Habit Membawa Kes Sekolah & Rumahtangga Kepada Polis & Mahkamah

By Zahirah Dzahir - 9/08/2015 03:29:00 PTG

Assalamualaikum..

 
 
PEMIKIRAN KITA SEMAKIN CETEK

Masyarakat kita sedang melalui satu fenomena yang agak pelik apabila dikaitkan dengan budaya 'repot polis' dan saman menyaman. Tahap toleransi dan kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan perselisihan semakin terhakis.

Hari ini perkelahian biasa antara suami isteri pun kita buat lapuran polis dan saman mahkamah. Anak disuruh balik oleh guru, anak kena rotan, bahkan kena cubit sekalipun ibubapa pergi buat lapuran polis.

Isu ini ada kaitannya dengan kes di Melaka di mana ibu pelajar membuat lapuran polis hanya kerana anaknya lebam dicubit kerana bising dan tidak menyiapkan kerja sekolah, juga kononnya cikgu 'mengata' anaknya sebagai OKU.

https://www.facebook.com/wargaprihatin/photos/a.201867952785.170933.176792972785/10154168805222786/?type=1

BUDAYA MENYALAHGUNAKAN POLIS & MAHKAMAH 

Pendapat jujur dari beberapa pegawai polis yang rapat dengan kami merumus bahawa adakalanya saluran perundangan dan penguatkuasaan melalui polis dan mahkamah seperti sengaja disalahgunakan. 

Ada ibubapa yang tanpa segan silu melapur kepada polis kes anaknya yang dirotan jiran kerana melakukan jenayah. Kemudian menawarkan gantirugi pula dengan jumlah yang mengarut. Contohnya kes yang jika dibawa ke mahkamah pun dendanya hanya tidak lebih dari RM1000, mereka tuntut sehingga RM20,000.

Ibubapa sebegini lupa bahawa polis boleh menahan ibubapa apabila anak di bawah umur melakukan jenayah. Alasannya ialah kerana ibubapa lalai dan tidak menjaga anaknya dengan baik sehingga memudaratkan masyarakat.

Ramai juga di kalangan orang awam yang membuat lapuran polis walaupun dengan kes kecil, isu politik atau atas sebab sakit hati terhadap pihak yang dilapur. Tidak kurang pula di kalangan kita yang suka membuat lapuran palsu, juga atas sebab hasad dan dengki.

PINTU RUNDINGAN TERTUTUP, KEHARMONIAN AKAN MATI

Bagi pihak sekolah dan para guru, sikap ibubapa yang suka melapur kepada polis dan membawa kes anak ke mahkamah ini dipandang sangat buruk. Pastinya pelajar dan ibubapa begini akan di 'blacklist' dan dipinggirkan samada secara terang atau tersembunyi.

Ia seolah-olah menjadikan pihak sekolah, tempat anaknya belajar sebagai musuh. Tindakan itu dilihat seperti ibubapa sudah tidak lagi percaya kepada guru-guru dan sekolah anaknya. Hubungan pihak sekolah dan ibubapa juga menjadi masam dan keruh.

Para guru juga manusia biasa. Apabila ibubapa sudah bersikap begitu, mereka pasti akan berjauh hati dan membawa diri. Jika anak kita masih bersekolah di situ, peluang untuk anak kita dipinggirkan oleh guru dan rakan-rakan amat besar sekali.

Alangkah baiknya jika ibubapa bersikap terbuka, berkerjasama dan memberikan sokongan penuh kepada pihak sekolah. Dengan cara ini, maka sebesar mana sekalipun masalah anak kita pasti mudah diatasi. Ini adalah dari pengalaman kami sendiri.

Kita kurang bijak apabila memihak kepada anak kita dengan memberikan tekanan pula kepada pihak guru dan sekolah. Itu akan membuat anak kita naik tocang dan suka mengada-adakan cerita. Itu juga membuatkan para guru hilang kuasa dan upaya untuk mendidik serta memperbaiki akhlak anak-anak kita.

Kita mungkin ada 'kuasa' untuk menukarkan guru yang kita rasa bermasalah. Kita juga mungkin ada upaya untuk menukarkan anak kita ke sekolah lain. Namun, kita sering lupa bahawa sikap kita dan anak-anak kita itu masih sama. Oleh itu, ke manapun anak kita belajar, masalah yang sama tetap akan menimpa. Apatahlagi jika sekolah baru juga tahu latarbelakang pelajar dan ibubapanya.

Kebanyakan para guru akan mengambil sikap 'membiarkan' sahaja pelajar yang suka mengada-ngada, juga ibubapa yang tiada budibicara dan bertimbangrasa.

Perkara yang sama juga sering berlaku dalam perselisihan rumahtangga. Pintu rundingan seperti tertutup rapat. Hubungan kekeluargaan segera bertukar menjadi bermusuhan kekal jika kes dalam bilik tidur di lapur kepada polis dan mahkamah. Hujungnya ialah perceraian. Padahal Islam memberikan peranan ABAL HAKAM, iaitu wali dan saksi dalam membantu apa sahaja masalah rumahtangga.

Bayangkan dengan sedikit khilaf pihak hospital pun laju sahaja kita bawa kes ke mahkamah. Padahal itulah institusi yang telah merawat kita sekeluarga sekian lama. Kadangkala, polis sendiri pun kita saman apabila berlaku khilaf mereka. Padahal kita sendiri tahu hidup ini tidak dapat lari dari berurusan dengan mereka. 

Jika sudah tergamak kita saman mereka, lalu bagaimanakah kita akan berurusan lagi dengan mereka selepas itu? Tidakkah kita merasa serbasalah atau malu? 

KESIMPULAN

Perselisihan atas sebab apa sahaja yang mampu diselesaikan secara musyawarah dan harmoni boleh menjadi baja yang menyuburkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan.

QS: 42. Asy Syuura 38. Dan orang-orang yang menerima seruan Tuhannya dan mereka mendirikan shalat, sedang urusan mereka adalah dengan musyawarah di antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian dari rezki yang Kami berikan kepada mereka. 

Perselisihan yang dibawa ke pihak polis dan mahkamah dengan tergesa-gesa akan menambah dendam dan menutup pintu silaturrahim secara kekal.

Terkadang kita lupa. Sekian lama anak kita menumpang belajar, kita serahkan anak bulat bulat untuk diasuh oleh para guru dengan 1001 macam kelalaian kita yang 'terpaksa' mengejar dunia.

Terkadang kita lupa 'kehebatan' lakunan dan kepetahan anak kita memutar kata sehingga membuatkan kita sendiri terpedaya. Kita selalu kata 'saya kenal benar' anak kandung saya. Kami sendiri banyak kali membuka 'pekung' sebegini melalui pengakuan anak hasil lapuran rakan-rakan dan rakaman cctv.

Semuga bermanfaat,
WARGA PRIHATIN


- Mummy Ira -

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!