNTING

Pemilik kucing yang tidak berpengalaman mungkin terlepas pandang tanda kucing betina berada dalam keadaan heat. Sesetengah kucing memperlihatkan tand-tanda yang jelas berada dalam heat berbanding kucing lain. Jika anda mempunyai kucing yang berada dalam heat dan kemudian berhenti dan tiba-tiba kitar itu tidak kelihatan, maka kucing betina anda kemungkinan besar sudah mengandung.

Kebiasaannya, kucing betina tidak memerlukan sebarang penjagaan khusus ketika tempoh bunting. Mereka kelihatan boleh menjaga diri masing-masng. Selain dari memberikan makanan yang mereka mahukan dan melindungi mereka dari penyakit dan parasit, selebihnya boleh diserahkan kepada mereka sahaja untuk menjaga dirinya.

Disebabkan tempoh mengandung hanyalah sekitar 9 minggu, maka segalanya akan berlaku dalam keadaan singkat. Antara tanda-tanda yang kelihatan adalah:
• Peningkatan selera makan
• Puting susu menonjol dan kemerahan (sekitar 2 minggu selepas mengawan)
• Bahagian perut semakin membulat

Jika anda khuatir, anda boleh bawakannya ke vet untuk pengesahan lanjut. Jika vet mempunyai x-ray, anda boleh mengimbasnya pada hari ke 50-54 untuk melihat jumlah anak kucing di dalamnya. Purata kelahiran adalah antara 3-5 ekor anak kucing tetapi bergantung kepada keadaan juga lah.

TANDA – TANDA KUCING NAK BERANAK

Kita boleh menjangka bahawa si ibu kucing akan melahirkan anaknya dalam masa terdekat apabila dia menunjukkan kecenderungan mencari dan menempatkan sarang bagi kelahiran anak-anaknya. Susu akan kelihatan pada putingnya lebih kurang 1-2 hari sebelum melahirkan anak. Anda juga boleh memeriksa suhu badan ibu kucing pada bahagian dubur sebanyak 2 kali sehari jika anda mahukan kepastian. 24 jam sebelum kelahiran, suhu badannya akan menurun pada tahap 37 darjah Celsius.

KEPERLUAN/PENYEDIAAN 

Kotak Kelahiran atau tempat yg selesa untuk si ibu melahirkan. Kucing biasanya suka tempat yang gelap dan tidak mudah dilihat untuk melahirkan anak, jadi, sediakan satu kotak kosang yang dialas kertas di mana-mana tempat tersorok dalam rumah anda ya.
Sarung tangan yang steril. Beli je dari farmasi berdekatan. Mana la tau kalau kita diperlukan untuk membantu menyambut kelahiran nanti…heheheh…jadik bidan terjun! Heuhuhu
Pipet atau jarum suntikan untuk membantu buang mucus pada bhg mulut dan hidung anak kucing yang dilahirkan…biasanya Persian yg tak pandai jaga anak susah nak menjilat…nak tak nak, kita yang perlu bantu ya. Hehe
Dental floss atau benang.
Antiseptik untuk disapu pada tali pusat anak kucing.
Gunting
Tuala Bersih
Pastikan no telefeon vet anda mudah dicari untuk kes kecemasan.
Susu gentian untuk si anak kucing. Hanya perlu disediakan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya si ibu tidak mahu menjaga anak yang baru dilahirkannya. Jarang berlaku tetapi kemungkinan tetap ada ya.

APA YANG BERLAKU KETIKA KELAHIRAN KUCING

Masa yang diambil untuk kelahiran bergantung kepada samada ibu kucing pernah melahirkan anak atau berapa banyak anak kucing yang dilahirkan pada masa itu. Tempoh kelahiran boleh berlaku dalam masa beberapa minit, jam malah mungkin juga seharian jika anaknya ramai.

Anda boleh melihat lendiran mukus dikeluarkan apabila proses kelahiran bermula. Contraction akan berlaku dan anak kucing akan dilahirkan. Ibu kucing akan menjilat dan membuang lendiran pada anak kucing. Jika tidak, anak kucing akan lemas dan jika ini berlaku maka anda perlulah campurtangan untuk mengelakkannya mati. Ibu kucing kemudiannya akan menggigit tali pusat yang menyambungkan anak kucing.

