Masalah Pembuluh Darah Kaki @ Vena Varikos (VV)

Assalamualaikum..


Masalah pembuluh darah kaki

BAGI wanita, urat yang berbelit-belit dan timbul dari paha hingga ke betis            sememangnya sesuatu yang menghodohkan. Keadaan ini menyebabkan mereka bukan saja menghadapi dilema dari aspek kosmetik, tetapi mereka juga sebenarnya menghidap sejenis penyakit.

 

Penyakit yang dikenali sebagai vena varikos (VV) ini menyebabkan sesetengah penghidapnya mengalami pembengkakan pada kaki.
 
Pakar perunding bedah dan vaskular sebuah hospital swasta, Dr. Suib Ismail berkata, selain warna kulit yang semakin gelap pada bahagian terbabit, kaki juga menjadi semakin berat terutama selepas banyak berjalan.

Menurut beliau, keadaan ini boleh menimbulkan rasa tidak selesa.
``Vena varikos boleh menyebabkan berlakunya ulser yang berbau busuk. Ia boleh menimbulkan stigma sosial kepada pesakit,'' katanya.
VV merupakan sejenis penyakit apabila vaskular pembuluh darah vena mengembang dan memanjang.

Vena merupakan saluran darah yang membawa darah tanpa oksigen dan mengandungi toksik ke bahagian kanan jantung. Apabila sampai ke jantung, darah ini akan disalurkan ke paru-paru untuk dioksigenkan dan dinyahtoksikkan. Darah juga melalui proses penapisan pembersihan melalui organ seperti hati dan buah pinggang.
Darah yang telah dioksigen dan dinyahtoksikkan akan dihantar semula ke seluruh tubuh.

Kaki mempunyai penutup vena sehala yang berfungsi untuk membantu perjalanan darah balik ke jantung.

Apabila salah satu atau lebih injap ini gagal berfungsi dengan baik atau mengalami kebocoran, darah akan turun semula ke kaki. Apabila darah turun ke kaki, isi padunya dalam pembuluh darah kaki menjadi berlebihan. Keadaan ini mengakibatkan urat darah mengembang dan memanjang.

Lama-kelamaan, tekanan secara berlebihan pada urat darah ini menyebabkan cabang-cabang halus pembuluh darah dapat dilihat dengan mata kasar di bawah permukaan kulit kaki.

Pembuluh darah pada kaki yang bercabang-cabang berwarna ungu ini kelihatan seperti bentuk sarang labah-labah.

Secara umum, sistem vena terbahagi kepada dua iaitu:

@ Sistem superfisial vena yang terdapat pada bawah kulit.
 Jenis ini terbahagi kepada dua iaitu:
a. Long saphenous system - bermula dari celah paha kaki hingga ke bawah
b. Short saphenous system - bermula pada belakang pelipat lutut.

@ Sistem deep vena yang terdapat pada bahagian dalam otot tubuh.

Menurut Dr. Suib, vv lebih kerap ditemui pada wanita berbanding lelaki. 
``Mengapa ia lebih kerap berlaku kepada wanita tidak diketahui,'' katanya.
Antara faktor-faktor yang meningkatkan risiko ini ialah:
  • Umur. Mereka yang terdedah kepada masalah ini berada dalam lingkungan umur 30 hingga 70 tahun.Peratusan mencatatkan lebih 50 peratus wanita terdedah kepada VV, manakala lelaki hanya 30 peratus.Apabila usia mencecah 70 tahun, risiko seseorang mendapat VV meningkat sehingga 70 peratus.  
  •  Keturunan. Sekiranya seseorang mempunyai kedua-dua ibu bapa menghidap masalah ini, risiko mendapat penyakit ini ialah 89 peratus. Jika salah seorang menghidap penyakit ini, risikonya ialah 47 peratus.
  •  Jantina. Wanita lebih kerap terdedah berbanding lelaki.
  •  Kehamilan. Kehamilan kembar, perubahan hormon dan tekanan pada rahim boleh menyumbang kepada masalah VV.
  •  Obesiti. Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan terdedah kepada masalah vv.
  •  Faktor-faktor lain. Contohnya pengambilan pil perancang.
Punca
VV berpunca daripada dua faktor:

* Primer
a. Kelemahan dinding pembuluh darah
b. Kerosakan injap darah

* Sekunder
Pembekuan darah dalam saluran vena (deep vein thrombosis) merupakan punca sekunder utama.

