Info Tentang Kod-E Label Makanan ? Halal Atau Tidak ?

By Zahirah Dzahir - 11/16/2015 12:12:00 PG

Assalamualaikum..

Jom baca..sesetengah dari kita tak berapa nak paham tentang label makanan Kod-E ni. saya share dari laman web  http://www.myhealth.gov.my/

Aditif Makanan Daripada Perspektif Halal

Apakah Makanan Halal?
Sebagai pengguna Muslim, sudah tentu kita ingin mendapatkan makanan yang halal sebagai sumber tenaga harian kita. Perkara utama yang perlu dititikberatkan dalam soal ramuan sesuatu makanan itu adalah mengenal pasti sumbernya sama ada ia halal atau tidak.
Sesuatu makanan yang halal diperoleh daripada sumber yang halal iaitu yang berlandaskan hukum syarak :
1.       Daripada haiwan yang halal dimakan
2.      Daripada haiwan halal yang telah disembelih mengikut syarak
3.      Tidak dihasilkan daripada proses pembuatan arak
4.      Bukan daripada najis, darah dan bangkai
5.      Bukan daripada mana-mana bahagian manusia atau hasil daripadanya (contoh : rambut)
6.      Selamat dan tidak memudaratkan kesihatan.

Bagaimana Untuk Mengetahui Makanan Yang Dimakan Adalah HALAL, SELAMAT DAN SUCI?
Di Malaysia, kita boleh mendapatkan makanan halal dengan cara mengenal pasti logo HALAL Malaysia atau badan Islam yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada label makanan tersebut.
·         Melalui pengesahan logo tersebut, kita sebagai pengguna telah diberi jaminan bahawa setiap produk tersebut telah menjalani pemeriksaan ketat dan terperinci bermula daripada penerimaan bahan mentah sehingga ke peringkat pengedaran produk.
·         Kita juga tidak perlu bimbang mengenai sumber bahan ramuan bagi produk tersebut kerana pihak berkuasa telah memastikan ia diperoleh daripada sumber yang halal.
Namun begitu, tidak semua produk di pasaran mempunyai sijil halal. Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai status halal sesuatu produk, anda perlu menyemak senarai ramuan pada label pembungkusan produk tersebut dan kenal pasti sumbernya.
Jika dilihat pada label pembungkusan makanan anda, banyak terma yang kedengaran asing pada pengguna awam apatah lagi untuk mengenal pasti adakah ia bersumberkan haiwan atau tidak.
Selain daripada komponen utama produk, terdapat bahan yang ditambah dalam makanan untuk tujuan tertentu dan ia dikenali sebagai ADITIF MAKANAN.

Aditif Makanan
Aditif makanan adalah bahan yang selamat dimakan yang ditambah secara sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti yang sedikit bagi tujuan teknologi tertentu, tetapi tidak termasuk vitamin dan mineral.
Tujuan penggunaan aditif makanan adalah untuk memberi kesan atau fungsi teknologi seperti :
·         Meningkatkan kualiti makanan
·     Meningkatkan daya persembahan dengan menjadikan makanan lebih menarik daripada segi rupa, tekstur, warna, rasa dan konsistensi
·         Menambah keenakan makanan
·         Memanjangkan jangka hayat penyimpanan makanan.

Aditif makanan dikelaskan mengikut beberapa kategori iaitu :
1.       Bahan pengawet
2.      Bahan pewarna
3.      Bahan perisa
4.      Penambah perisa
5.      Antioksida
6.      Kondisioner makanan.