Semasa anak kucing dilahirkan, berat mereka hanyalah beberapa gram sahaja dan sangat-sangat terdedah kepada bahaya. Mereka amat bergantung kepada ibunya untuk terus hidup kerana mata mereka masih tertutup, telinganya masih belum berfungsi dan mereka hanya mampu merangkak.

Ibu kucing akan meneruskan kelahiran beberapa anak kucing lagi. Dia akan terus menjilat dan membersihkan anak-anaknya dan secara perlahan-lahan akan menolak mereka ke arah puting susunya. Anak kucing mampu menyusu dalam masa kurang 1 jam selepas dilahirkan.

Anak kucing akan menerima imuniti awal pencegahan penyakit dengan cara menyerap antibodi yang ada pada kelenjar susu ibunya. Anak kucing hanya mampu menyerap antibodi yang ada pada badan ibunya dalam masa 24 jam terawal semasa ia dilahirkan. Maka adalah amat penting bagi anak kucing untuk menyusu dari ibunya secepat mungkin selepas dilahirkan.

Ibu kucing mungkin akan memakan tali pusat anaknya, walaupun kelihatan agak jijik tetapi ini sebenarnya adalah perkara biasa sahaja. Ibu kucing akan mengalami lelehan yang keluar dari faraj dalam tempoh 2 minggu atau kurang selepas melahirkan anak. Lelehan ini akan kelihatan seperti darah dan mungkin juga berwarna hijau dan berlendir. Tetapi lelehan ini tidak sepatutnya kelihatan seperti lendiran pekat berwarna putih kekuningan seperti nanah atau bisul. Jika ini berlaku, bawa ibu kucing ke klinik vet seberapa cepat.

Jika kucing anda (si ibu) suka merayau-rayau, cuba kurungnya di dalam bilik bersama-sama dengan anaknya supaya mereka tidak terbiar. Anda juga perlu prihatin dengan masalah kutu, jika si ibu mempunyai kutu, ia boleh merebak ke anak kucing dan boleh menyebabkan anemia yang mengancam nyawa anak kucing.

KESULITAN BERANAK

Seperti mana manusia, kucing juga boleh mengalami kesulitan semasa melahirkan anaknya. Dystocia adalah istilah yang merujuk kepada proses kelahiran yang bermasalah. Kucing yang sudah tidak melahirkan anak dalam masa yang panjang, atau mempunyai anak kucing yang tersangkut dan menyembul keluar dari vulva adalah antara situasi yang tergolong sebagai dystocia.

Ibu kucing yang sakit atau lemah, anak kucing berada dalam keadaan songsang dan anak kucing yang terlalu besar untuk melalui salur kelahiran dan anak kucing yang mati dalam rahim dan menghalang anak kucing lain untuk keluar adalah antara punca dystocia.

Jika ibu kucing telah mengalami contraction selama 1 jam tanpa melahirkan anak, anda perlu mendapatkan bantuan veterinar. Doktor akan mengimbas X-ray untuk melihat kedudukan anak kucing dan mengenalpasti sebarang keadaan luarbiasa padanya. Doktor juga mungkin akan memeriksa darah ibu kucing untuk mengetahui masalah seperti kekurangan kalsium atau gula, yang merupakan antara punca menghalang ibu kucing untuk mengalami contraction secara normal.

Jika klinik itu mempunyai kemudahan ultrasound, ujian ini dapat mengenalpasti degupan jantung anak kucing dan lain-lain masalah. Doktor mungkin akan membuat keputusan untuk menyuntik ibu kucing dengan dadah atau menggunakan kaedah pembedahan caesarian, bergantung kepada situasi. Kebiasaannya dadah akan diberikan untuk mendorong kelahiran dan jika tidak berjaya maka pembedahan perlu dilakukan. Namun begitu, pembedahan juga meningkatkan risiko kematian anak kucing (tetapi ia juga perlu untuk menyelematkan nyawa ibu kucing).

  • Share:

You Might Also Like

2 orang berborak di sini!

  1. Wahhh gud info !! Sebelum ini masa kat rumah ni ada kucing, kita tau-tau je dah terberanak. Tapi sebelum itu dia mengiew dan lalu-lalang depan kita banyak kalilah

    BalasPadam
  2. Bagus perkongsian ini untuk mereka yang baru nak bela kucing..

    BalasPadam