Minyak Zaitun Boleh Bantu Cegah Penyakit Kronik
By Zahirah Dzahir - 9/16/2015 03:50:00 PTG
Assalamualaikum..
Pemakanan
sihat adalah kunci kesihatan yang baik. Pemahaman mengenai makanan sihat sangat
penting untuk menjaga kesihatan. Pengetahuan mengenai lemak atau minyak sihat
sangat penting untuk kesihatan kerana bukan semua lemak atau minyak tidak
sihat.
Sejak
50 tahun lalu, kajian sains menunjukkan antara minyak yang sihat untuk
kesihatan adalah minyak zaitun. Minyak zaitun berasal daripada buah zaitun
(olea europaea) yang banyak digunakan dalam pemakanan dan juga kegunaan luar
untuk disapu pada kulit.
Antara
makanan sunah yang banyak diamalkan ialah minyak zaitun. Sejak 1,400 tahun
lalu, Nabi Muhammad SAW menganjurkan penggunaan minyak zaitun kerana khasiatnya
yang besar dikeluarkan dari pohon zaitun.
Allah
SWT bersumpah dengan buah zaitun dan buah tin dalam surah at-Tin ayat satu
menunjukkan buah zaitun adalah hebat dan mempunyai khasiat kesihatan yang
sangat tinggi.
Firman
Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 11: “Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air
hujan itu tanam-tanaman; zaitun, kurma, anggur dan segala macam buah-buahan.
Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah)
bagi kaum yang memikirkan.”
Diriwayatkan
oleh Ibnu Umar ra, Rasulullah SAW bersabda: “Minumlah minyak zaitun dan
berminyak dengannya kerana sesungguhnya ia adalah dari pohon yang diberkati.”
(HR Al-Baihaqi & Ibnu Majah).
Kajian
saintifik membuktikan khasiat minyak zaitun dan ia adalah bahan utama dalam
makanan Mediterranean yang terbukti secara saintifik sangat menyihatkan.
Minyak
zaitun mengandungi lemak mono tak tepu (MUFA) yang menyihatkan, di samping
lemak tepu dan juga lemak poli tak tepu (PUFA) termasuk Omega 3 dan 6.
Minyak
zaitun juga mengandungi bahan antioksidan iaitu hydroxy tyrosol, oleocanthal,
squalene dan beta karotin. Ia juga mengandungi vitamin E tokoferol dan juga
vitamin K.
Kajian
sains menunjukkan penduduk di Mediterranean yang banyak mengambil minyak zaitun
dalam pemakanan mereka mempunyai kadar sakit jantung yang jauh lebih rendah
berbanding penduduk di Amerika Utara dan utara Eropah.
Kajian
yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Pharmacological Research 2007
berdasarkan kajian mendalam yang dijalankan oleh Prof Maria Covas di Sepanyol
menunjukkan seseorang yang mengambil minyak zaitun secara kerap akan mempunyai
risiko lebih rendah mendapat penyakit kardiovaskular iaitu penyakit jantung,
darah tinggi, strok dan kolesterol tinggi.
Kajian
ini juga menunjukkan pengambilan minyak zaitun secara kerap akan mengurangkan
masalah keradangan dan disfungsi endothelium saluran darah koronari serta
penyumbatan saluran darah (thrombosis).
Kajian
lain yang dijalankan di National Institute of Health and Medical Research
(INSERM) di Bordeaux, Perancis menunjukkan pengambilan minyak zaitun setiap
hari mampu mencegah angin ahmar atau strok.
Kajian
ini dilaporkan dalam jurnal perubatan Neurology pada 2011 yang menunjukkan
seseorang yang mengambil minyak zaitun setiap hari mempunyai 41 peratus risiko
lebih rendah mendapat strok berbanding seseorang yang tidak mengambil minyak
zaitun.
Satu
lagi kajian menarik menunjukkan pengambilan minyak zaitun setiap hari juga
boleh mencegah kanser payudara. Sepasukan ahli sains dari Universitat Autonoma
de Barcelona di Sepanyol melaporkannya pada 2010.
Pengkaji
ini mendapati minyak zaitun mengurangkan aktiviti onkogen p21Ras, mencegah
kerosakan DNA sel dan menggalakkan kematian sel kanser payudara secara spontan.
Kajian
ini menunjukkan minyak jagung yang kaya dengan Omega 6 mempunyai kesan yang
bertentangan dengan minyak zaitun. Oleh itu pengambilan minyak zaitun boleh
kita amalkan sebagai suplemen harian untuk mencegah penyakit berbahaya.
Kajian
oleh ahli sains Jepun yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Medical Science
Monitor pada 2004 menunjukkan pengambilan minyak zaitun oleh 28 pesakit yang
mempunyai masalah kolesterol tinggi selama enam minggu membantu menurunkan
paras kolesterol LDL dan meningkatkan kolesterol HDL.
Saintis
berpendapat kesan ini kandungan asid oleic (MUFA), phenol dan vitamin E dalam
minyak zaitun. Kajian diterbitkan dalam British Medical Journal pada 2012
menunjukkan menggoreng menggunakan minyak zaitun dan minyak bunga matahari
tidak meningkatkan risiko mendapat penyakit jantung.
Kajian
ini membabitkan 40,000 peserta yang dijalankan oleh University Madrid di
Sepanyol. Walaupun menggoreng menggunakan minyak zaitun akan mengurangkan
khasiatnya, ia tetap memberi manfaat dengan tidak meningkatkan risiko penyakit
jantung.
Kajian
khusus mengenai penyakit Alzheimer juga mendapati minyak zaitun boleh mencegah
penyakit ini kerana kandungan bahan ‘oleocanthal’ didalamnya.
Bahan
oleocanthal ini membantu mengeluarkan protein beta-amyloid yang tidak normal
daripada otak seseorang. Kajian ini menunjukkan penyakit Alzheimer mempunyai
kadar rendah dalam kalangan penduduk di kawasan Mediterranean berbanding
wilayah lain di seluruh dunia. Kajian ini diterbitkan dalam jurnal perubatan
Chemical Neuroscience pada 2013.
Pelbagai
lagi kajian saintifik yang dijalankan di seluruh dunia menunjukkan penggunaan
minyak zaitun mengurangkan masalah kemurungan, menguatkan memori, bengkak
pankreas akut (acute pancreatitis), penyakit hati akibat stres oksidatif dan
penyakit bengkak usus (ulcerative colitis).
Kita
boleh mengamalkan minyak zaitun dalam pemakanan seharian sebagai makanan
kesihatan atau diambil sebagai suplemen harian untuk membantu mencegah pelbagai
penyakit kronik. Niatkan pengambilan minyak zaitun ini sebagai mengikut sunah
Rasulullah SAW mudah-mudahan kita mendapat keberkatan, insya-Allah.
Harian Metro
- Mummy Ira -
0 orang berborak di sini!