Mengenali Aditif Makanan Pada Label Pembungkusan Makanan

Mengikut keperluan pelabelan dalam Peraturan Makanan 1985, produk makanan yang mengandungi bahan aditif perlu menyatakan jenis atau kategori bahan aditif yang terkandung di dalam produk tersebut pada senarai ramuan seperti berikut :
“Mengandungi (jenis aditif makanan yang berkenaan) yang dibenarkan”
Contohnya :
“Mengandungi pengawal asid dan penstabil sebagai kondisioner makanan yang dibenarkan”

Selain itu, terdapat juga aditif makanan yang dilabelkan pada pembungkusan makanan menggunakan sistem kod E-number.
E-number ialah nombor rujukan aditif makanan yang digunakan di peringkat antarabangsa yang setiap satunya mempunyai nombor pengenalan yang unik dan tersendiri bagi mewakili setiap jenis aditif.
Jadual 1 : Sistem kod E-Number mengikut kelas aditif makanan
Kod E-Number
Kelas Aditif
E100 - E199
 Pewarna
E200 - E299
 Pengawet
E300 - E399
 Antioksida, pengawal keasidan
E400 - E499
 Kondisioner makanan
 (pemekat, penstabil, pengemulsi)
E500 - E599
 Pengawal keasidan, anti-caking
E600 - E699
 Penambah perisa
E700 - E799
 Antimikrob
E900 - E999
 Lain-lain jujukan (Glazing agent, pemanis)
E1000 - E1999
 Kimia tambahan

Untuk keterangan lanjut mengenai E-number, sila layari The Codex General Standard for Food Additive (GSFA)
Rajah 1 : Contoh pelabelan aditif makanan yang menggunakan kod E-Number

Status Halal Aditif Makanan

Aditif makanan ini boleh dihasilkan daripada sumber :
·         haiwan
·         tumbuhan
·         sintetik,
 bergantung kepada jenis aditif tersebut.
Kekeliruan terhadap status halal aditif makanan timbul apabila tersebarnya khabar angin bahawa ramuan kod E diperoleh daripada sumber yang tidak halal.
Lebih memburukkan keadaan apabila maklumat yang disampaikan itu langsung tidak tepat dengan mewujudkan propaganda bahawa sebarang ramuan yang dilabel dengan kod E adalah haram dan bersumberkan khinzir/babi.
Penyebaran maklumat yang palsu oleh individu yang tidak bertanggungjawab telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna Muslim.
Perlu diberi penjelasan di sini bahawa melabelkan semua aditif makanan tersebut sebagai haram adalah tidak tepat, sebaliknya lebih sesuai dilabelkan sebagai bahan aditif yang kritikal atau diragui daripada perspektif halal berikutan ia berkemungkinan daripada sumber yang meragukan seperti haiwan.
Dua aspek utama perlu dititikberatkan sekiranya aditif tersebut daripada sumber 
haiwan :
·         pastikan ia bukan daripada haiwan yang haram (contoh : khinzir/babi, anjing)
·         jika daripada haiwan yang halal dimakan, pastikan haiwan tersebut telah disembelih mengikut syariat Islam.
Tambahan pula, tidak semua aditif makanan itu diragui statusnya. Ini kerana terdapat aditif makanan yang dihasilkan daripada tumbuhan dan/atau sintetik dan dikategorikan sebagai tidak kritikal.
Persoalan yang sering diterima mengenai status halal aditif makanan adalah bagi kod E400-E499 iaitu kondisioner makanan (pengemulsi, pemekat dan penstabil). Namun begitu, tidak semua yang diragui, sebaliknya lebih menjurus kepada kategori pengemulsi kerana sumber penghasilan bahan kategori ini adalah daripada lemak atau minyak.
TETAPI tidak semua bahan tersebut bersumberkan bahan lemak atau minyak haiwan kerana terdapat sumber alternatif daripada lemak atau minyak sayuran (contoh : kelapa sawit, jagung, soya) untuk menghasilkan bahan aditif tersebut.
Untuk mendapatkan keterangan lanjut mengenai sumber bahan tersebut, pengguna perlu menyemak dan mendapat kepastian daripada pengeluar, pengilang atau pihak berkuasa yang mempunyai autoriti dalam perkara ini seperti :
1.       Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
2.      Jabatan / Majlis Agama Islam Negeri (JAIN/MAIN).

