Review Filem Godzilla

By Zahirah Dzahir - 5/30/2014 05:25:00 PTG


Godzilla

Godzilla [Review]

Godzilla atau Gojira merupakan filem raksasa tahun 1954 yang berasal dari Jepun. Ia pernah dibikin semula dalam tahun 1998 dan kemudiannya dibuat kartun animasi. Dalam filem tahun 1998, Godzilla digambarkan sebagai raksasa jahat dan “rekabentuk” raksasa tersebut yang menyerupai dinosaur T-Rex tidak langsung membantunya.
Sebelum menonton filem Godzilla terbaru ini, saya berusaha sedaya upaya untuk tidak melayan sebarang spoiler kerana saya mendengar jalan ceritanya berbeza dari filem sebelumnya. Malah Godzilla juga tidak digambarkan sebagai watak jahat. Ini menarik minat saya untuk menontonnya.
Tanpa mendedahkan butiran yang mendalam, dalam filem terbaru ini terdapat lebih dari satu raksasa di bumi dan Godzilla merupakan raksasa paling berkuasa di mana ia mengimbangi sebarang ketidakseimbangan yang berlaku akibat kehadiran raksasa lain secara aktif.
Di tengah-tengah ketidakseimbangan itu, manusialah yang tersepit di antara kedua jenis raksasa itu.

Jalan Cerita

Secara jujurnya, mungkin saya meletakkan harapan yang terlalu tinggi kepada jalan cerita filem ini dan akhirnya ia tidak mencapai apa yang diharapkan. Secara ringkasnya, filem ini cuba menterjemahkan sebuah filem raksasa/manga mengikut pendekatan sebuah filem Sci-fi.
Beza antara filem berasaskan manga dan sci-fi ialah dalam filem mangga, ia lebih berunsurkan fantasi dan perkara-perkara luar biasa seperti bebola api yang keluar dari mulut raksasa tidak memerlukan penerangan saintifik (walaupun penerangan tersebut tidak benar), manakala sebuah filem scifi memerlukan penerangan saintifik (walaupun palsu) untuk menjustifikasikan perkara luar biasa yang berlaku dalam filem tersebut.
Filem ini cuba untuk menerapkan unsur saintifik sepanjang filemnya, terutamanya apabila ia mahu menerangkan dari mana datangnya raksasa-raksasa terlibat, namun setelah melihat Godzilla mengeluarkan api biru dari mulutnya, ia telah mula kelihatan seperti sebuah filem Ultraman.
Dari segi jalan ceritanya, ia bercorak linear di mana apa yang berlaku seterusnya mungkin dapat dijangka oleh penonton dan tiada banyak putar belit yang boleh menjadikan filem ini lebih menarik. Tambahan pula perkembangan jalan ceritanya agak tergesa-gesa seolah-oleh ia mahu memasukkan terlalu banyak isi dalam masa yang singkat.
Sungguhpun demikian, skala krisis raksasa yang sangat besar yang digambarkan dalam filem ini masih mampu membuatkannya kelihatan gempak dan tidak membosankan. Debaran melihat pemburuan raksasa oleh pihak tentera serta babak-babak perlawanan antara raksasa juga membuatkan penonton tidak berganjak dari panggung.

Lakonan

Selain beberapa pelakon utama dalam filem ini, lakonan kebanyakan pelakonnya, terutamanya pelakon tambahan agak mendukacitakan. Watak hero dan anaknya agak kaku dan pelakon tambahan yang sepatutnya lari ketakutan, berlari seolah pergi bergogging. Dengan kata lain, tiada siapa akan memenangi anugerah pelakon terbaik dalam filem ini.

Kesimpulan

Kebaikan:
  • Skala krisis raksasa yang digambarkan dalam filem ini agak gempak.
  • Kesan khas, terutamanya raksasa-raksasa dan jentera peperangan seperti jet pejuang dan helikopter dibuat dengan baik.
  • Watak Gozilla lebih menarik dalam filem ini
Keburukan
  • Jalan cerita yang berkembang dengan terlalu cepat dan kelam-kabut.
  • Lakonan pelakon tambahan yang kaku.
  • Walaupun bahagian pengenalan pada filem ini dibuat dengan baik, jalan cerita yang ringkas tidak mendatangkan kepuasan.
Secara ringkasnya, filem Godzilla merupakan sebuah filem yang agak gempak, namun, jalan cerita yang agak ringkas dan berkembang terlalu cepat menyebabkan kepuasan menonton filem ini agak kurang. Apa pun, jika anda tidak meletakkan harapan terlalu tinggi pada filem ini, anda masih boleh menikmati tontonan anda.
Bukanlah pula dimaksudkan bahawa filem ini sebuah filem yang buruk, tetapi pada masa yang sama I juga bukan filem terbaik. Anda bolehlah menonton filem ini bersama kawan-kawan, namun jangan terkejut, pada musim cuti sekolah ini, ramai kanak-kanak akan turut menonton filem in bersama ibu bapa mereka seterusnya mengganggu konsentrasi anda. 

credit

- mummy ira -

  • Share:

You Might Also Like

0 orang berborak di sini!