10 Solekan Untuk Mereka Yang Berkaca Mata

By Zahirah Dzahir - 6/28/2018 05:46:00 PTG

Assalamualaikum..


Siapa kata wanita berkaca mata tidak nampak berbeza jika bersolek? Bagi sesetengah wanita, bersolek mungkin dianggap perkara rumit kerana mengganggu keselesaan dan memerlukan ketelitian supaya nampak seiring dengan rupa.

Ada juga yang menganggap solekan tidak perlu kerana sebahagian wajah tetap terlindung di sebalik bingkai kaca mata. Namun, sebab paling ketara golongan ini tidak menunjukkan minat pada solekan adalah kerana kesan pemakaian cermin yang membuatkan mata mereka kelihatan lebih kecil.

Berbeza dengan kebanyakan wanita berkaca mata di Indonesia, mereka begitu optimis dan bijak merias sehingga tampil lebih menarik dan elegan berbanding biasa.

Ikuti 10 panduan solekan khusus yang dikongsikan Fimela.com untuk wanita berkaca mata. Tip ini mungkin berguna untuk tampil lebih menarik sepanjang Aidilfitri ini.


1. Sembunyikan lingkaran gelap

Masalah utama wanita kelompok ini adalah bayang atau kesan lingkaran gelap di sekitar mata. Gunakan penyamar noda rona cerah untuk menutup sudut garis mata dan kawasan yang menampakkan bayangan gelap. Jangan lupa oleskan bedak tabur untuk menutup sapuan penyamar noda sekali gus menampakkan kesan semula jadi.

2. Tutup kantung mata

Bengkak di bahagian bawah mata sering berlaku kepada mereka yang kerap mengadap komputer, tidak cukup tidur, ada alahan, masalah keturunan serta mempunyai masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi. Biarpun sudah mengenakan kaca mata, namun kantung ini tetap ketara pada pandangan orang di sekeliling.

Gunakan penyamar noda untuk menyembunyikan kantung mata, diikuti sapuan bedak asas ke seluruh wajah. Pastikan solekan asas diratakan dengan sempurna sebelum sapuan nipis bedak tabur rona sepadan kulit.

3. Membentuk kening

Wanita yang mengenakan kanta lekap mungkin lebih bebas merias bahagian mata. Mereka tidak terikat dengan sebarang gangguan kecuali membetulkan bentuk mata dan kening supaya nampak lebih menarik.

Begitupun, mereka yang mengenakan kaca mata, perlu mengambil kira bentuk bingkai sebelum menyempurnakan bahagian kening supaya nampak kemas dan tidak keterlaluan.

4. Tebalkan bulu mata

Gangguan paling besar untuk wanita berkaca mata boleh terjadi hanya dengan tersalah pilih maskara. Kebanyakan maskara di pasaran mempunyai fungsi memanjangkan bulu mata. Elakkan jenis ini jika mahu mata dalam keadaan selesa.

Bayangkan, apabila bulu mata terlalu panjang, ia pasti ‘menyapu’ cermin setiap kali berkelip. Tanpa sedar, inilah yang membuatkan mata anda mudah letih, gatal dan tidak selesa mengenakan alat solek.

Ingat, gunakan maskara untuk menebalkan, bukan memanjangkan bulu mata. Pilih maskara jenis kalis air untuk mengelak risiko comot jika anda menyentuh mata tanpa sengaja.

5. Sapuan maskara

Ini juga penting untuk diambil kira. Kebanyakan wanita hanya menyapu maskara dari bahagian dalam, bermula bawah ke atas. Cuba ulang cara sama dan sapu sekali lagi dari bahagian luar, ke hujung bulu mata pula.

Pemakaian maskara secara berulang dan kemas boleh menonjolkan bentuk mata sempurna. Jangan lupa sapu maskara pada bulu mata di bahagian bawah untuk kesan lebih dramatik.

6. Pilih penggaris mata cerah

Untuk membuatkan mata kelihatan lebih besar dan galak, usah gunakan penggaris rona hitam ke seluruh birai mata. Tentukan penggunaan penggaris mata rona hitam hanya di bahagian atas. Untuk garis mata bawah, pilih warna terang seperti coklat atau putih.

Elakkan sapuan penggaris mata yang tebal kerana ia hanya membuatkan mata nampak lebih kecil dan sempit.

7. Pembayang mata rona tanah

Perlu diingat bahawa anda masih memakai bingkai kaca mata. Tidak kira tebal atau nipis, ia masih memberi kesan kepada bentuk wajah dan mata. Justeru, elakkan menyapu pembayang mata terlalu tebal, terang atau gelap. Ini membuatkan mata kelihatan tenggelam dalam kacamata.

Pilih pembayang mata rona semula jadi atau warna yang nampak manis untuk menyerlahkan penampilan. Pertimbangkan mata yang memandang setiap kali anda bercakap dengan mereka.

8. Campuran rona keemasan

Wanita Korea cukup meminati bingkai kaca mata dan menjadikan ia sebahagian trend dalam fesyen. Mereka juga cukup senang mengenakan warna terang seperti rona badam, emas, coklat pudar, pic lembut dan merah jambu untuk menonjolkan bahagian mata.

Apa yang penting, usah berlebihan dalam bereksperimen dengan warna. Mereka mungkin nampak menyerlah, namun ia tetap bergantung kepada bentuk bingkai kaca mata anda sendiri.

9. Bedak asas sesuai

Menyapu tebal bedak asas jenis cecair boleh mendatangkan kesan menakutkan. Selain baki solekan melekat pada bingkai bahagian hidung dan pipi, wajah juga nampak comot dengan kesan tidak sekata ketika berpeluh.

Elakkan bedak asas jenis kusyen jika anda tidak mahir melakukan sapuan mekap. Pilih berus atau span untuk mengadun bedak asas dengan sempurna pada wajah. Selesai bersolek, kunci sapuan bedak asas dengan mengoles bedak tabur senipis yang mungkin.

10. Pembayang pipi

Bukan hanya mata, pipi juga memainkan peranan besar dalam menonjolkan seri wajah. Pilih pembayang rona coklat muda bagi mereka yang berkulit cerah dan sedikit gelap untuk pemilik kulit sawo matang.

Oles pembayang pada bahagian tulang pipi dan pastikan ia tidak keterlaluan hingga menampakkan garis berkembar (pembayang pipi dan bingkai kaca mata) yang aneh. Sempurnakan solekan dengan pemerah pipi rona pic lembut.

 kredit Intan Mas Ayu Shahimi

  • Share:

You Might Also Like

2 orang berborak di sini!

  1. part paling tak nampak bagi yang pakai spec ni eye shadow hehe..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betuiii..kak pakai spek buh jugak la eye shadow..tak nampak apa punnn..

      Padam