Berikut adalah senarai aditif makanan yang KRITIKAL yang perlu diberi perhatian oleh pengguna sebagai panduan dalam menentukan status halal bagi produk yang TIADA PENGIKTIRAFAN SIJIL HALAL daripada pihak berkuasa :
Kod E
Kelas Fungsi
Aditif Makanan
Sumber
E153
Pewarna
Carbon Black /
Vegetable Carbon
Arang daripada :
  • Tulang haiwan (animal charcoal)
  • Tumbuhan (contoh : tempurung kelapa, dan sebagainya)
E322
Pengemulsi / Antioksida
Lecithins
  • Haiwan
  • Tumbuhan
E334
Pengawal keasidan
Tartaric acid
  • Berkemungkinan terhasil daripada proses pembuatan arak (wine)
  • Sumber semula jadi dalam buah-buahan
  • Sintesis kimia
E335
Sodium Tartrate
E336
Potassium Tartrate /
Potassium Hydrogen Tartrate /
Cream of Tartar
E422
Pelembap (Humectant)
Glycerol / Glycerin
Sumber lemak / minyak dan terbitannya
  • Haiwan
  • Tumbuhan
E432
Pengemulsi
Polyoxyethylene (20) Sorbitan Monolaurate /
Polysorbate 20 /
Tween 20
E433
Polyoxyethylene (20) Sorbitan Mono oleate /
Polysorbate 80 /
Tween 80
E434
Pengemulsi
Polyoxyethylene (20) Sorbitan Monopalmitate /
Polysorbate 40 /
Tween 40
Sumber lemak / minyak dan terbitannya
  • Haiwan
  • Tumbuhan
E435
Polyoxyethylene (20) Sorbitan Monostearate  /
Polysorbate 60 /
Tween 60
E436
Polyoxyethylene (20) Sorbitan Tristearate  /
Polysorbate 65 /
Tween 65
E470
Pengemulsi /
Penstabil
Sodium and
Potassium and
Calcium salt of fatty acid
Sumber lemak / minyak dan terbitannya
  • Haiwan
  • Tumbuhan
E471
Mono and Diglycerides of fatty acid
E472
Various Esters of Glycerol
E473
Sucrose Esters of glycerol
E475
Polyglycerol Esters of fatty acid
E476
Polyglycerol Esters of polycendensed fatty acid of Castor Oil / polyglycerol Polyricinoleate
E570
Anti-caking
Stearic Acid
Sumber lemak / minyak dan terbitannya
  • Haiwan
  • Tumbuhan
E572
Anti-caking
Magnesium Stearate
Sumber lemak / minyak dan terbitannya
  • Haiwan
  • Tumbuhan
E920
Pelbagai (miscellaneous)
L-Cysteine Hydrochloride
  • Sumber asid amino dan terbitannya daripada haiwan
  • Bulu haiwan (itik)
  • Sintetik
  • Rambut manusia

Penggunaan aditif L-Cysteine, daripada sumber bulu haiwan yang halal dimakan adalah harus sama ada ia diambil semasa hidup atau selepas disembelih mengikut hukum syarak sebagaimana yang telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan. Sebaliknya penggunaan L-Cysteine daripada rambut manusia adalah haram digunakan.
Diharapkan aritikel ini dapat memberi penjelasan tentang keraguan terhadap status halal aditif makanan kod E dalam kalangan para pengguna Muslim.

Rujukan :
  1. Codex General Standard for Food Additives, Codex Stan 192-1995.
  2. Department of Islamic Development Malaysia (JAKIM), 3rd Edition of Handbook of Halal Food Additives, 2010.
  3. Hanssen, M. and Marsden, J.E for Additives, 1978.
  4. Ministry Of Health Malaysia, Food Regulations 1985, International Law Book Services, 1978.
kreditPn. Farah Azura binti Khalilhttp://www.myhealth.gov.my/







  • Share:

You Might Also Like

1 orang berborak di sini!

  1. entry yang sangat berguna. Masih ramai lagi yang kurang pengetahuan mengenaik label produk ni

    BalasPadam