Jenis-jenis VV
* Telengectasia. Satu keadaan di mana salur darah jelas kelihatan pada bahagian pelipat belakang lutut dan paha. Ia biasanya membabitkan pembuluh darah yang kecil, pendek dan bercabang-cabang.
Meskipun ia adalah jenis vena varikos yang paling kerap ditemui, tetapi ia tidak menyebabkan kesakitan atau bengkak. Keadaan ini merupakan satu petanda bahawa seseorang mempunyai penyakit salur darah deep vein system.

* Reticular. Ia lebih kerap ditemui pada bahagian periferal lutut. Saiz urat darah ini agak besar dan panjang yang menyebabkan penghidapnya berasa malu.
Reticular berasal daripada telengectasis yang menjadi lebih teruk.

* Truncal. Ia dikategorikan vena varikos yang paling serius membabitkan vena pendek dan panjang sapheneous system iaitu urat darah paha dan pada bahagian dalam kaki.
Truncal biasanya menimbulkan banyak masalah kerana ia melibatkan vena utama.
Pesakit sering mengadu sakit, kaki bengkak, pendarahan dan kaki menjadi berat. Pada peringkat ini, kaki terutama di bahagian dalam atas buku lali mungkin akan menjadi ulser (kudis).
Ulser jenis ini selalunya mengambil masa yang lama untuk sembuh, berair dan berbau busuk. Tambah menyulitkan lagi, ulser ini boleh berulang. Fenomena ini menyebabkan seseorang pesakit menghadapi masalah pergaulan sosial.

Gejala
  •  Pesakit mengadu pembuluh darah bengkak dan timbul
  •  Sesetengah pesakit mengalami bengkak pada kaki
  •  Kaki menjadi lebih berat terutama apabila banyak berjalan. Keadaan ini lebih teruk pada waktu petang
  •  Pendarahan pada urat yang timbul
  •  Pesakit mengadu ada luka yang kronik pada bahagian dalam atas buku lali
  •  Warna kulit menjadi lebih gelap

Prosedur mengesan VV
* Pemeriksaan tangan Doppler. Ujian ini membolehkan pakar bedah mendengar aliran darah yang turun ke kaki. Ia juga dapat mengesan sebarang kerosakan pada injap

* Venografi. Ia menggunakan suntikan cecair ke dalam vena kaki dan meletakkan jarum dalam vena bagi mengesan sebarang darah beku vena dalam otot.
Kaedah ini jarang digunakan kerana ia boleh menimbulkan komplikasi seperti darah beku dan thrombophlebitis.

Rawatan
Dua sebab mengapa mereka yang menghadapi masalah ini perlu dirawat ialah:
* Keadaan yang menghodohkan
* Mencegah komplikasi.

Rawatan VV merangkumi:
* Pemakaian stokin khas pencengkam. Kaedah ini hanya untuk merawat gejala sahaja, tetapi ia tidak menyembuhkan.

Kaedah ini disyorkan sementara menunggu rawatan yang lebih spesifik seperti:

a. Terapi sklero. Rawatan menyuntik ubat-ubatan terus ke urat untuk menutup salur darah. Ia sesuai digunakan untuk spider reticular dan rawatan susulan selepas pembedahan

b. Pembedahan. Pembedahan membuang urat darah truncal (panjang dan pendek). Rawatan ini disyorkan untuk mereka yang mempunyai VV yang lebih serius. Ia biasanya membabitkan saluran utama sistem superfisial vena seperti truncal VV. Risiko untuk masalah ini berulang juga adalah rendah.

c. Laser. Seperti terapi sklero, laser hanya sesuai untuk spider reticular. Berbanding dengan terapi sklero, kaedah ini sukar didapati. Kos rawatannya juga tinggi.
Kaedah-kaedah rawatan ini akan digabungkan antara satu sama lain. Umpamanya, pembedahan dan terapi sklero digabungkan untuk mencapai peratus kejayaan yang tinggi

d. Krim kulit. Sehingga kini, belum ada satu kajian kukuh yang mengatakan bahawa krim kulit dapat merawat VV.
Komplikasi

VV jika dibiarkan tanpa rawatan boleh mengakibatkan pesakit terus mengalami gejala-gejalanya seperti:

a. Urat darah terus mengembang
b. Merasai kesakitan seperti sakit kaki
c. Kaki menjadi gatal
d. Ulser pada kulit buku lali
e. Merasai kesakitan seperti sakit sendi
f. Kekejangan pada otot-otot kaki terutama pada waktu petang
g. Risiko pembentukan darah beku (deep vein thrombosis)
h. Stigma sosial
i. Radang pada urat darah yang bengkak sekali gus menyebabkan ulser.

kredit  http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp…

3 ulasan:

Dikuasakan oleh Blogger.